29 Julai 2009

KeADILan vs KeZALIMan



Cuba kita perhatikan gambar di atas; lihatlah kebesaran Allah yang mencipta burung yang boleh terbang bebas ke mana sahaja ia kehendaki.Allah Maha Adil kerana Dia telah menetapkan segala ketetapan untuk hasil ciptaanNya dengan begitu sempurna.


Seperti contoh burung yang bersayap dapat terbang di udara ,ikan boleh hidup di dalam air, manusia tinggal di atas daratan. Keadilan menurut pandangan Islam bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Yang sering kita dengar adil bermakna sama-rata dan zalim pula bermakna berat-sebelah. Kalau inilah yang dinamakan ‘adil’, sepatutnya semua makhluk perlu diletakkan dalam setempat sahaja samada di alam air,darat mahupun udara.Jikalau ini yang berlaku, akibatnya kehidupan makhluk dan sistem alam ini menjadi tidak teratur dan saling tidak melengkapi antara satu-sama lain.


Namun,dengan adanya sifat Maha Adil lagi Maha Bijaksana pada Allah telah meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya dan sesuai dengan ciri masing-masing. Contoh mudahnya ialah diri kita sendiri yang tidak mampu bernafas lama di dalam air maka Allah telah menetapkan bahawa sekalian manusia hidup di atas daratan muka bumi yang telah terbentang luas ini manakala makhluk yang mempunyai insang pula hidupnya di alam air. Bukankah ini yang dinamakan ‘adil’ dalam erti-kata sebenar...?


Sesungguhnya tidak ada yang mampu bersikap adil dengan benar-benar sempurna melainkan hanya Allah Rabbul Jalil..


Bersikap adil merupakan salah-satu ciri-ciri asas yang perlu ada dalam setiap diri yang bergelar ‘pemimpin’ tidak kiralah samada pemimpin dunia,negara,negeri,kampung hatta pemimpin diri-sendiri.


Islam merupakan agama yang komprehensif memberikan ‘guideline’ untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang kukuh mestilah berlandaskan prinsip maqasid syariah(Islamic Law) yang melindungi;

Agama

Jiwa

Harta

Maruah

Kebebasan dan keadilan

Maslahah

Alam-sekitar

Allah telah pun memperingatkan kita untuk berlaku adil sepertmana firmannya:


8. Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Karena Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, Karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.

(Surah Al-Maidah;8)


Rasulullah S.A.W yang menjadi suri-tauladan kita semua telah menunjukkan role-model terbaik dalam mentadbir institusi keluarga,masyarakat dan negara.Sehingga ada kisah menceritakan bahawa pernah suatu ketika berlaku kecurian dan si pencuri dapat ditangkap. Bilamana si pencuri yang juga seorang wanita hendah dijatuhkan hukuman potong-tangan, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sekiranya Fatimah Binti Muhammad yang mencuri nescaya akan tetap aku memotong tangannya.”


Keadilan yang berlandaskan syara’ sebeginilah yang patut ditegakkan untuk menentang kezaliman yang menindas golongan yang teraniaya.Seperti contoh menahan orang tertentu tanpa dibicara sehingga bertahun lamanya.Bukankah zalim apabila kita menangkapnya namun tidak ada langsung memberi peluang untuk dia membela diri.

Segalanya iaitu pendakwaraya,peguambela,hakim,bahan bukti dan undang-undang terletak di tangannya. Si tertuduh terus meringkup di balik palang besi tanpa ada pembelaan sewajarnya. Seandainya si tertuduh benar-benar bersalah maka buktikanlah dengan membawa ke muka pengadilan untuk dijatuhkan hukuman yang setimpal namun jikalau tidak bersalah maka bebaskan segera tanpa 1001 dalih yang direka.

Tamatkanlah penderitaan isteri mereka yang kehilangan suami tercinta sebagai tempat bergantung untuk mencari nafkah buat seisi keluarga.Usah biarkan lagi si anak membesar tanpa belaian kasih- sayang daripada mereka yang bergelar ‘si ayah’.


Nabi juga mengingatkan buat mereka yang berlaku zalim; “Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab antara mereka dengan Allah.”


Nabi berpesan lagi dalam sebuah hadis yang lain; “Hendaklah kamu takut kepada kezaliman kerana kezaliman itu kegelapan pada hari Akhirat kelak.”


Sepertimana hati kita riang melihat burung berterbangan bebas di angkasa dan bukannya ‘mengurung’ mereka dalam ‘sangkar ciptaan kita’ maka begitu jualah pemimpin yang dianugerahkan akal untuk berfikir apa yang terbaik untuk rakyatnya.Allah telah berfirman:


79. Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang diangkasa bebas. tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.

(Surah An-Nahl;79)


Dalam sebuah ceramah baru-baru ini,saya mendengar kisah keadilan pemerintahan Khalifah Islam kedua iaitu Saidina Umar Al-Khattab.Pernah suatu ketika Saidina Umar berjalan di pasar awam dan terlihat seorang fakir yang beragama yahudi sedang meminta sedekah. Lalu, Saidina Umar membawa si fakir ini ke Baitul Mal yang merupakan sebuah institusi yang menyimpan harta umat Islam ketika itu.

Saidina Umar meminta pegawai Baitulmal untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada orang Yahudi. Lihatlah, begitu indahnya Islam kerana ia bukan sahaja melindungi orang Islam bahkan hak orang bukan Muslim turut terjaga.


Ada lagi kisah lain yang menceritakan tentang keadilan pemerintahan Saidina Umar , pernah suatu ketika anaknya pergi ke sekolah diketawakan oleh rakannya yang lain sambil membilang kesan tampalan baju sekolahnya yang compang-camping.Bila anaknya pulang ke rumah mengadu kepada Saidina Umar kejadian di sekolah dan berkata dia tidak akan pergi ke sekilah selagi tidak diganti dengan pakaian baru.


Lantaran itu, Saidina Umar pun memujuk anaknya dan berjanji untuk mengganti pakaian sekolah anaknya itu. Kemudian, Saidina Umar pun pergi ke Pejabat Perbendaharaan Negara(zaman sekarang bolehlah diibaratkan seperti Kementerian Kewangan) dan berjumpa dengan Ketua Pegawai di situ untuk meminjam sedikit wang untuk mengganti pakaian sekolah anaknya yang telah koyak- rabak.Cuba anda bayangkan keberanian orang Islam terdahulu dalam melaksanakan amanah dan kerendahan hati seorang khalifah.


Apabila Saidina Umar memaklumkan tujuan beliau datang ke situ adalah untuk meminjam sedikit wang,Ketua Pegawai bertanya bila hendak pulangkan kembali wang itu nanti.? Saidina Umar pun menjawab beliau akan menggantikan kembali wang itu apabila mendapat gaji hujung bulan itu. Lalu,Ketua Pegawai itu menjawab “Wahai Amirul Mukminin,bolehkah kamu memberi jaminan bahawa Amirul Mukminin akan dapat hidup lagi sehingga hujung bulan ini untuk pulangkan kembali wang tersebut.?(agaknya masih ada lagi ke di zaman sekarang seorang pegawai bawahan bawahan berani berkata sedemikian kepada ketua pemerintah sebuah Negara)


Saidina Umar pun akur dan membatalkan niatnya untuk meminjam wang tersebut. Saidina Umar pun pulang dan berkata kepada anaknya;”Kamu pergilah ke sekolah dengan pakaian lama dan jika ada rakan yang mengejek kamu, khabarkanlah kepada mereka bahawa ayahanda tak mampu untuk membeli pakaian baru.”


Begitulah secebis kisah tentang keadilan Islam dalam pemerintahan terdahulu.Sewajarnya, contoh yang baik inilah diikuti dan dijadikan panduan buat semua yang mengaku dirinya ‘aku seorang pemimpin’....Sekian.


Untuk renungan,bersama kita hayati lirik lagu kumpulan nasyid Hijjaz yang menceritakan serba-sedikit tentang ‘Siapa dia pemimpin yang adil’.


Pemimpin Yang Adil

Pemimpin yang adil ,

Sangat dikehendaki,

Memakmurkan ummat dunia dan akhirat,

Tiada keadilan,Negara huru-hara,

Pemimpin membela nasib rakyatnya,

Pemimpin yang adil,

Sifatnya amanah,

Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya,

Keadilannya tanpa ada pilih kasih pada siapa,

Kepentingan rakyat lebih utama,

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya,

Kasih-sayang terserlah di wajahnya,

Sombong dan takabur tidak ada pada dirinya,

Rakyat hormat bukan takut padanya,

Pemimpin yang adil,

Mengutamakan amanah,

Wang rakyat dan Negara tidak disalahguna,

Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya,

Rakyat diseru mentaati Allah,

Terdapat pemimpin di dunia kini,

Seringkali mencetus huru-hara,

Demi melindungi kepentingan dirinya,

Rela membiar rakyatnya derita,

Pemimpin yang adil,

Mengutamakan rakyatnya,

Melepaskan mereka dari sengsara,

Akhlak yang mulia pakaian dirinya,

Rakyat taat dan sayang padanya,

Tuhan kurniakanlah pemimpin yang sejati,

Tuhan kurniakanlah pemimpin yang begini,

Tuhan kurniakanlah pemimpin yang sejati,

Tuhan kurniakanlah ....

Tiada ulasan: