30 Mac 2011

Jangan berdiam diri



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sudah agak lama tidak menulis di sini. Malas + sibuk adalah alasan lapuk untuk menjustifikasikan perbuatan menyepi ini. Mungkin menunggu ilham yang tak kunjung tiba boleh saya jadikan alasan baru pula. Agak lama tidak menulis sehinggakan untuk siapkan catatan kali ini pun berasa agak kekok.
Namun , saya cubalah setakat yang termampu untuk berkongsi apa yang saya dapat ketika menghadiri program di Stadium Malawati pada Isnin lepas.


Alhamdulillah, saya dan teman-teman sampai awal kali ini, membolehkan kami solat berjemaah Maghrib di dalam stadium. Seterusnya kami mendengar kuliah khas yang disampaikan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, tokoh ulama’ yang tidak asing lagi di tanah air kita lebih-lebih lagi beliau merupakan panelis Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV 1 pada era 90-an dulu. Kuliah berkisar tentang bahaya fitnah, keperluan kita menyiasat terlebih dahulu sebarang berita yang tersebar serta kewajipan pada masa yang sama menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah kepada diri kita.

Selepas solat fardhu Isyak, ribuan jemaah yang hadir bersama-sama pula menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Tuan Guru Presiden. Program diteruskan dengan slot ceramah yang dibarisi oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat (PR). Program yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada rakyat-jelata khususnya berkenaan isu Fitnah 3 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Orang-ramai telah pun memenuhi setiap ceruk di dalam stadium samada bersila di atas lantai mahupun duduk di atas kerusi dan tak kurang juga yang berdiri di belakang kerana semua ruang sudah penuh.


Penceramah pertama pada malam ini ialah ‘hero’ baru PR iaitu YB Dato’ Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani), beliau mendedahkan secara detail kisah daripada awal bagaimana beliau diapproach oleh Dato’ T (baca: Dato’ Temberang), cubaan untuk memujuk beliau lompat parti, penayangan video lucah, dan pada penghujung ucapan beliau menegaskan bahawa beliau amat yakin bahawa ‘aktor’ dalam video tersebut bukanlah Datuk Seri Anwar seperti yang didakwa oleh Trio Temberang itu.

YB Lim Kit Siang pula berkongsi informasi mengenai isi kandungan surat terbuka ditulis oleh Dato’ Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Sungguh mengejutkan sekali apabila dalam surat tersebut dinyatakan secara terperinci bagaimana lenyapnya kes-kes rasuah ‘pejuang moral Malaysia baru’, Tan Sri Rahim Tamby Chik (salah seorang Trio Temberang) yang ada bernilai mencecah RM 40 juta. Dato’ Mat Zain berharap agar IGP mampu bertindak dengan berani dan telus serta berhati-hati dengan nasib kes video sekarang yang tak mustahil akan dibakul sampahkan seperti kes-kes terdahulu apabila ia sampai ke peringkat pendakwaan kes yang tertakluk di bawah kuasa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.


Ceramah diteruskan pula oleh Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Beliau memulakan ucapan dengan mengingatkan hadirin akan firman Allah yg bermaksud:

“Dan takutlah kamu akan bencana yang tidak hanya menimpa orang-orang yg zalim sahaja”

Mengulas isu pendedahan video lucah itu, Tuan Guru melahirkan rasa kesal kerana sepatutnya umat Islam menjadi contoh kepada orang lain namun yang berlaku adalah sebaliknya. Perbuatan keji mendedahkan aib dan fitnah secara terbuka ini sungguh memburukkan imej Islam. Dalam sistem perundangan Islam seperti yang turut diguna pakai oleh pengamal undang-undang barat terutama England yang menjadi rujukan negara-negara Komanwel ialah;

“Seseorang yang dituduh dianggap tidak bersalah, selagi orang itu tidak dibuktikan bersalah.”

Sebarang pertuduhan yang dibuat mestilah melalui proses kehakiman yang betul dan adil bukan melalui penghakiman media dan orang ramai.Malangnya, di negara kita kecelaruan berlaku dalam sistem pentadbiran dan kehakiman memburukkan imej negara maka rakyat wajib melakukan perubahan dengan menukar pemerintah.
Sewajarnya, kita sedari bahawa mereka yg memerintah hanya pemegang amanah bukanlah penguasa yang akan berkuasa selamanya.

Tuan Guru seterusnya mengingatkan hadirin akan arahan Allah kepada orang beriman agar menyerahkan amanah kepada ahli yg dapat menunaikannya, dan apabila pemerintah melaksanakan hukuman di kalangan manusia seluruhnya (tanpa mengira beza agama,bangsa) mestilah berlaku adil. Beliau turut bercerita akan kisah yang berlaku pada zaman Khalifah kedua Abbasiyyah, Khalifah Abul Ja’afar Al Mansur.

"Demi menguatkan kerajaannya, khalifah sanggup membunuh Abu Muslim al-Khurasani yang juga merupakan jurukempen utama penegak kerajaan Abbasiyyah. Pembunuhan ini berlaku dek kerana khalifah risau akan pengaruh Abu Muslim yang lebih kuat berbandingnya.
Pada suatu ketika khalifah pergi menunaikan ibadah di Mekah, ketika mana beliau bertawaf di Kaabah, beliau terdengar seorang tua sedang berdoa di Multazam (tempat mustajab doa)

“Ya Allah, ya Tuhanku bumi ini penuh kezaliman sehingga aku rasa bumi ini begitu sempit, di sana-sini berlaku kezaliman.”

Khalifah memerintah pengawal menahan orang tua yang berdoa itu lalu dibawa mengadapnya lalu khalifah bertanya;

“Mengapa kamu berdoa begitu? Adakah kamu menganggap aku ni zalim?

Jawab orang tua itu:
“Ya, kamu telah banyak melakukan kezaliman. Aku pernah pergi ke negeri China, rajanya itu bukan Islam. Rajanya sakit sehingga telinganya pekak mengakibatkan tidak dapat lagi raja itu mendengar aduan dan rintihan rakyatnya. Raja China itu sedih dan menangis kerana tidak dapat lagi boleh berlaku adil kepada rakyatnya.. Dia seorang raja China, bukan Islam, Kamu pula mengaku Islam..Adakah Kamu tak rasa malu..?"


Tuan Guru menyeru sekalian rakyat untuk bersama membuat perubahan supaya tidak ditimpa bencana seperti firman Allah yang mengingatkan kita bahawa musibah yang menimpa bukan sahaja kepada mereka yang berbuat zalim tapi termasuklah mereka yang diam dan tak menegur kemungkaran berlaku akan menerima akibat yg sama.


Dengan nada tegas Tuan Guru bertanya ;
“Di mana mereka yg sering bercakap selama ni? Jangan jadi syaitan bisu..!”
(syaitan bisu itu seperti terkandung dalam hadis ialah mereka yang mendiamkan diri dalam perkara yg benar)

Kita dilarang terlibat dengan kerja mungkar lagi zalim ini. Tuan Guru mengingatkan kepada pengamal media yang sering membuat fitnah bahawa dosa yang ditanggung adalah berpanjangan.Jangan hanya memikirkan soal duit sahaja tanpa menghiraukan soal dosa-pahala.

Sejarah keruntuhan kerajaan yang zalim sentiasa berulang seperti yang terkandung dalam Surah Al-Fajr ayat 6-14 yang bermaksud;

6. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Aad?
7. (yaitu) penduduk Iram yang mempunyai Bangunan-bangunan yang tinggi,
8. Yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,
9. Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah,
10. Dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentara yang banyak),
11. Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,
12. Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu,
13. Kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka azab,
14. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.



Lihatlah kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia, Mesir, dan Libya. Rakyat dibelenggu kesusahan, dan penderitaan tatkala pemerintah sibuk membolot kekayaan dan berusaha gigih memastikan kuasa kekal di tangan mereka buat selamanya. Ucapan Tuan Guru yang penuh semangat itu turut diselitkan dengan bacaan sajak yang dikarang oleh penyair Tunisia yg terkenal, Abul Qassim As-Syabi yang meninggal dunia pada usia baru lingkungan 20an ketika mana Tunisia dijajah Perancis pd tahun 1930an dulu. Sajak itu bermaksud;

“Apabila sesuatu bangsa itu, mahu menjadi bangsa yang hidup pada suatu hari nanti,
maka bangsa itu mestilah menyahut seruan beriman kpd Qadar Allah-
yang menentukan kuasanya bukan kerajaan di dunia yg berkuasa.
Malam tidak akan selama-lamanya malam,
malam akan hilang dan akan tiba masanya siang.
Gari tidak akan selama-lamanya boleh mengikat tangan-tangan rakyat, akan tiba masanya gari akan patah dan hancur berkecai”


Di akhir ucapan, Tuan Guru memberi amaran tegas kepada pemerintah bahawa kamu tidak boleh kekal selama-lamanya dan percayalah kita semua bahawa fitnah, kezaliman dan penyelewengan yang berleluasa adalah tanda perubahan dan kejatuhan mereka .
Yang sewajibnya ialah kita rakyat bersatu bangkit membuat perubahan dengan menyebarkan maklumat kepada sekalian rakyat yg masih ‘miskin’ maklumat agar mereka diberi kesedaran untuk berani membuat perubahan demi kebaikan negara dan rakyat semua.


Slot ceramah diteruskan lagi dengan ucapan berapi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Seperti biasa, pidato beliau mempunyai aura luar-biasa yang berjaya memukau sekalian yang hadir. Turun naik nada beliau ketika menyampaikan ucapan yang menyeru sekalian rakyat agar tidak terpedaya dengan episod fitnah bersiri yang masih belum bertemu penghujungnya.

Majlis pada malam ini turut dihadiri oleh isteri beliau, Datuk Seri Doktor Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulongnya YB Nurul Izzah. Datuk Seri Anwar memulakan ucapannya dengan ucapan terima kasih dan penghargaan buat semua yang hadir kerana masih sedia berdiri teguh dan menyokong beliau sekeluarga.

Beliau turut menyatakan syukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan untuk menempuh ujian getir ini. Sebenarnya, rakyat cuba dialihkan pandangan daripada komitmen dan janji yang terkandung dalam Buku Oren Pakatan Rakyat yang menjanjikan perubahan dalam Malaysia. Saya tertarik apabila Datuk Seri Anwar menggunakan kalimah ‘law of the jungle’ yang berlaku di negara ini dan bukan yang sepatutnya iaitu ‘rule of law’.

Seterusnya, beliau menegaskan bahawa hidup-matinya akan ditentukan Allah dan bukanlah mereka yang bermusuh untuk mematikan karier beliau itu. Kuasa rakyat yang berani melakukan perubahan akan mampu menumbangkan pemerintah yang angkuh khususnya menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak yang kini dipimpin oleh orang kaya Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Datuk Seri Anwar menyebut akan ketidakyakinan beliau akan sistem yang berlaku di negara ini, bagaimana boleh mereka yang mengedarkan video lucah itu masih bebas tidak ditangkap bahkan dipertahankan pula oleh pak Menteri..? Double standard yang begitu jelas terzahir apabila di kalangan mereka yang terlibat pasti akan diselamatkan dan ditutup rapat-rapat kes mereka.

Suasana hening seketika tatkala Datuk Seri Anwar berkongsi rasa akan kisah bagaimana beliau dan keluarga terpaksa menanggung aib,hinaan,cacian dan fitnah selama 12-13 tahun kerana beliau memilih untuk melawan dan membela nasib rakyat. Sungguhpun demikian, beliau berkata bahawa ujian ini tidaklah ditanggung oleh beliau sahaja bahkan ramai lagi rakyat marhaen di bawah yang turut ditekan dengan bermacam rupa.

Beliau menasihatkan isteri dan anak-anak agar sentiasa beristighfar memohon ampun dan pada masa yang sama bersyukur kerana kesusahan yang mereka lalui baru 13 tahun sedangkan pemimpin PAS telah ditekan dan menderita selama 50 tahun lebih. Beliau memberi contoh yang dialami oleh bekas Yang Dipertua PAS, Almarhum Dr Burhanudin al-Helmi yang dikenakan tahanan ISA dan dibebaskan ketika sudah pun sakit teruk dan tidak lama kemudian meninggal dunia.

Beliau seterusnya membaca hadis Nabi yang tentang siapa yang akan diberikan ujian yang paling banyak..? Nabi menjawab;
“Bahawa orang yang paling banyak diuji ialah para Nabi kemudian mereka yang mengikutnya selepas itu dan mereka yang mengikut golongan contoh itu.”

Bilamana beliau merasa derita ,beliau cuba mengambil pedoman daripada hadis ini dan berasa amat jauh dan begitu kerdil untuk dibandingkan dengan mereka yang terdahulu. Akhirnya, beliau menyeru sekalian yang hadir agar terus berdoa yang mempunyai kuasa tidak terungkai dan meningkatkan lagi ikhtiar bermacam cara agar perubahan benar-benar berlaku di Malaysia ini.


Kemuncaknya, tibalah pula giliran Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat. Inilah ikon yang disayangi lagi dihormati oleh sekalian rakyat berbilang bangsa dan agama di tanah air. Namun, kelihatan Tok Guru agak keletihan serta kurang sihat, maka beliau terus mengakhiri majlis dengan memimpin bacaan doa memohon munajat kepada Allah dan diaminkan oleh sekalian pemimpin yang berada di atas pentas dan ribuan yang memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam. Mereka yang hadir memahami akan keadaan Tok Guru yang sudah pun lanjut usianya bahkan amat wajar diberi pujian kepada Tok Guru kerana masih sanggup berpenat-lelah datang dari Kelantan semata-mata untuk bersama dalam majlis penting ini..Terima kasih Tok Guru..

Jam sudah menunjukkan 11.30 malam ketika kami meninggalkan perkarangan stadium. Bagaimana nak memecut untuk pulang ke kampus sebelum jam 12? Kereta pula agak kekeringan minyak di samping perut kami pula masih belum diiisi sejak petang tadi. Keputusan dibuat untuk tetap bertolak pulang dan berserahlah akan apa yang akan berlaku. Aduhai, apa yang berlaku bukanlah seperti yang dihajati.! Kami tersilap masuk highway yang menuju ke tempat lain.Terpaksalah berpatah balik ke Shah Alam kemudian barulah jumpa jalan sebenar iaitu melalui lebuhraya NKVE dan Sprint ke PJ dan Duke ke Gombak.

‘Syura’ kami berempat yang di dalam kereta menetapkan agak tidak terus pulang ke kampus kerana ‘pakej ganjaran saman’ bernilai RM 50 setiap seorang pasti menanti di gate utama jikalau pulang pada waktu lewat sebegini. Next mission, ialah mengisi perut yang telah berkeroncong lagu irama asli sejak tadi lagi. Dapatlah makan ‘lewat malam’ di Deen Tom Yam berdekatan kubur di tepi jalan yang menghala ke Sungai Pisang.

Final mission, ialah mencari tempat bermalam. Cadangnya ialah masjid atau surau berdekatan. Pencarian bermula dengan Masjid as-Syarif kemudian Masjid ar-Rahimah, surau Greenwood, Markaz PAS Melewar, Masjid Asy-Syakirin, Madrasah al-Muttaqin, dan Masjid Saad bin Abi Waqas. Misi ini gagal kerana semua pintu-pagarnya berkunci rapat (siap ada mangga solex lagi). Ada teman berkata di KL ini semua kena berkuncilah sebab pencuri juga berminat untuk berkunjung ke rumah ibadah ini. Sambil memujuk perasaan kecewa, kami pun berpusing dan merondalah di sekitar itu(rasa macam jadi kumpulan rukun tetangga yang jaga keselamatan pula).

Rondaan tidak sia-sia kerana akhirnya bertemu sebuah madrasah yang agak berdekatan dengan Kampung Sungai Cincin. Sempatlah juga saya melelapkan mata sebentar dan tidak mampu bertahan lebih lama di situ kerana team nyamuk berpesta menjadikan saya dan teman saya sebagai ‘lauk’ mereka.Haha.

Akhirnya, pada tepat jam 5.45pagi Selasa kami pulang ke kampus dengan jayanya. Alhamdulillah, walaupun agak keletihan namun kepuasan dapat hadir bersama di stadium jauh lebih nikmat dan tidak serik lagi rasanya untuk ke majlis sedemikian..TAMAT

Ucapan Tuan Guru Presiden



Ucapan Datuk Seri Anwar



Bacaan doa oleh Tok Guru Mursyidul Am




Koleksi gambar (*kredit kpd FB Tok Guru, wartashubhi.blogspot.com dan Sekretariat Akhbar Pejabat MB Selangor yang berkongsi gambar ini)