21 Oktober 2010

Kenyangkan perut rakyat




Masa yang agak lapang sekarang membolehkan saya menilik kembali buku yang dihadiahkan seorang sahabat kepada saya. Buku terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd ini berjudul “Belajar Dari Dua Umar; Kenyangkan Perut Rakyat” ditulis oleh Hepi Andi Bastoni. Antara mutiara kata yang membuatkan saya begitu terkesan apabila membaca buku ini ialah;

“Jika rakyatku kelaparan, aku ingin jadi orang yang pertama merasainya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang yang terakhir yang menikmatinya.”

Begitulah tuturkata indah yang pernah ditutur oleh lidah khalifah kedua umat Islam, Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab tatkala beliau dihadiahkan makanan istimewa daripada Utbah bin Farqad,gabenor Arzerbaijan. Makanan yang terkenal paling lazat di Arzerbaijan ini diberi nama habish itu dibuat daripada minyak sapi dan kurma.
Sejurus makanan tersebut dihidang di hadapan khalifah, Saidina Umar lantas bertanya apakah nama makanan tersebut dan adakah seluruh rakyat di sana dapat menikmatinya..?
Beliau dimaklumkan bahawa makanan ini hanya dapat dinikmati golongan atasan.

Wajah Khalifah Umar berubah menjadi merah petanda marah. Maka, utusan yang datang itu diminta pulang ke negeri mereka dengan membawa kembali habish tersebut. Kepada gabenor, Saidina Umar menulis;

“………makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengeyangkan perutmu."

Kisah ini terkandung dalam kitab Manaqih Amirul Mukminin yang dikarang oleh Ibn Qayyim Al-Jawziyah. Hasan Al-Basri, seorang ulama zuhud pernah berkata kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz;

“Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaannya. Dia membawa gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Dia menjaganya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan.”

Prinsip sebeginilah yang wajar dimiliki oleh setiap yang bergelar pemimpin khususnya yang mentadbir sesebuah negara atau negeri. Malah, sepatutnya rakyat menjadikan prinsip ini sebagai salah satu pertimbangan dalam memilih pemimpin. Cakna rakyat pada setiap masa, bukan menjelang pilihanraya sahaja apabila undi rakyat ingin ditagih.

Kita wajib memilih pemimpin yang peduli dan memikirkan masalah rakyat bukannya pemimpin yang hanya sibuk memuaskan nafsu sendiri di samping giat mengkayakan anak-menantu, kroni dan sekalian pengampu di sekeliling.
Kisah ketokohan kedua Umar iaitu Saidina Umar Al-Khattab dan cicitnya Saidina Umar bin Abdul Aziz dalam memimpin amat wajar kita selusuri untuk mengambil iktibar dan panduan hidup bernegara.

Dalam konteks negara kita, setiap rakyat yang sudah cukup umur 21 tahun dan ke atas sudah layak untuk mendaftar sebagai pengundi yang akan menentukan jatuh-bangun sesebuah kerajaan setiap kali pilihanraya berlangsung. Mungkin ada yang memandang remeh soal ini dengan berpandangan urusan memilih pemimpin dan politik ini soal enteng sahaja tanpa perlu diambil berat.
Adakah tanggapan bahawa politik itu kotor dan tidak wajar dicampuraduk dengan urusan agama adalah telahan yang benar atau suatu tanggapan yang salah..?

Politik itu secara asalnya adalah suci namun ia sering dikotorkan oleh aktor-aktor dan para pemainnya. Ia menjadi kotor apabila panduan suci wahyu Al-Quran dan As-Sunnah ditolak ketepi dengan alasan tidak baik dicampuraadukkan urusan duniawi dengan soal agama. Bukankah tindakan ini adalah selari dengan intipati sekularisme yang mengganggap persoalan agama adalah hak peribadi masing-masing dan urusan dunia tidak boleh dicampur dengan agama.

Usahlah kita lupa bahawa Nabi Muhammad S.A.W yang diutus Allah kepada kita bukan sahaja penyampai wahyu Al-Quran tetapi baginda turut menterjemahkan ia dalam bentuk praktikal kehidupan baginda. Rasulullah seorang Nabi dalam masa yang sama bergelar ketua keluarga, ketua negara, dan ketua angkatan perang. Bahkan piagam Madinah yang merupakan antara undang-undang bertulis terawal di dunia ini telah dirangka sendiri oleh Baginda Rasulullah.

Berbalik kepada kepentingan memilih pemimpin, kita perlu sedar bahawa hanya dengan mengangkat pemimpin yang betul berlandaskan syariat sahaja dapat menjamin negara ‘baldatun toyyibahtun wa rabbun ghafur’ dapat direalisasikan.

Pemimpin yang mentadbir negaralah yang bertanggungjawab dalam merangka dan melaksana undang-undang, menguruskan hasil-mahsul negara, mencorakkan sistem keadilan sosial, mewujudkan sistem kehakiman yang bebas, membentuk sistem pendidikan yang baik, menjaga kebajikan rakyat dan bermacam-macam lagi amanah besar yang perlu ditanggung oleh mereka yang memerintah.

Sebagai kesimpulannya, sekalian rakyat jelata perlu sedar akan tanggungjawab dan kepentingan untuk mengangkat pemimpin yang betul ke posisinya. Jadilah rakyat yang berilmu, berpemikiran terbuka dan mempunyai pengetahuan agama yang cukup sebagai asas dan panduan dalam memilih pemimpin di segenap lapangan.


“Suara rakyat suara keramat. Ubah sebelum parah.”

1 ulasan:

THELaksamana berkata...

pilih pemimpin yang baik