Pada Jumaat malam itu sempatlah Shafie dan saya mendengar kuliah tafaqquh yang disampaikan Ustaz Hairul Amizam. Saya mengagumi beliau yang juga merupakan seorang warden yang begitu gigih mentarbiyyah pelajar tanpa mengenal erti penat-lelah. Tajuk yang disampaikan pada malam itu berkaitan Taubat. Antara pengisian yang disampaikan ialah;
§ Setiap orang daripada kalangan kita tak pernah terlepas daripada melakukan dosa.Persoalan yang timbul ialah adakah kita menyedari akan perbuatan itu dan bertaubat untuk meninggalkannya.?
§ Apabila dihitung amal seharian kita nescaya didapati banyaknya dosa yang kita lakukan berbanding amalan yang menambahkan pahala.
§ Hamba Allah yang menangis bersendirian di malam hari kerana menyesali perbuatan dosa yang dilakukan, air mata yang jatuh itu akan menjadi saksi di akhirat kelak agar diselamatkan hamba ini daripada api neraka.
§ Antara maqam yang terendah di kalangan manusia ialah mereka yang melakukan dosa dan bertaubat atas kesalahannya. Maqam seterusnya ialah manusia yang bertaubat dan menjauhkan diri daripada perkara makruh yang dibenci Allah. Bagi orang yang soleh pula mereka bertaubat daripada melakukan perkara harus.
Maqam bagi orang muttaqin pula mereka bertaubat dalam perkara taat iaitu memohon ampun atas kelalaian ketika melaksanakan kewajipannya. Orang mukhlisin pula tergolong dalam maqam tertinggi, mereka melaksanakan amal ibadah tanpa mengharapkan apa-apa melainkan redha Allah.
§ Kisah si ayah yang ingin menyedarkan anaknya yang sering melakukan dosa. Si ayah telah berusaha menasihati si anak agar bertaubat dan meninggalkan perbuatan dosa namun “bagaikan mencurah air ke daun keladi”, si anak tetap degil untuk berubah. Sebagai usaha untuk mengingatkan anaknya yang enggan bertaubat, si ayah mendapat idea dengan mengetuk paku di tiang setiap kali anaknya melakukan perbuatan dosa. 1 paku mewakili 1 dosa yang dilakukan. Lama kelamaan, tiang itu penuh dengan ketukan paku sehinggalah suatu hari si anak terdetik untuk melihat tiang tersebut.
Apabila dia bertanya kepada si ayah mengapa tiang itu dipenuhi dengan paku, si ayah pun memberitahu ianya sebagai lambang begitu banyaknya dosa yang dilakukan oleh kamu. Akhirnya, terdetik dalam hati si anak untuk menyesali perbuatan yang dilakukan selama ini. Dia yang insaf berubah dengan memperbanyakkan amalan baik yang menambahkan pahala. Si ayah pun mencabut kembali satu-persatu paku tiap kali amalan baik dilakukan anaknya sehingga habis kesemua paku tersebut dicabut. Namun, agak mengejutkan apabila dilihat pada tiang tersebut paku-paku yang telah dicabut tetap meninggalkan kesan pada tiang tersebut.
Itulah perumpamaan yang boleh kita ambil tentang perbuatan dosa tetap buruk dan meninggalkan kesan di hati kita maka sewajarnya kita berusaha untuk menjauhi segala amal yang buruk dalam kehidupan seharian.
Begitulah sahaja perkongsian yang dapat diberikan bersempena cuti akhir sem lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan