11 Disember 2009

Bercerita lagi..


Minggu ini bermulanya sem baru setelah bercuti hampir sebulan di rumah.Sudah menjadi kebiasaan,cerita tentang aktiviti ketika cuti dimuatkan dalam blog ini.


Minggu pertama cuti,


Di rumah kini telah bertambah seorang 'ahli' baru iaitu baby yang diberi nama Syarifah Alyaa Nabiha.Setiap hari telatah baby ini menjadi perhatian seisi keluarga dan menambahkan lagi seri dalam rumah ini.Pada sebelah siangnya,baby ini memenuhkan masa dengan tidur sahaja manakala berjaga daripada jam 11malam sehingga 2 pagi.Terpaksalah ibu saya dan kak ipar melayannya sehingga dia mengantuk.Begitulah resam kehidupan bayi yang baru ingin mengenal dunia.

Apabila saya melihat sendiri susah-payah insan yang bergelar ‘ibu’ dalam membesarkan anak sejak daripada dalam kandungan sehinggalah membesarkan pula anak itu. Si ibu sanggup bersengkang mata walaupun sudah kepenatan di siang hari menjalankan tugasnya sebagai surirumah namun demi kesejahteraan anaknya mereka sanggup berkorban apa jua.Begitulah besarnya jasa mereka yang mendidik anak sejak tubuh sekecil bayi sehinggalah si anak mula mencecah dewasa.


Sungguh murninya ajaran Islam,martabat wanita diangkat dengan mulianya berbanding zaman jahiliyyah dahulu.Kedatangan Islam telah meletakkan wanita di tempat yang begitu bernilai dan sebab itulah pensyariatan menutup aurat diturunkan agar kehormatan wanita terjaga.

Mereka yang bergelar ibu mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Rasulullah S.A.W sehingga nama ibu disebut sebanyak 3 kali orang yang berhak untuk disayangi kemudian barulah disebut si bapa. Bahkan dalam kitab panduan agung ummat,Al –Quran banyak juga ayat yang menyebut tentang kewajipan anak mentaati ibu-bapa. Khususnya bagi anak lelaki,kewajipan untuk menjaga dan mentaati ibu-bapa tidak pernah kurang sedikitpun hatta sudah berkahwin. Anak lelaki perlu mendahulukan ibu terlebih dahulu berbanding isterinya sendiri.


Minggu kedua cuti,

Keluarga saya mengadakan kenduri kesyukuran dan bercukur pada tengah hari Ahad 15 Disember.Pengalaman pertama saya apabila ditugaskan untuk menjadi chef ‘tak bertauliah’.Seawal lepas subuh saya sudah memulakan operasi sehinggalah selesai jam 11pagi.Tugasnya taklah payah sangat sekadar menggoreng ayam berempah.


Kaedah penggorengannya yang agak berbeza iaitu tidak digoreng di dalam kuali tetapi digoreng di dalam periuk.Ayam yang telah diperap dengan rempah tersebut akan disusun di dalam ‘sangkar besi khas’ kemudian barulah dimasuk ke dalam periuk berisi minyak panas.Walaupun chef ini tak bertauliah,ayam goreng berempah merupakan antara hidangan yang paling diminati ketika kenduri tersebut. (eh, “angkat bakul masuk sendiri”lah pulak..)


Selepas kenduri selesai,petang itu juga abang dan isterinya pulang bersama baby Alyaa ke kampung sebelah mertuanya di Kuala Terengganu untuk menghabiskan cuti di sana pula.Maka,kesunyian pun melanda rumah ini apabila suara tangis bayi yang selalu kedengaran telah tiada.Oleh kerana dalam laptop ini ada banyak gambar baby Alyaa maka dapatlah dijadikan ‘ubat rindu’ oleh ibu saya.



Menjelang hari Jumaat,persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha mula dibuat.Pada hari Khamis,bapa saudara,ibu dan nenek saya sendiri membuat lemang.Sempatlah juga saya menyibukkan diri untuk membantu apa yang patut.

Bermula dari menebang buluh kemudian memasukkan beras ke dalam batang buluh yang dah dilapis dengan daun pisang dan memasukkan pula santan apabila hendak mula membakar lemang tersebut.


Memang kreatif orang tua zaman dahulu yang belum serba canggih,mereka menggunakan akal untuk memanfaatkan pohon buluh dengan membuat lemang. Tapi,zaman sekarang orang dah kurang berminat untuk membuat kerja yang leceh begini. Jadi,mereka pun singgah sahaja di tepi jalan untuk membeli lemang yang dah siap dibakar.5 minit sahaja dah cukup untuk membeli berbanding proses membuatnya sendiri yang memakan masa berjam-jam lamanya.


Tahun 1430H,Aidiladha jatuh pada hari Jumaat.Untuk mengelakkan kesuntukan masa untuk bersolat Jumaat pula,Masjid Kampung Temin mengadakan majlis Qurban pada hari tasyrik yang ke2 iaitu Sabtu.


Selepas Solat Sunat Aidiladha, kami saudara-mara pun membuat rombongan ziarah raya dari rumah ke rumah seperti Aidilfitri.Cuma,bezanya bilangan yang terlibat tidaklah terlalu ramai dan rumah yang diziarahi pun lebih kurang 10buah rumah sahaja.Inilah antara aktiviti yang saya sukai kerana dapat merapatkan lagi ikatan silaturahim di samping dijadikan medan untuk bersua-muka antara pelbagai golongan usia.



Minggu ketiga cuti,

Pada awal minggu ini saya dan keluarga menghadirkan diri ke jemputan majlis perkahwinan di Kampung Budu,Kuala Lipis.Semestinya kalau ke Lipis melalui jalan Benta saya masih ingat kenangan di waktu kecil yang muntah-muntah kerana kepeningan melalui jalan bagai “ular kena palu”.Harap-harap kerajaan mempercepatkanlah projek jalan baru yang lurus untuk memudahkan lagi kehidupan rakyat di negara yang sudah merdeka selama 52 tahun.


Bermula pada hari Isnin ibu dan ayah membuka semula gerai yang dah lebih sebulan ditutup gara-gara menyambut cucu pertama.Di kesempatan yang ada inilah peluang digunakan saya untuk membantu ibu berniaga; tugas yang sudah kami 4 beradik kenal sejak kecil lagi. Semestinya kami perlu berusaha sehingga ke puncak jaya demi membalas kembali jasa besar dan pahit-getir yang dialami oleh ibu dan ayah dalam mencari rezeki untuk kami semua.



Pada petang Jumaat pula saya menjenguk ke TAHAP untuk bertemu adik-adik junior yang sedang menghadapi SPM.Malam itu berkesempatan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hairul Amizam yang menggunakan kitab arab.Pelajar Form 4 juga ada di sekolah kerana mereka ada kelas tambahan untuk subjek-subjek kritikal.Baguslah usaha pihak sekolah untuk memastikan persediaan para pelajar ini untuk menghadapi SPM 2010 dimulakan dengan lebih awal.


Sehari sebelum pulang ke kampus,cuaca di daerah Jerantut yang hujannya turun begitu lebat dengan tempoh yang agak lama menyebabkan banjir ‘kecil’ melanda kampung saya.Rumah yang terlibat ialah rumah saudara saya yang kedudukannya agak rendah dan berdekatan sungai.


Di rumah inilah saya dibesarkan dahulu ketika kami sekeluarga tinggal bersama arwah datuk dan nenek sehinggalah rumah baru kami siap dan berpindah pada tahun 2000.











Tamatlah sudah cerita cuti sem baru ni...

1 ulasan: