27 Julai 2010

Kami Menantimu

Bulan Ramadhan,bulan yang mulia,
Bulan rahmat dan bulan berkat,
Bulan kebajikan,pahala berganda,
Bulan keampunan,doa diterima,
Bulan Ramadhan,Quran diturunkan,
Untuk panduan,hidup manusia,
Di dalamnya ada Lailatul Qadar,
Kebaikan dibuat lebih dari 1000 bulan,
Bulan Ramadhan,pintu neraka ditutup,
Mereka yang diazab kubur,direhatkan,
Iblis dan syaitan,kakinya dirantai,
Sebagai memuliakan bulan Ramadhan,
Berlumba-lumbalah mencari keredhaan,
Puasa di siangnya,menghidupkan malam,
Banyakkanlah doa,lebihkan sedekah,
Kawallah diri daripada dosa-dosa,
Beriktikaflah di sepuluh akhir Ramadhan,
Tika ada peluang,masa pun ada,
Kerana ia sunnah yang digalakkan,
Rasulullah tidak pernah meninggalkan,
Ramadhan (3x)
Bulan rahmah,
Bulan Ramadhan,bulan yang mulia,
Bulan rahmat dan bulan berkat,
Bulan kebajikan,pahala berganda,
Bulan keampunan,doa diterima.

Sudah lama tak mendengar lagu dendangan Hijjaz di atas.Biasanya ia akan berkumandang ketika bulan yang dinantikan umat Islam ini.Sedar tak sedar, umat Islam akan menerima kunjungan ‘tetamu istimewa’ buat kesekian kalinya tidak lama lagi. RAMADHAN…..Itulah bulan yang dinantikan, bulan yang penuh dengan kemuliaan, rahmat dan keampunan. Kedatangannya hanyalah sekali dalam setahun maka,beruntunglah bagi sesiapa yang memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 183;

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Bulan Ramadhan ibarat bonus buat umat Islam kerana di dalamnya terkandung pelbagai hikmat dan kelebihan. Jikalau pada bulan biasa,kita menyalahkan syaitan kerana menghasut kita melakukan maksiat tetapi pada bulan ini siapa pula yang ingin kita tudingkan jari kalau tetap melakukan dosa…? Syaitan dan iblis sudah dirantai, yang tinggal hanyalah nafsu diri kita sendiri yang perlu kita tangani ia dengan senjata iman.

Sepertimana Ramadhan yang disinonimkan dengan bulan puasa. Puasa itu seperti telah kita ketahui mempunyai pelbagai kebaikan termasuklah daripada sudut kebersamaan sesama Muslim,manifestasi ketaatan kepada Yang Maha Pencipta bahkan ia juga memberi natijah yang baik kepada kesihatan kita.
Ketika berpuasa, semua orang tidak kiralah samaada dia bergelar seorang raja, menteri, jutawan sehinggalah orang fakir tetap berpuasa daripada makan dan minum. Tidak ada pula yang mendapat pengecualian ketika berpuasa boleh makan tengahhari kerana dia bergelar VIP.

Bukankah secara tersiratnya melalui puasa, Allah memberi mesej kepada semua umat Islam yang kamu semua hambaKu adalah sama sahaja melainkan yang mulia di sisiNya ialah orang yang berTAKWA.. Dan di dalam ayat 183 Surah al-Baqarah, Allah menyebut tentang kewajipan berpuasa yang mana di hujungnya ada disebut “agar kamu bertakwa”.

Di kesempatan yang masih berbaki kurang 2 minggu ini, marilah sama kita mempersiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental untuk menempuhi bulan yang juga digelar 'pesta ibadah'. Jangan lupa untuk kita sama-sama berdoa memohon kepada Allah agar kita dipanjangkan umur untuk diberi kesempatan bertemu dengan Ramadhan kali ini.
Persoalan ajal-maut hanyalah Allah yang mempunyai kuasa mutlak.

(Teringat pula kisah pemergian Arwah Abang Farham pada bulan Ramadhan tahun 2004. Allahyarham yang boleh saya ibaratkan sebagai ‘permata’ keluaran SPM 2002 SMKA TAHAP meninggal dunia setelah mengalami kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur ketika dalam perjalanan ke sekolah TAHAP untuk mengambil adik perempuannya. Setahu saya, kisah allahyarham ini bukan sahaja terpahat dalam sejarah TAHAP tetapi sehingga ke Darul Quran.Daripada DIA kita datang, kepada DIA kita kembali.Al-Fatihah)

Tiada ulasan: