29 Mac 2010

Mari membaca



Pada Sabtu lepas, saya berkesempatan untuk membawa ahli keluarga yang datang daripada kampung untuk menjengah ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Sepertimana yang dijangka pesta ini sememangnya benar-benar pesta. Dengan lambakan buku pelbagai jenis begitulah jua ramainya manusia yang datang berpusu-pusu dari seceruk rantau.

Sebenarnya, pada sabtu yang pertama dahulu saya sudah pun hadir ke situ bersama rakan tapi kali ini kenalah datang semula untuk memberi peluang kepada ayah,ibu dan adik yang masih belum pernah merasa ke pesta buku. Jikalau kedatangan kali pertama dahulu saya telah membeli buku “Agama dan Politik; Wawasan ideal menyanggah kekeliruan pemikiran sekular-liberal” tulisan Asy-Syeikh Profesor Doktor Yusof Al-Qaradhawy dan kali ini buku bertajuk “Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad” pula menjadi pilihan hati. Buku ini pula ditulis oleh Dato’ Mokhtar Petah.


Berkebetulan pula pada jam 5 petang itu bertempat di Bilik Johor-Kedah, diadakan majlis pelancaran buku tersebut dan 2 buah buku lain iaitu “Polemik Isu Kalimah Allah” dan “Kezuhudan Umar Abdul Aziz dan Kesederhanaan Nik Abdul Aziz” yang ditulis oleh Ustaz Wan Ji. Kami sempat menghadiri majlis pelancaran buku tersebut.

Pada asalnya tetamu kehormat yang akan hadir dan merasmikan buku tersebut ialah YB Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS) namun atas sebab yang tak dapat dielakkan beliau dan YB Salehuddin Ayub (Ahli Parlimen Kubang Kerian merangkap Naib Presiden PAS) tidak dapat hadir.

Kami mendengar serba-ringkas ulasan buku oleh penulis buku sendiri iaitu Dato’ Mokhtar dan Ustaz Wan Ji. Kemudian, barulah ucapan perasmian yang diwakili oleh Dato’ Kamarudin Jaffar (Ahli Parlimen Tumpat). Antara isi ucapan beliau yang menarik ialah pentingnya budaya keilmuan dalam diri kita semua khususnya yang bergelar Muslim. Seperti contoh apabila isu kalimah Allah yang menghangatkan negara kita baru-baru ini hendaklah kita fahami dan bertindak mengikut ilmu dan bukan semata-mata emosi atau sentiment tertentu.

Di akhir majlis itu, saya sempat mengambil autograf daripada penulis buku “Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad” sebagai tanda kenangan. Sengaja saya memilih buku ini untuk dibaca kerana saya ingin mengenali dengan lebih dekat tokoh hebat yang diberi nama Zulkifli Muhammad ini.

Oleh kerana sekarang musim exam,tak sempat lagi untuk menamatkam pembacaan buku ini jadi,saya perturunkan di sini sebahagian kata pengantar yang ditulis oleh Dato’ Kamarudin Jaffar dalam buku terbitan IKDAS ini;

Nama Zulkifli Muhammad mungkin kurang dikenali oleh generasi muda hari ini. Tokoh besar ini adalah tokoh pejuang kemerdekaan yang hampir dilupakan orang. Tulisannya, pidatonya, kuliahnya, dan penglibatannya dalam NGO, bidang pendidikan dan politik negara sebenarnya cukup penting dalam konteks perjuangan menegakkan Islam di bumi Malaysia.

Tulisan-tulisan Zulkifli tentang falsafah, akhlak, ekonomi,, kemerdekaan, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan politik Islam menyerlahkan kekuatan pemikiran dan kekentalan perjuangannya.

Peribadinya mencerminkan akhlak seorang pejuang Islam yang memang disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Penglibatan dan sumbangannya dalam bidang pendidikan, khususnya semasa menjadi Setiausaha dan Pensyarah Kolej Islam Malaya begitu menyerlah.

Pidatonya begitu memukau khalayak. Beliau merupakan ahli parlimen Malaysia yang pernah berucap paling lama selama empat jam tanpa henti ketika membahaskan rang undang-undang di Dewan Rakyat.

Pada 1956 beliau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS. Beliau memenangi kerusi parlimen Bachok pada tahun 1959 dan berjaya mempertahankannya pada pilihanraya tahun 1964.

Malangnya, beliau meninggalkan kita dalam usia yang terlalu muda iaitu 37 tahun, dua hari selepas memberikan wasiat (ucapan terakhir) di hadapan wakil-wakil rakyat PAS di Kota Bharu, Kelantan. Beliau menemui ajal bersama-sama isterinya dalam satu ‘kemalangan’ jalanraya dekat Kuantan pada 6 Mei 1964.

Semangat perjuangannya yang cukup teguh dan pemikirannya yang luas dan tajam amat sesuai dijadikan contoh dan taudalan para pemimpin dan pendokong gerakan dan perjuangan Islam hari ini.

Nota: Sebagai tanda penghormatan,nama Profesor Doktor Zulkifli Muhammad diabadikan pada Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang terletak di Taman Melewar yang akan dirasmikan pada Julai ini.

Tiada ulasan: