20 Ogos 2008

Ahlan Ya Ramadhan-Kedatanganmu dinanti,Pemergianmu ditangisi.


Firman ALLAH dalam surah Al-baqarah ayat 183 yangbermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman,Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."
Dalil Al-Quran inilah yang sering dibaca tiap kali menjelang tibanya ramadhan.Terlebih dahulu marilah sama kita merenung sejenak sejauh mana persiapan kita untuk menghadapi bulan penuh barakah ini.? Atau pun kita lebih sibuk untuk menyambut kedatangan Syawal dengan menempah bermacam-macam yang serba baru seperti baju raya,kuih raya,kasut raya,langsir raya dan bermacam-macam lagi ‘raya’ yang kadangkala sehingga membazir dan melampaui batasan syarak.
Cuba kita mengkaji serba sedikit falsafah dan hikmah disebalik kewajipan berpuasa yang juga merupakan rukun Islam yang ketiga.Allah telah pun menjelaskan dalam Al-Quran sepertimana yang disebut di awal tadi kewajipan berpuasa ini adalah untuk menghasilkan hamba yang berTAKWA.Namun berapa ramai dalam kalangan kita yang sedar akan persoalan takwa ini.?Kita perlu ingat pesan Rasullullah S.A.W bahawa ramai juga yang berpuasa dengan berlapar dan dahaga tetapi keletihan itu menjadi sia-sia sahaja kerana tidak faham apa tuntutan sebenar berpuasa.Nauzubillah,moga kita tidak tergolong dalam golongan itu.
Hebatnya agama Islam yang kita anuti ini mengajar segala aspek kehidupan kepada penganutnya .Sehingga kan kita semua diajar dan dilatih untuk merasai keperitan dan kesusahan orang fakir miskin yang seringkali tidak dapat menikmati makanan,minuman,pakaian dan keperluan yang lain dengan sempurna.Begitulah juga nasib yang menimpa saudara seagama kita di seantero dunia seperti Palestin,Iraq,Afhganistan,Sudan,Kosovo,Selatan Filipina dan lain-lain yang terus ditindas puak kafir yang tidak pernah puas menzalimi mereka.Namun,selama mana kita ingin sekadar menjadi ‘penonton dan pendengar setia’ kisah sedih meruntun hati ini..?Paling tidak kita perlulah menadah tangan memohon kepada Ilahi moga kehidupan mereka terbela dan juga berazam di dalam hati untuk bergelar penegak agama Allah di muka bumi ini suatu hari nanti.insyaALLAH!
Sebagai penutup bicara ruangan ini,di kesempatan yang masih ada untuk menanti tibanya bulan umat Islam ini bersamalah kita menanam azam dan tekad serta target apa yang ingin kita capai sepanjang Ramadhan ini terutama peningkatan dalam aspek ibadah,akhlak dan keilmuan kita.Moga kita semua dapat memanfaatkan kedatangannya yang hanya sekali setahun dan menempuhi madrasah Ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaya memperoleh ‘ijazah’insan bertakwa di akhir nanti.Marilah jua sama kita memanjatkan doa moga kita sempat untuk dipertemukan dengan Ramadhan kali ini dan berjuang hingga ke garisan penamat.Kita jadikan ia Ramadhan yang terbaik yang pernah kita lalui dalam kehidupan kita.Ya Ramadhan kami menanti kehadiran mu…!

1 ulasan:

ijad berkata...

salam.. apa khabar...