09 September 2009

Mari Bercerita 2



Pepatah Melayu ada berkata “Ku sangkakan panas sampai ke petang,rupa-rupanya hujan di tengah hari.”
Itulah gambaran awal dalam kisah yang ingin dikongsi di bawah ini..

Dalam kemeriahan menyambut Ramadhan kali ini,dengan takdir Allah ketika bangun sahur pagi Jumaat 14 Ramadhan lepas saya diuji olehNYA.Mata saya terasa amat pedih sekali.Bila dilihat dalam cermin barulah disedari yang kedua belah mata dah berwarna merah.

Sudah sekian lama tidak terkena sakit mata kini ia datang kembali setelah bertahun lamanya.Inilah tubuh manusia yang sakitnya mata tetapi habis seluruh badan turut merasa lemah dan mulai demam.


Saya kena gagahkan juga diri sebab petang itu akan ada kuiz dan pada hari Sabtu dan Ahad pula ada peperiksaan pertengahan semester. Ketika hendak pergi solat Jumaat di masjid tengah hari itu ada seorang rakan yang bertanya “Eh,Syed nape mata merah tu..? Baru bangun tidur ke..?” Saya hanya menjawab ringkas “Taklah.saya sakit mata” .(ketika sakit mood nak berbual pun dah tak ada)


Mata saya tidak henti-henti mengeluarkan air mata(bukan menangis) tapi kerana kepedihan.Ketika khutbah dibaca,masih sempat saya merenung jauh ke dalam diri “aku rasa telah banyak melakukan dosa kepada Allah dan orang di sekelilingku. Kini tibalah masanya Tuhan Yang Maha Empunya segala nikmat ini menguji aku supaya sedar dan bertaubat”.


Terasa amat kerdil dan hinanya diri ini.Baru diuji sedikit dengan ditarik hanya beberapa peratus nikmat mata untuk melihat sudah merasa amat payah untuk menjalankan aktiviti harian.Saya terfikir andaikata Allah terus mengambil sepenuhnya nikmat sepasang mata yang tidak ternilai ini,apakah aku dapat lagi melihat dunia ini..??


Pasti kegelapan sahaja yang dapat dirasai.Tiada lagi rasa riang untuk menatap orang yang disayangi di dalam hidup ini.Tiada lagi rasa gembira untuk melihat sinaran sang mentari, tumbuh-tumbuhan yang menghijau dan seluruh keindahan alam semesta ini. Tetapi itulah hakikat yang perlu kita fikirkan tentang keperitan dan kepayahan yang telah dilalui oleh orang yang telah pun ditarik nikmat matanya sejak lahir lagi.


Benar sabda Nabi yang mengingatkan ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang mana salah satunya disebut nikmat sihat sebelum sakit.Tapi kita yang sering lupa untuk mengingatiNYA.Ketika sakit barulah rasa hidup ini amat bermakna dan patut dimanfaatkan sebaik mungkin selagi peluang masih ada.


Saya merupakan orang yang jenis ‘alergik’ hospital.(mungkin kesan trauma daripada pembedahan di HKL waktu kecil dulu). Seboleh mungkin setiap kali sakit,saya akan mengelakkan diri untuk pergi berjumpa doktor.


Namun,petang itu saya terpaksa akur kerana merasakan badan sudah tidak berdaya.Selesai sahaja kuiz jam 4.40 petang saya bergegas ke klinik UIA yang akan tutup pada jam 5 petang.

Saya tidak perlu menunggu terlalu lama kerana orang dah tak ramai di klinik petang itu. Apabila masuk ke bilik rawatan,doktor tersebut bertanya serba sedikit tentang sakit mata tersebut.Dia memeriksa mata saya yang sudah merah menyala itu.

Kemudian,dia memberi sedikit panduan tentang rawatan dan mengingatkan kalau ianya semakin teruk pada keesokan hari barulah diberi surat mc dan cadangan kuarantin.


Oleh kerana saya perlu menduduki 2 exam pada hujung minggu itu,jadi seboleh mungkin saya memang tidak mahu bercuti sakit dan menangguhkan exam tersebut. Setelah mengambil ubat saya pulang ke bilik.Tak dapat dibayangkan bagaimana nak mengulangkaji subjek ‘electric circuit’ dalam keadaan lemah begini.


Lebih-lebih lagi ubat tahan sakit yang perlu ditelan itu membawa kesan mengantuk.Malam itu tak dapatlah nak berterawih di masjid jadi saya bersolat sahaja di musolla mahallah yang lebih dekat dengan bilik.Malam itu saya hanya berehat dan tidur awal.

Pagi esok barulah agak berdaya sedikit untuk study dan membuat persediaan yang termampu untuk menjawab exam pada jam2 petang.


Selepas Asar petang itu barulah saya memaklumkan hal yang dialami kepada ibu di kampung melalui telefon. Sengaja tidak diberitahu lebih awal takut dia berasa agak risau.Seperti dijangka setelah ibu mengetahuinya, dia memberikan 1001 nasihat dan pesanan.


Entah mengapa selepas solat maghrib malam itu,badan saya tidak semena-mena dirasakan telah hampir pulih dan bertenaga kembali untuk beribadah dan membuat persiapan untuk exam subjek static pula. Pada jam 10 pagi Ahad saya menduduki exam tersebut serentak dengan beberapa ratus lagi pelajar di dewan besar CAC .


Pada petang itu saya mendapat jawapan bagi ‘keajaiban’ yang berlaku malam tadi bila badan terasa segar.Ibu ada bercerita setelah saya memberitahunya tentang kesakitan yang dialami,dia berdoa tanpa henti memohon kepada Allah agar anaknya ini dapat sembuh kembali dan menduduki exam dengan tenang.


Saya yakin inilah ‘jawapan’nya bagi persoalan yang timbul di kotak pemikiran ini. Bukankah Allah itu Maha Agung lagi Maha Berkuasa. Itulah berkat doa seorang ibu.Buat renungan bersama cuba kita hayati ingatan Allah kepada sekalian insan yang bergelar ‘anak’.


23. Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

24. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua Telah mendidik Aku waktu kecil". (Surah Al Isra';23-24)


Begitulah serba sedikit perkongsian kisah yang dialami untuk dijadikan tauladan dan pengajaran dalam hidup ini.


“Buanglah yang keruh,ambillah yang jernih.”

Sekian....

>>>>>Selamat Menempuh Fasa Terakhir Ramadhan<<<<<

>>>>>Moga kita beroleh kemenangan<<<<<


Tiada ulasan: