27 Mei 2009

I Love Malaysia


Pada Ahad 24 Mei lepas,saya berkesempatan untuk hadir ke sebuah program yang ‘amat bagus’ iaitu “Seminar Bina Negara” anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri.Oleh kerana kehadiran ke program ini adalah wajib maka saya dengan keadaan paksa rela tetap hadir untuk mendengar sesi ceramah yang diadakan daripada pagi sehingga ke petang.

Di awal pembukaan program,pegawai HEP telahmengingatkan kami untuk bersifat terbuka dan tidak terikut-ikut dengan emosi sepanjang program berlangsung.Saya menyambut baik saranan sedemikian tetapi haruslah juga diingat tidak semestinya apabila suara mahasiswa lantang membangkitkan soal tertentu ia boleh dicop sebagai ‘penentang’ @ ‘rakyat yang tak reti nak bersyukur’.


Program bermula dengan sesi ceramah 1  yang bertajuk “Patriotisme dan Cinta Negara”.Tidak kurang hebatnya penceramah menghuraikan tajuk dengan bantuan slide di skrin besar untuk meyakinkan para pendengar.Beliau memulakan ceramah dengan menghuraikan serba sedikit berkenaan perlembagaan Malaysia dengan menyatakan agama Islam telah diletak tempat yang tertinggi (sejak bila pula Malaysia ini menjunjung undang-undang Islam..?) dan persoalan nama Tanah Melayu.


Kemudian ceramah diteruskan lagi dengan membangkitkan persoalan yang pada pandangan saya kenyataan yang berunsurkan ‘racist’(perkauman) contohnya;

Økkuil haram di Selangor, 

Ø patung dewa yang besar di Batu Caves,

Ø larangan azan menggunakan speaker di Selangor

Ø papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang,

Ø perebutan kuasa di Perak,

Ø tragedi berdarah 13 Mei 1969,

Ø kontrak sosial

Ø hak istimewa orang Melayu


Tidak cukup dengan itu,beliau juga turut membangkitkan isu:

v bakar bendera Malaysia di Terengganu,

v pelbagai demonstrasi di Kuala Lumpur,

v akta ISA & OSA,

v hukum hudud

v perpaduan umat Melayu


Kalau sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada mulut orang dan pembacaan yang mengatakan program ini kebiasaannya akan menjadi ‘medan’ untuk berkempen pihak tertentu,kali ini saya sendiri hadir dan menjadi peserta program.

Bak kata pepatah (yang sering diguna oleh GPK Hem ketika sekolah dahulu) “sudah terang lagi bersuluh”, saya dapat merasakan halatuju program ini bukanlah untuk menyemai semangat cintakan Negara dan perpaduan kaum tetapi hakikatnya ia berusaha memecah-belahkan lagi ikatan persaudaraan dan semangat perpaduan antara kaum yang sudah lama terjalin. 

Modus operandinya amat mudah iaitu membangkitkan semangat kemelayuan dan menimbulkan kecurigaan antara kaum.


Kalau diikutkan hati ingin sahaja saya bangun untuk mempersoalkan kerelevanan isu yang dibawa oleh penceramah namun apakan daya atas kekangan tertentu saya pendamkan sahaja di dalam hati dan diluahkan kepada sahabat di sebelah yang turut sependapat dengan saya.(kini blog ini menjadi medan luahan pula..)


Terus terang saya katakan,hampir kesemua isu yang disebut(kononnya berbentuk fakta)  oleh penceramah adalah cerita yang sengaja direka atau diputar-belit atau diperbesarkan atas kepentingan pihak tertentu.


Saya yakin ramai di kalangan mahasiswa yang hadir dapat menilai yang mana permata, yang mana kaca,yang mana haq dan yang mana batil..!


Kisah pengalaman ‘amat berharga’ ini belum tamat...

Program diteruskan lagi dengan sesi ceramah kedua yang bertajuk “Ekonomi Malaysia dan Cabaran Semasa”. Secara zahirnya isi ceramah ini menyentuh persoalan ekonomi dengan ditayangkan slide pelbagai perangkaan,budget Negara,statistic kemiskinan dan macam-macam lagilah.Malangnya,ia juga turut memasukkan unsur racist seperti ceramah 1 tadi.

Beliau membangkitkan isu status bumiputera, kaum pendatang,Dasar Ekonomi Baru(DEB),proton dan jalanraya.


Dalam banyak isu yang disentuh beliau ada 2 isu yang amat menggelikan hati saya;


1)beliau mengatakan rakyat Kelantan(negeri asalnya) agak lambat nak berubah pemikiran dalam memilih pemerintah kerana tiadanya lebuhraya highway penghubung dengan kawasan maju.

(beliau terlupa agaknya kini di tempat yang majulah kawasan paling ramai orang ingin ‘berubah’)


2)beliau juga mengatakan ‘MB rakyat Perak’,Datuk Seri IR Nizar Jamaluddin tidak bersemangat patriotisme kerana telah terpengaruh dengan penasihat Cina di sekelilingnya sehingga sanggup menukar kereta rasmi kerajaan daripada Proton Perdana kepada Toyota Camry.

(beliau pun terlupa agaknya bahawa jutaan lagi rakyat termasuk pemimpin tertinggi yang mengguna kereta bukan buatan Malaysia. Kalau ye pun nak nilai semangat cintakan Negara bukan sekadar lihat pada kereta..!)


Program berhenti rehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor..


Kini,tibalah ke sesi ceramah terakhir yang disampaikan oleh ‘orang besar’ pihak penganjur.Alhamdulillah,nampaknya penceramah ketiga yang bersifat lebih terbuka dan tidak menghentam pihak lain dengan sesuka hatinya.Ceramah yang bertajuk “Peranan dan Halatuju Mahasiswa” disampaikan dengan bersahaja dan agak bermanfaat kalau hendak dibandingkan dengan 2 ceramah sebelumnya.


Pada tepat jam 5petang program seminar siri pertama ini melabuhkan tirai.Pihak committee mengingatkan kami selepas ini masih ada  siri seminar yang ‘wajib’ kami hadiri untuk melayakkan diri mendapat sijil. (slip kehadiran ke program siri 1 perlu ‘diperap’ di mahallah dan dibawa ke semester depan).

 Ya,saya faham kalau tidak dibuat taktik sebegini entah berapa orang yang rela dan berminat untuk menjadi peserta.



Pengajaran yang boleh saya dapat daripada ‘program ilmiah’ ini;

1)pada era globalisasi kini, tidak sewajarnya kaedah membangkitkan semangat perkauman digunapakai untuk meraih sokongan


2)ketika proses menerima sesuatu input/info hendaklah dikaji kesahihannya bukan sekadar ‘menelan hidup-hidup’


3)Islam sememangnya telah memberi guideline lengkap untuk carahidup bermasyarakat,persoalannya adakah ia dipraktikkan..?



Saya tidaklah menolak sepenuhnya program yang sepatutnya bermanfaat ini.Ia haruslah diubahsuai mengikut landasan Islam dan senario semasa demi melahirkan generasi pelapis masa depan Negara yang CEMERLANG,GEMILANG lagi TERBILANG dan bukan TEMBERANG.!



“Satu Malaysia; rakyat didahulukan, pencapaian ditingkatkan"

Tiada ulasan: