14 Februari 2011

TERSUNGKURNYA SI FIRAUN MODEN




Sejarah telah tercipta.Revolusi rakyat berjaya menumbangkan sang penguasa.

Pada tanggal 11 Februari 2011 bersamaan hari Jumaat lepas telah terlakar ukiran baru dalam lanskap politik dunia. Itulah REVOLUSI RAKYAT MESIR yang berjaya menamatkan riwayat pemerintahan rejim Husni Mubarak.

Pengumuman pengisytiharan pengunduran Mubarak itu diumumkan oleh Omar Suleyman, Naib Presiden Mesir secara langsung melalui tv kerajaan. Berita ini disambut dengan laungan Allahukbar dan linangan air mata sekalian rakyat jelata di seluruh pelusuk Mesir dan secara khususnya jutaan yang telah ‘berkubu’ di Medan Tahrir(Dataran Kemerdekaan) semenjak tercetusnya revolusi ini.







Revolusi 18 hari ini begitu menarik untuk kita perhatikan bersama. Bayangkan mereka boleh bersatu hati tanpa adanya seorang pemimpin utama yang memimpin di barisan hadapan. Jutaan rakyat ini sememangnya mewakili pelbagai lapisan masyarakat samada muda, tua, profesional, ulama, mahasiswa, penganggur, Muslim, Kristian dan bermacam lagi. Mereka mempunyai satu suara iaitu “We want Mubarak down.”


Ada yang memberikan pandangan ‘leaderless revolution’ ini berlaku kerana selama mereka di bawah pemerintahan rejim Husni selama 30 tahun sebelum ini, sememangnya tidak ada ruang dan peluang untuk mana-mana pemimpin menonjolkan diri dan meluaskan pengaruh supaya rakyat hanya percaya kepada Husni. Jika ada yang mula membina nama pasti akan dicantas secepat mungkin maka tak hairanlah Ikhwanul Muslimin telah lama diharamkan di bumi Mesir.

Apabila berbicara isu Mesir ini, pelbagai perspektif patut dinilai termasuk sejarah latar-belakangnya dan impak besar yang akan berlaku pasca-Husni.
Antaranya;
POLITIK: Husni Mubarak ini dikenali sebagai pemimpin yang begitu akrab dengan Barat khususnya Amerika Syarikat yang menjadi penyumbang dana tahunan berbilion ringgit kepada negara tersebut. Si Firaun moden ini juga begitu lunak dan mesra dengan Israel yang merupakan musuh ketat umat Islam. Mubarak bersifat keras dan tegas dalam melawan oposisi politiknya terutamanya gerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang telah sekian lama membina pengaruh di akar umbi Mesir.

EKONOMI: Sungguhpun, Mesir dikenali sebagai negara pengeluar minyak, memiliki jalan perdagangan Terusan Suez, Pelabuhan Alexandria(Iskandariah) dan pusat pelancongan seperti Piramid namun, hakikatnya kekayaan hasil negara ini tidak pun dinikmati oleh sekalian rakyat bawahan. Di kala rakyatnya menderita dek kerana kenaikan harga barang, inflasi yang tinggi, pengangguran yang meningkat tetapi Si Firaun moden bersama isterinya Suzanna Mubarak dan anaknya Jamal Mubarak ini sudah pun berjaya mengumpul harta di dalam dan luar negara yang dikatakan mencecah USD 80 Bilion. Pemimpinnya hidup senang-lenang manakala lebih 40% rakyatnya masih berada di bawah paras kemiskinan iaitu meraih pendapatan hanya RM6 sehari.

SOSIAL: Mesir merupakan suatu nama yang telah dikenali semenjak zaman-berzaman manakan tidak antara tamadun terawal dunia ialah Tamadun Mesir Tua yang bermula di Sungai Nil. Apatah lagi, dalam sejarah umat Islam sendiri kisah Nabi Musa yang menentang pemerintahan Firaun, raja yang zalim, angkuh serta engkar pada perintah Allah. Di hati umat Islam pula, nama Universiti Al-Azhar yang merupakan antara pusat pendidikan tertua di dunia semestinya begitu berjasa dalam melahirkan graduan dalam pengajian Islam. Contohnya, pemimpin terkenal gerakan Islam di negara kita iaitu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) dan YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) merupakan lulusan Al-Azhar.Malangnya, imej murni ini tercalar kerana pemimpin Mesir di bawah rejim Mubarak terlibat dengan gejala rasuah yang kronik.


Kini, nama Mubarak hanya tinggal kenangan dan mimpi buruk buat sekalian rakyat jelata. Pastinya, semua yang bangkit mengimpikan satu wajah baru Mesir yang lebih demokratik dan keadilan sosial buat mereka. Pemerintah tertinggi tentera yang sedang berkuasa sekarang telah pun mengisytiharkan pembubaran parlimen, penggantungan perlembagaan sementara menunggu pilihan raya presiden baru menjelang Ogos/September ini.


Sebagai penutup, ingin saya timbulkan beberapa persoalan yang wajar kita fikirkan bersama;
1. Apakah Ikhwanul Muslimin mampu menjadi pemacu utama dan memenangi hati rakyat untuk memimpin Mesir pasca rejim Mubarak ini?

2. Apakah tindakan yang akan dilakukan Amerika Syarikat dan Israel demi memastikan pemerintah Mesir yang baru kekal tunduk dan menjaga kepentingan mereka?

3. Tahukah anda bahawa antara medium utama komunikasi dan penggerak revolusi ini ialah internet contohnya Facebook dan Twitter?

4. Adakah anda bersetuju dengan pandangan bahawa revolusi ini mengikut Teori Domino yang akan berjangkit dari suatu negara ke negara yang lain?

Tumbangnya Si Firaun Moden ini diharapkan dapat memberi nafas baru kepada Mesir khususnya dan sinar kebangkitan Islam secara amnya serta tidak pula melahirkan Firaun-Firaun baru sebagai ganti Mubarak..
Sekalung tahniah buat semua rakyat Mesir..!


Medan Tahrir (Dataran Merdeka) kubu selama 18 hari

Kasut diangkat sbg lambang penghinaan terhadap Mubarak yang dibenci


Gelombang rakyat sehingga ke tepian pantai di Iskandariah



Ratusan yang terkorban dalam menegakkan kebenaran



Adakah sinar baru akan muncul selepas ini?


Kebangkitan rakyat yang tak dapat dibendung lagi


Jiwa pemuda antara penggerak utama revolusi ini


Solat Jumaat 11Februari beberapa jam sebelum Mubarak berundur

Doa mereka yang dizalimi dimakbul Tuhan


Srikandi sbg tulang belakang revolusi



Apabila rakyat bersatu dengan tentera


Sekalian rakyat menyambut gembira pemergian Mubarak


Goodbye Mubarak.

2 ulasan:

muhamad shafiq berkata...

tahniah di atas ulasan yang ringkas dan padat,pada pandangn saye amerika dan israel akan cuba sedaya upaya untuk mngekal kan pengaruh mereka di negara arab, ini sagt pntng bg meraka dalm mnjaga kpntngn meraka dalam ekonomi dan politik.

Ibnu Iskandar berkata...

Terima kasih atas respon.. Saya bersetuju dgn pandangan anda krn itulah sifat mereka sejak dulu lg. Setiap inci tanah umat Islam akan dijajah samada secara zahir mahupun belakang tabir. Persoalannya, apakah tindakan yg dilakukan oleh umat Islam utk menghadapinya?