28 Mei 2010

Hujung Minggu 1


Alhamdulillah,kelapangan masa pada Sabtu lepas (22 Mei 2010) telah saya manfaatkan dengan menghadiri Seminar Gerakan Islam dan Persaingan Demokrasi anjuran bersama GAMIS, pejabat Adun Cempaka dan Lajnah Dakwah DPPP. Hujan yang turun pada pagi itu tidak mematahkan semangat kami untuk pergi bahkan rasanya lebih berkobar-kobar kerana yakin jikalau tidak pergi pasti ‘katil’ yang akan jadi tempat disayangi ketika cuaca sejuk di pagi hari. Saya menaiki kereta bersama sahabat saya,Firdaus menuju ke Ampang untuk ke seminar yang bertempat di Hotel De Palma, Ampang.

Oleh kerana kami tidak pernah sampai ke situ dan agak kurang biasa dengan kawasan Ampang, kami meminta panduan daripada Taufiq yang lebih arif tentang selok-belok di KL ini. Selepas lebih-kurang 20 minit, kami sampai di hadapan bangunan hotel yang dimaksudkan. Seperti biasa sebelum seminar bermula ialah sesi pendaftaran dan diikuti sarapan pagi.

Majlis yang dipengerusikan oleh mc yang begitu bersemangat pada pagi itu dimulakan dengan ucapan aluan oleh tuan rumah iaitu Yb Ir Iskandar Abdul Samad yang merupakan Adun Cempaka merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO). Antara intipati ucapan ringkas beliau ialah;


v Menerangkan situasi semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor

v Kita perlu berani dalam menyuarakan prinsip perjuangan dan jangan terlalu cepat bersikap apologetic. Cth; Walaupun PAS merupakan parti penyumbang kerusi yang terkecil bilangannya dalam kerajaan PR, tetapi tetap bersuara dalam soal arak dan judi.

Ucapan perasmian pula oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Ketokohan beliau dalam berpidato antara ciri menyerlah sebagai pimpinan yang saya kagumi. Sempat juga saya membuat catitan intipati ucapan beliau;


v Risalah perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W senantiasa berkesinambungan sehingga ke hari ini dibawa pula oleh abnaul harakah.

v Perjuangan menegakkan Islam tidak pernah bertemu titik noktahnya sehinggalah Islam itu diletakkan di tempat yang tertinggi untuk memerintah.

v Peranan anak muda yang begitu signifikan dan penting dalam usaha memartabatkan Islam.

v Perlunya bersikap optimis dan positif dalam memikirkan masa depan kebangkitan Islam yang pasti akan datang walaupun kita belum ketahui bila masanya.

v Iktibar daripada kisah ketika hijrah iaitu Suraqah Ibn Malik yang dijanjikan gelang kebesaran kerajaan Parsi dan Rom oleh Rasulullah. Walaupun janji itu dilihat agak ‘tidak masuk akal’ ketika Islam masih lemah ketika itu namun janji baginda menjadi realiti apabila panglima perang Saad Bin Abi Waqas berjaya mengalahkan kedua-dua kerajaan tersebut di zaman Saidina Umar r.a. BENARNYA JANJI RASULULLAH.

v Kisah penawanan Kota Konstantinople yang disebutkan Nabi bahawa ia akan ditawan oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Selepas 800 tahun terbukti kata-kata Rasulullah itu benar apabila kota tersebut berjaya ditawan dengan usaha gigih oleh Sultan Muhammad Al Fatih.

v Dalam soal demokrasi pula, kita sememangnya tidak ‘beriman’ dengan demokrasi, dengan situasi yang ada kita memilih kaedah muwajahah silmiyyah (berhadapan secara baik) untuk menegakkan Islam dalam konteks di Malaysia.

v Demokrasi hanyalah WASILAH (cara untuk mencapai matlamat), matlamat tertinggi kita ialah keredhaan Allah.

v Kata-kata hikmat sebagai penutup; “Mati dalam ketaatan kepada Allah adalah jauh lebih baik daripada hidup dam kederhakaan kepada Allah”.

Pembentangan kertas kerja pertama yang bertajuk “Masa Depan dan Cabaran Gerakan Islam dalam Sistem Demokrasi” oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki daripada Institute of Policy Studies DPPP. Isi dalam kertas kerja beliau ialah;


v Polemik tentang kewajaran gerakan Islam terlibat dengan demokrasi penting untuk diambil peduli tetapi dalam kertas kerja ini beliau lebih menumpukan tentang apakah bentuk orientasi atau aktivisme dalam keadaan demokrasi kian terbuka sekarang?

v Mengemukakan teori Fracis Fukuyama ‘The End of History’ yang menyebut dunia akan berubah kepada penerimaan terhadap demokrasi sebagai sistem tunggal. Dunia Islam turut terkena tempiasnya apabila semakin banyak Negara yang ingin mengamalkan demokrasi manakala yang sedia ada mengamalkannya pula ingin berubah ke arah lebih demokratik.

v Kesempatan dan peluang yang ada di dalam sistem demokrasi yang lebih terbuka ini sepatutnya dimanfaatkan oleh gerakan Islam untuk menyampaikan mesej perjuangan sekaligus mengupayakan mereka dalam membentuk pandangan umum(ra’y al-‘am) masyarakat.

v Kuasa imperialism Barat giat berusaha agar demokrasi terlaksana di dunia Islam untuk mengekang terrorism. Antara pendekatan yang mereka gunakan ialah ; 1)mengadakan engagement dengan gerakan Islam

2)menaja kumpulan yang berimej Islam tetapi sedia berada di bawah telunjuk mereka

3)mewujudkan pertelingkahan dalam kalangan pendukung gerakan Islam

v Kemunculan kuasa ketiga iaitu golongan bukan politik (masyarakat sivil) yang menjadi pesaing kepada gerakan Islam untuk mendapat sokongan masyarakat. Mereka tidak berjuang untuk ideology politik tetapi isu lebih spesifik seperti environmentalisme, hak asasi dan feminism.

v Gerakan Islam sekali lagi mendapat saingan daripada kumpulan yang mewakili suara Islam. Percambahan pemikiran dalam wacana ilmu Islam dalm keadaan demokrasi yang terbuka ini menyebabkan pertembungan antara golongan Salaf dan Khalaf muncul kembali setelah pernah diharmonikan dengan kewujudan gerakan Islam di seluruh dunia suatu ketika dulu. Polemik ini sedikit-sebanyak akan melemahkan gerakan Islam.

v Tidak dapat dinafikan, gerakan Islam akan menempuhi jalan sukar dalam merealisasikan cita-cita mereka dalam ruang lingkup demokrasi yang sebahagiannya dari sistem tajaan Barat namun ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

NOTA: ada 2 lagi pembentangan kertas kerja menarik yang akan dikongsikan dalam posting akan datang.

Tiada ulasan: