
Khamis, 2009 Disember 17
1431H vs 2010

Jumaat, 2009 Disember 11
Bercerita lagi..
Minggu ini bermulanya sem baru setelah bercuti hampir sebulan di rumah.Sudah menjadi kebiasaan,cerita tentang aktiviti ketika cuti dimuatkan dalam blog ini.
Minggu pertama cuti,
Di rumah kini telah bertambah seorang 'ahli' baru iaitu baby yang diberi nama Syarifah Alyaa Nabiha.Setiap hari telatah baby ini menjadi perhatian seisi keluarga dan menambahkan lagi seri dalam rumah ini.Pada sebelah siangnya,baby ini memenuhkan masa dengan tidur sahaja manakala berjaga daripada jam 11malam sehingga 2 pagi.Terpaksalah ibu saya dan kak ipar melayannya sehingga dia mengantuk.Begitulah resam kehidupan bayi yang baru ingin mengenal dunia.

Apabila saya melihat sendiri susah-payah insan yang bergelar ‘ibu’ dalam membesarkan anak sejak daripada dalam kandungan sehinggalah membesarkan pula anak itu. Si ibu sanggup bersengkang mata walaupun sudah kepenatan di siang hari menjalankan tugasnya sebagai surirumah namun demi kesejahteraan anaknya mereka sanggup berkorban apa jua.Begitulah besarnya jasa mereka yang mendidik anak sejak tubuh sekecil bayi sehinggalah si anak mula mencecah dewasa.
Sungguh murninya ajaran Islam,martabat wanita diangkat dengan mulianya berbanding zaman jahiliyyah dahulu.Kedatangan Islam telah meletakkan wanita di tempat yang begitu bernilai dan sebab itulah pensyariatan menutup aurat diturunkan agar kehormatan wanita terjaga.
Mereka yang bergelar ibu mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Rasulullah S.A.W sehingga nama ibu disebut sebanyak 3 kali orang yang berhak untuk disayangi kemudian barulah disebut si bapa. Bahkan dalam kitab panduan agung ummat,Al –Quran banyak juga ayat yang menyebut tentang kewajipan anak mentaati ibu-bapa. Khususnya bagi anak lelaki,kewajipan untuk menjaga dan mentaati ibu-bapa tidak pernah kurang sedikitpun hatta sudah berkahwin. Anak lelaki perlu mendahulukan ibu terlebih dahulu berbanding isterinya sendiri.
Minggu kedua cuti,
Keluarga saya mengadakan kenduri kesyukuran dan bercukur pada tengah hari Ahad 15 Disember.Pengalaman pertama saya apabila ditugaskan untuk menjadi chef ‘tak bertauliah’.Seawal lepas subuh saya sudah memulakan operasi sehinggalah selesai jam 11pagi.Tugasnya taklah payah sangat sekadar menggoreng ayam berempah.
Kaedah penggorengannya yang agak berbeza iaitu tidak digoreng di dalam kuali tetapi digoreng di dalam periuk.Ayam yang telah diperap dengan rempah tersebut akan disusun di dalam ‘sangkar besi khas’ kemudian barulah dimasuk ke dalam periuk berisi minyak panas.Walaupun chef ini tak bertauliah,ayam goreng berempah merupakan antara hidangan yang paling diminati ketika kenduri tersebut. (eh, “angkat bakul masuk sendiri”lah pulak..)
Selepas kenduri selesai,petang itu juga abang dan isterinya pulang bersama baby Alyaa ke kampung sebelah mertuanya di Kuala Terengganu untuk menghabiskan cuti di sana pula.Maka,kesunyian pun melanda rumah ini apabila suara tangis bayi yang selalu kedengaran telah tiada.Oleh kerana dalam laptop ini ada banyak gambar baby Alyaa maka dapatlah dijadikan ‘ubat rindu’ oleh ibu saya.

Menjelang hari Jumaat,persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha mula dibuat.Pada hari Khamis,bapa saudara,ibu dan nenek saya sendiri membuat lemang.Sempatlah juga saya menyibukkan diri untuk membantu apa yang patut.
Bermula dari menebang buluh kemudian memasukkan beras ke dalam batang buluh yang dah dilapis dengan daun pisang dan memasukkan pula santan apabila hendak mula membakar lemang tersebut.
Memang kreatif orang tua zaman dahulu yang belum serba canggih,mereka menggunakan akal untuk memanfaatkan pohon buluh dengan membuat lemang. Tapi,zaman sekarang orang dah kurang berminat untuk membuat kerja yang leceh begini. Jadi,mereka pun singgah sahaja di tepi jalan untuk membeli lemang yang dah siap dibakar.5 minit sahaja dah cukup untuk membeli berbanding proses membuatnya sendiri yang memakan masa berjam-jam lamanya.

Tahun 1430H,Aidiladha jatuh pada hari Jumaat.Untuk mengelakkan kesuntukan masa untuk bersolat Jumaat pula,Masjid Kampung Temin mengadakan majlis Qurban pada hari tasyrik yang ke2 iaitu Sabtu.
Selepas Solat Sunat Aidiladha, kami saudara-mara pun membuat rombongan ziarah raya dari rumah ke rumah seperti Aidilfitri.Cuma,bezanya bilangan yang terlibat tidaklah terlalu ramai dan rumah yang diziarahi pun lebih kurang 10buah rumah sahaja.Inilah antara aktiviti yang saya sukai kerana dapat merapatkan lagi ikatan silaturahim di samping dijadikan medan untuk bersua-muka antara pelbagai golongan usia.

Minggu ketiga cuti,
Pada awal minggu ini saya dan keluarga menghadirkan diri ke jemputan majlis perkahwinan di Kampung Budu,Kuala Lipis.Semestinya kalau ke Lipis melalui jalan Benta saya masih ingat kenangan di waktu kecil yang muntah-muntah kerana kepeningan melalui jalan bagai “ular kena palu”.Harap-harap kerajaan mempercepatkanlah projek jalan baru yang lurus untuk memudahkan lagi kehidupan rakyat di negara yang sudah merdeka selama 52 tahun.
Bermula pada hari Isnin ibu dan ayah membuka semula gerai yang dah lebih sebulan ditutup gara-gara menyambut cucu pertama.Di kesempatan yang ada inilah peluang digunakan saya untuk membantu ibu berniaga; tugas yang sudah kami 4 beradik kenal sejak kecil lagi. Semestinya kami perlu berusaha sehingga ke puncak jaya demi membalas kembali jasa besar dan pahit-getir yang dialami oleh ibu dan ayah dalam mencari rezeki untuk kami semua.
Pada petang Jumaat pula saya menjenguk ke TAHAP untuk bertemu adik-adik junior yang sedang menghadapi SPM.Malam itu berkesempatan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hairul Amizam yang menggunakan kitab arab.Pelajar Form 4 juga ada di sekolah kerana mereka ada kelas tambahan untuk subjek-subjek kritikal.Baguslah usaha pihak sekolah untuk memastikan persediaan para pelajar ini untuk menghadapi SPM 2010 dimulakan dengan lebih awal.

Sehari sebelum pulang ke kampus,cuaca di daerah Jerantut yang hujannya turun begitu lebat dengan tempoh yang agak lama menyebabkan banjir ‘kecil’ melanda kampung saya.Rumah yang terlibat ialah rumah saudara saya yang kedudukannya agak rendah dan berdekatan sungai.
Di rumah inilah saya dibesarkan dahulu ketika kami sekeluarga tinggal bersama arwah datuk dan nenek sehinggalah rumah baru kami siap dan berpindah pada tahun 2000.

Tamatlah sudah cerita cuti sem baru ni...
Jumaat, 2009 November 20
Usahlah tidur

Alhamdulillah,sudah seminggu bercuti akhir sem 1bermula 12 November lepas.Kebiasaannya ketika solat Jumaat di Masjid UIA,khutbah yang disampaikan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.(tak berapa nak fahamlah isi khutbah secara menyeluruh) Jadi,apabila peluang berada di kampung dapatlah mendengar khutbah dalam bahasa ibunda.Tajuk yang disampaikan oleh khatib pada Jumaat minggu lepas ialah “Pengisian cuti sekolah”.
Pada mulanya saya tersenyum sendiri apabila mendengar tajuk ini kerana merasakan seperti dalam 'kursus pelajar sekolah'.Saya berpandangan sepatutnya banyak lagi isu utama yang patut diutarakan seperti contoh masalah akidah ummah yang kian parah,keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja,sistem perundangan Islam dalam menangani jenayah dan pelbagai isu pokok yang berkait-rapat dengan Islam sebagai ‘the way of life’.
Sungguhpun tajuknya sedemikian,input utama dalam khutbah tersebut tidaklah mengecewakan dan sungguh bermanfaat khususnya buat sesiapa yang sahaja yang bercuti(termasuklah diri ni). Antaranya khatib menyentuh tentang peri pentingnya peranan ibu-bapa dalam memastikan masa cuti anak-anak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.Dalam dunia serba moden ini,cabaran yang menggoda setiap jiwa insan datang daripada segenap sudut bermula dari dalam rumah iaitu TV & internet sehinggalah ke luar rumah. Betapa beratnya amanah yang perlu dilaksanakan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak agar mereka senantiasa terpelihara daripada unsur maksiat dan negatif seperti dadah,arak,zina,judi,melepak dan banyak lagilah.
Mimbar turut mengingatkan para ibu-bapa agar mengambil peluang ketika cuti sekolah ini agar melatih anak-anak membantu mereka dalam kerja seharian.Seperti contoh jikalau si ayah seorang peladang atau petani maka dia perlu mengajak anaknya membantu menyiapkan kerja di ladang atau kebun.Ibu-bapa turut diminta menghantar anak-anak ke pusat pengajian agama agar kesempatan cuti yang ada dapat mengisi jiwa mereka dengan ilmu fardu ain serta pengisian jiwa setelah penat menimba ilmu akademik di sekolah.Anak-anak juga perlu ditarbiyyah dengan mendekatkan mereka dengan institusi masjid.
Saya tertarik apabila khatib menyeru para jemaah yang hadir merenung kata-kata ulama besar,Profesor Doktor Yusof Al-Qardhawi;
“Jikalau ingin melihat wajah negara pada masa hadapan maka lihatlah akhlak generasi muda sekarang.Jika mereka berakhlak mulia,nescaya negara akan aman damai.Namun,jika yang sebaliknya berlaku maka bersedialah menghadapi kecelakaan yang kelak bakal menimpa.”
Sudah jelas menunjukkan betapa pentingnya generasi muda dalam menentukan jatuh-bangunnya sesebuah negara.Teringat pula ketika mengulangkaji subjek UNGS 2040; Islam, Knowledge and Civilization sempena final exam sem 1 baru-baru ini, antara tajuk syllabus yang saya minat ialah “Muslim’s Contribution: Science, Learning & Social Institutions”. Rupa-rupanya terlalu besar sumbangan tokoh Muslim terdahulu dalam pelbagai bidang terutama sains dan teknologi.Mereka inilah contoh generasi muda yang benar-benar hebat dan sewajarnya dikagumi.
Cuma yang menjadi persoalan kini, agak-agaknya berapa ramai di kalangan anak muda muslim hari ini yang mempunyai keazaman di dalam hati untuk menjadikan tokoh ini sebagai role-model masing-masing.? Atau kita sendiri lebih kenal dan hafal nama-nama tokoh barat seperti Albert Einstein,Charles Darwin,Galileo Galilei,dan Isaac Newton.Atau kita lebih 'mencintai' artis yang rasanya kalau hendak ditulis di sini pun tidak perlu lagi kerana semua orang sudah kenal.
Sedarkah kita sudah lama terpedaya dengan pandangan yang mengatakan saintis Barat lah yang hebat dengan penciptaan pelbagai perkara sedangkan hakikatnya mereka hanya mengolah semula ilmu yang pada asalnya dimiliki saintis Islam.
Jikalau disebut nama Ibnu Firnas,Al Biruni, Ibnu Haitham dan Ibnu Sina apakah jasa besar yang telah mereka lakukan kepada dunia,? Entahlah kita mampu menjawabnya atau tidak sedangkan mereka ini hanyalah sebahagian kecil daripada 'wira sebenar yang tak didendang'.
Di sini saya senaraikan beberapa nama tokoh besar Islam pada era “The Golden Age of Islam”:
ü Jabir Ibn Hayyan- ahli kimia yang mempunyai kepakaran dalam proses penyulingan yang sempurna
ü Ar Razi- mencipta makmal moden lengkap dengan 20 peralatan eksperimen
ü Al Kindi- pengasas kunci
ü Al Jazari- jurutera mekanikal yang mencipta sistem pengairan
ü Al Khawarizmi- pengasas ilmu matematik Algebra
ü Ibnu Haitham- pencipta kamera
ü Ibnu Nafis- manusia pertama yang menjelaskan system peredaran darah dalam tubuh badan manusia
ü Ibnu Khaldun- ‘Bapa ekonomi’ yang memperkenalkan pelbagai teori berkaitan ekonomi dan sosiologi yang terkandung dalam kitabnya yang terkenal “Al-Muqaddimah”
ü Ibnu Battuta-pelayar yang mengelilingi dunia sejauh lebih 75 000 batu selama 29 tahun melalui 40 buah Negara
ü Al Zahrawi- pakar bedah yang telah memperkenalkan lebih daripada 200 peralatan pembedahan
ü Al Idrisi- manusia pertama yang membuat peta dunia
Mereka ini bergelar ahli sains,ahli matematik,ahli ekonomi,pakar bedah, ahli falsafah,jurutera dan bermacam lagi.Sungguhpun mereka hebat dalam pelbagai bidang tersebut ini bukanlah bermakna mereka tidak arif dalam hal ehwal Islam.
Pada zaman khilafah Islamiyyah dahulu sistem pendidikan di madrasah dan universiti mengikut acuan Islam yang mana tidak memisahkan ilmu duniawi dan ukhrawi.Hal ini bermakna mereka dahulu belajar ilmu sains tanpa mengkesampingkan ilmu Islam bahkan sains juga merupakan salah satu juzuk ilmu Islam yang patut dipelajari.Inilah rahsia sebenar Muslim terdahulu sehingga mereka telah berjaya membawa kegemilangan Islam di seantero dunia.
Resipi kejayaan yang berlandaskan Al quran & Sunnah sahajalah yang mampu menyuluh jalan ke arah kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Semenjak daripada zaman Rasulullah S.A.W disambung pula perjuangan baginda oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin(Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab, Saidina Uthman Ibni Affan dan Saidina Ali) diteruskan lagi mata rantai perjuangan Islam oleh Kerajaan Ummayyah,Kerajaan Abbasiyyah dan yang terakhir dalam lipatan sejarah Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah sehinggalah pemerintahan khilafah Islamiyyah ditumbangkan oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah bersama konconya pada tahun 1924.
Kesimpulannya,terlalu banyak lagi 'mutiara' ilmu yang dimiliki umat Islam yang kita belum terokai.Usahlah kita berpandangan semua yang datang daripada Barat adalah baik untuk kita ikut.Saya tidak pula bermaksud semua yang datang daripada barat kita patut tolak tetapi saya berpandangan umat Islam sepatutnya sedar akan potensi yang sediaada dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua untuk mendirikan semula 'tembok kegemilangan' Islam seperti suatu ketika dahulu.Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada 'resipi' lain untuk kita yang bergelar Muslim berjaya melainkan KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN & AS-SUNNAH.
Nota; Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan 'warisan ilmu Islam', sudi-sudilah melawat laman web http://muslimheritage.com/ . Rasanya ia jauh lebih bermanfaat berbanding Facebook yang digilai oleh ramai orang sekarang.
Jumaat, 2009 Oktober 30
AHLI KELAB OKTOBER
ALHAMDULILLAH, itulah kalimah yang sebaiknya untuk dilafazkan kepadaNYA sebagai tanda syukur kerana ALLAH telah mempermudahkan segala urusan sehinggalah si ibu selamat melahirkannya.Mungkin kerana baby ini merupakan anak saudara pertama saya jadi perasaan gembira bila bergelar ‘bapa saudara’ itu memanglah amat dirasai sehingga sempat saya hantar sms kepada semua teman saya pada petang itu juga .Yang bagusnya semua membalas kembali dengan ucapan tahniah.Sebenarnya,yang lebih layak untuk menerima ucapan tersebut ialah abang Faiz tapi tak mengapalah saya menjadi wakil kepada dia. Terima kasih banyak-banyak kepada semua sahabat yang memberikan ucapan tersebut.
Alahai kerana si pak saudara ni dah tak sabar nak tengok anak saudara barunya maka selepas solat asar pada petang Rabu berkejarlah saya menaiki bas rapid T231 ke Terminal Putra untuk menuju ke rumah abang di Bandar Tasik Selatan.Lecture pada hari Khamis pun dah banyak yang habis dan yang tinggal hanyalah kelas terakhir pada jam 2 petang jadi malam itu saya bermalam di rumah abang.Kesempatan ini diambil kerana selepas ini,baby ini akan dibawa pulang ke kampong halaman datuk dan neneknya di Jerantut,Pahang dan diikuti ke Kuala Terengganu,Terengganu.
Jelas tergambar pada riak muka si ibu dan ayah anak ini perasaan gembira kerana dikurniakan cahaya mata yang akan menjadi permata yang tak ternilai dalam keluarga.Begitulah fitrah manusia; “kasihnya bapa sungguh tak terhingga nilaiannya ,kasihnya si ibu sehingga ke syurga”. Moga anak yang baru lahir ini kelak (termasuklah kita semua yang dah dewasa ini)akan mengenang susah-payah,pahit-derita yang ditempuhi oleh ibu-bapa dalam mendidik anak-anak semenjak dalam kandungan kemudian dilahirkan kemudian dibesarkan sehinggalah dewasa.
Cuba kita lihat dalam kehidupan masyarakat hari ini,berapa ramai mereka yang bergelar anak sanggup untuk menjaga dengan sebaik mungkin apabila 2 insan yang bergelar ‘ayah dan ibu’ ini sudah tua.Pernah juga saya dengar orang berkata “ibu-bapa boleh membesarkan anak-anak walaupun dengan bilangan yang ramai contohnya sehingga lebih 10 orang namun belum tentu anak yang seramai ini mampu menjaga hanya 2 orang insan berjasa ini apabila mereka sudah tua”.
Sebagai muhasabah buat diri kita semua yang bergelar anak cuba kita tanya pada diri:
>Ø Adakah aku telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai seorang anak kepada ibu-ayah setelah aku mencecah dewasa kini..?
Ø >Sudah berapa banyak kali aku melawan atau mempersoalkan tindakan ibu-ayah sehingga mereka berkecil hati dengan sikap aku tanpa disedari..?
Ø >Adakah aku telah memanfaatkan peluang yang masih ada di saat ibu-ayah masih hidup untuk aku balas semua jasa besar mereka kepada aku..?
sAgama Islam sendiri amat menitikberatkan persoalan ketaatan anak kepada ibu-bapa. Manakan tidak,dalam kitab suci Al-Quran telah terkandung ayat yang memerintahkan anak taat kepada ibu-bapa.Allah berfirman:
14. Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya Telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun[1180]. bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakmu, Hanya kepada-Kulah kembalimu. (Surah Luqman:14)
Bahkan Rasulullah sebagai suri tauladan ummah Nabi juga sering mengingatkan tentang kewajipan si anak mentaati ibu-ayah selagi mana mereka tidak menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan syara’.
Sebagai penutup,marilah kita berusaha dan berdoa agar kita semua dapat menunaikan amanah sebagai seorang anak untuk membahagiakan ibu dan ayah kita.Moga-moga dapat menjadi anak yang soleh dan solehah.
NOTA: SEKALUNG TAHNIAH BUAT ABG FAIZ & KAK SYA KERANA SUDAH BERGELAR AYAH & IBU.MOGA ANAK INI AKAN MENJADI SRIKANDI ISLAM DI MASA HADAPAN KELAK.AMIIN












