04 Februari 2010

Jalan-Jalan ke Perak


Pada awal cuti pertengahan sem baru-baru ini, saya berpeluang untuk melawat ke negeri Perak. Saya mendapat peluang ini setelah diajak oleh bapa angkat saya yang ingin menunjukkan kampung halamannya di Kuala Kangsar. Pak Cik yang telah puluhan tahun merantau ke Jerantut kini berhasrat untuk pulang ke kampung asalnya. Kami sekeluarga sememangnya rapat dengan Pak Cik yang seorang bersifat murah-hati,prihatin, dan peramah. Semenjak kecil lagi, kami berempat-beradik sudah mengenali Pak Cik dan keluarganya. Kalau di Jerantut, Pak Cik sememangnya dikenali ramai kerana setelah berpencen awal sebagai anggota polis, Pak Cik memulakan perniagaan seperti cendol,ABC, dan mee kari.

Perniagaannya itu sememangnya popular lebih-lebih lagi pada era tahun 90-an ketika gerai di hadapan Pasaraya Jaya(yang sudah lama bangkrap).Ibu dan ayah saya juga berniaga berdekatan dengan gerainya.Tapak gerai itu kemudiannya didirikan Pasaraya B 5 dan kini telah diambil alih oleh Pasaraya Aktif.Semenjak berniaga di situ dahulu,saya dan adik sentiasa dilayan oleh Pak Cik seperti anaknya sendiri. Kami dibawa berjalan ke KLIA, berkelah di Lata Meraung, jamuan makan di rumahnya dan banyak lagilah. Begitu indah kalau diimbau kembali kenangan manis ketika saya masih bersekolah rendah ketika itu.

Dan kini, umur Pak Cik telah pun melebihi 60tahun seiring usia kami yang meningkat dewasa. Pak Cik telah pun berhenti berniaga atas faktor kesihatan dan anak-anaknya pun sudah besar yang mana paling bongsu baru sahaja tamat spm. Pak Cik sedang menguruskan proses penjualan rumah dan tanah yang didudukinya sekarang yang terletak di Kampung Sri Kool.Setelah semua urusan ini selesai maka Pak Cik dan keluarganya akan meninggalkan Jerantut dan kembali ke kampong halamannya.


Jadi, pada kelapangan masa yang ada Pak Cik mengajak saya dan adik untuk menjenguk kampongnya di Kuala kangsar. Katanya lagi Pak Cik amat berharap apabila kami semua dah tamat belajar dan sudah bekerja suatu hari nanti bolehlah pula bertandang melawatnya di situ.


Sabtu, 23 Januari 2010


Setelah mendapat ‘green light’ daripada ibu dan ayah, saya dan adik bertolak bersama beliau pada awal pagi sabtu dengan menaiki kereta. Anak bongsu beliau pula bagaimanapun katanya ingin menunggang motor RXZ untuk ke Perak. Saya tak terbayang bagaimana keletihan dan kepanasan yang dia alami sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir 6 jam tapi apa boleh buat, itulah yang dinamakan jiwa anak muda yang tahan lasak.


Setelah memasuki Lebuhraya Pantai Timur(LPT), kami keluar di exit Genting Sempah dan masuk pula ke jalan Genting Highland untuk ke Batang Kali. Kami meneruskan lagi perjalanan sehingga melalui Kuala Kubu Bharu dan sehinggalah masuk ke Lebuhraya PLUS melalui Tanjung Malim. Kami berhenti rehat untuk makan tengah hari di RnR Tapah dan kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga keluar di exit Kuala Kangsar. Jam menunjukkan 1.30 petang ketika kami tiba di rumah yang kami tujui di Taman Bunga Raya. Tuan rumah ini ialah adik perempuan kepada bapa angkat saya itu. Dia dan suaminya merupakan anggota polis. (minat betul keluarga mereka ni dengan bidang kepolisan).


Pada petang itu kami hanya berehat di rumah sambil asyik menonton siaran langsung majlis perangkatan jenazah Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor yang telah mangkat pada malam sebelum itu. Saya sememangnya sejak kecil lagi berminat untuk mengikuti hal-ehwal berkaitan istana dan adat protokolnya termasuklah majlis pertabalan,perkahwinan, dan kemangkatan.


Pada sebelah malam pula,kami dihidangkan dengan lauk yang berupa ikan sungai yang diberi nama ‘ikan lome’. Suasana ketika makan sungguh meriah lebih-lebih lagi ibu kepada Pak Cik turut datang.Nenek itu yang kami panggil dengan gelaran opah seorang yang ramah dan mudah mesra. Opah ada juga bertanya kepada saya dan adik tentang adakah kami faham apabila dia berkata “nak melepaskan dendam kepada anaknya”.


Kalau mengikut loghat bahasa saya di Pahang ini membawa maksud yang negatif seperti melepaskan kemarahan tetapi lain pula maksudnya di Perak. Dia memberitahu bahawa perkataan dendam itu sebenarnya berasal dari perkataan “rindu-dendam” yang mana dia ingin melepaskan rasa rindu setelah lama tak berjumpa dengan anaknya yang menetap di Jerantut itu. Itulah sebahagian keunikan Malaysia, walaupun berada dalam sebuah negara tapi kita mempunyai loghat bahasa Melayu yang berbeza antara setiap negeri.


Ahad, 24 Januari 2010


stesen keretapi k.kangsar


Seperti yang dirancang, hari ini kami akan melawat ke beberapa tempat utama di Kuala Kangsar. Tempat pertama yang dilawati Stesen Keretapi Kuala Kangsar dan diikuti pula ke kedai yang membuat labu sayong. Kata Pak Cik, di sini sememangnya terkenal dengan labu sayong. Patutlah terdapat replika labu sayong yang besar pada satu persimpangan yang dilalui tadi. Setelah puas memilih bermacam aneka labu sayong yang telah dihias indah, kami membeli beberapa biji untuk dijadikan kenangan dibawa pulang ke Pahang.

Labu sayong


Galeri Sultan Azlan Shah


Destinasi seterusnya ialah Galeri Sultan Azlan Shah. Kami berada di situ hampir 2 jam untuk melihat pelbagai koleksi barangan peribadi, pakaian istiadat, hadiah, kereta dan bermacam lagi yang berkaitan kesultanan Perak.


Seterusnya, kami melawat pula Masjid Ubudiah yang saya tak ingat tahun ke berapa ia disiapkan. Sungguh tersergam indah walaupun usianya sudah agak lama. Kemudian, kami melawat pula kawasan sekitar Istana Iskandariah dan istana lama yang terkenal kerana dibina tanpa menggunakan sebarang paku. Istana Kenangan itu kini telah dijadikan Muzium Diraja Perak dan tak dapat kami lawat kerana ditutup untuk kerja naiktaraf.







Muzium Diraja Perak






Menjelang tengah hari, kami turun pula ke kawasan yang dinamakan ‘lembah’ untuk makan tengah hari. Sejurus selesai, azan Zohor pun berkumandang. Kami kembali ke Masjid Ubudiah untuk solat berjemaah di situ. Selepas Zohor, kami pergi melawat pula ke kawasan lain antaranya rumah yang pernah diduduki oleh Pak Cik dahulu dan Hutan Lipur Ulu Kenas Sempat juga dalam hujan lebat petang itu,kami menjenguk sebentar Kampung Ribu yang merupakan kampong tempat kelahiran Pak Cik.









Hutan Lipur Ulu Kenas






Selepas Asar pula kami menjenguk sebentar jambatan keretapi lama yang dibina di zaman British dahulu untuk merentasi Sungai Perak. Sebelum kembali ke Bandar Kuala Kangsar, kami menikmati hidangan mee rebus di pekan situ. Kemudian, kami mengakhiri program ‘jalan-jalan’ hari itu dengan berjalan di sekitar Dataran Sungai Perak. Pemandangan di situ agak menarik dengan kelihatan dari jauh jambatan yang merentasi sungai, Istana Iskandariah, bot-bot kecil malah ada pula seorang pak cik tua menjala ikan di situ.









Jambatan keretapi lama yang menjadi sejarah









Pemandangan di Dataran Sungai Perak





Hari pun sudah menjelang senja kami pulang ke rumah tempat kami bermalam. Setelah kepenatan berjalan di siang hari, malam itu kami hanya beristirehat sambil berbual dengan tuan rumah dan menonton tv. Malam ini merupakan malam terakhir kami berada di Perak.




Isnin,25 Januari 2010


Selepas sahaja bersarapan, kami pun bersiap untuk pulang ke Pahang. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada tuan rumah sekeluarga atas layanan yang begitu baik kepada saya dan adik walaupun itu baru kali pertama bertemu. Saya juga mempelawa mereka untuk bertandang ke rumah saya apabila datang ke Jerantut. Setelah mengucap salam perpisahan kami pun bergerak. Sebelum meninggalkan Kuala Kangsar, Pak Cik membawa kami bertemu ibunya di kampung yang berdekatan di situ. Setelah berbual sebentar dan menjenguk opah, kami pun bertolak pulang ke Pahang.


Sepanjang dalam perjalanan pulang, saya berbual dengan Pak Cik tentang bermacam perkara untuk mengelakkan dia mengantuk ketika memandu. Sungguh bersemangat Pak Cik apabila dia membuka cerita tentang perjalanan hidupnya ketika masih muda dahulu sebagai anggota polis. Begitu leka kami berborak sehingga terlepas exit Tanjung malim. Pada awalnya risau juga sebab terpaksa berpatah balik tetapi kami membuat keputusan untuk keluar di exit seterusnya.

Alhamdulillah, kami tak sesat hari itu walaupun tak pernah melalui jalan itu berpadananlah dengan nama tempat yang kami lalui iaitu Bukit Beruntung. Tidak lama selepas itu kami menemui jalan menuju ke Rasa dan terus melalui Batang Kali.


Walaupun perjalanan pulang ini mengambil masa agak lewat berbanding perjalanan pergi dahulu tapi tak mengapalah sebab kami selamat juga sampai akhirnya. Bak kata pepatah “Biar lambat asal selamat”. Kami tiba di Jerantut pada jam 4petang.


Begitulah catatan perjalanan ke Perak baru-baru ini. Moga selepas ini berpeluang lagi untuk melawat ke Negeri Perak..InsyaAllah.

Istana Iskandariah (tak dapat nak masuk, ambil gambar tepi )

Bergambar di hadapan pokok getah pertama yang ditanam di Malaysia



Pak Cik dan Adik di tepi Sungai Perak