Memaparkan catatan dengan label tauladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tauladan. Papar semua catatan

12 Mei 2010

CATATAN HUJUNG- TAUBAT SEORANG HAMBA


Pengembaraan cuti ditamatkan dengan turun sekali lagi ke sekolah yang tercinta, SMKA TAHAP. Saya turun sekali lagi untuk menyampaikan nasihat dan amanat kepada kepimpinan pelajar kerana biasanya bila dah kembali ke alam kampus, kesempatan untuk datang semula ke TAHAP agak susah.


Pada Jumaat malam itu sempatlah Shafie dan saya mendengar kuliah tafaqquh yang disampaikan Ustaz Hairul Amizam. Saya mengagumi beliau yang juga merupakan seorang warden yang begitu gigih mentarbiyyah pelajar tanpa mengenal erti penat-lelah. Tajuk yang disampaikan pada malam itu berkaitan Taubat. Antara pengisian yang disampaikan ialah;

§ Setiap orang daripada kalangan kita tak pernah terlepas daripada melakukan dosa.Persoalan yang timbul ialah adakah kita menyedari akan perbuatan itu dan bertaubat untuk meninggalkannya.?

§ Apabila dihitung amal seharian kita nescaya didapati banyaknya dosa yang kita lakukan berbanding amalan yang menambahkan pahala.

§ Hamba Allah yang menangis bersendirian di malam hari kerana menyesali perbuatan dosa yang dilakukan, air mata yang jatuh itu akan menjadi saksi di akhirat kelak agar diselamatkan hamba ini daripada api neraka.

§ Antara maqam yang terendah di kalangan manusia ialah mereka yang melakukan dosa dan bertaubat atas kesalahannya. Maqam seterusnya ialah manusia yang bertaubat dan menjauhkan diri daripada perkara makruh yang dibenci Allah. Bagi orang yang soleh pula mereka bertaubat daripada melakukan perkara harus.

Maqam bagi orang muttaqin pula mereka bertaubat dalam perkara taat iaitu memohon ampun atas kelalaian ketika melaksanakan kewajipannya. Orang mukhlisin pula tergolong dalam maqam tertinggi, mereka melaksanakan amal ibadah tanpa mengharapkan apa-apa melainkan redha Allah.

§ Kisah si ayah yang ingin menyedarkan anaknya yang sering melakukan dosa. Si ayah telah berusaha menasihati si anak agar bertaubat dan meninggalkan perbuatan dosa namun “bagaikan mencurah air ke daun keladi”, si anak tetap degil untuk berubah. Sebagai usaha untuk mengingatkan anaknya yang enggan bertaubat, si ayah mendapat idea dengan mengetuk paku di tiang setiap kali anaknya melakukan perbuatan dosa. 1 paku mewakili 1 dosa yang dilakukan. Lama kelamaan, tiang itu penuh dengan ketukan paku sehinggalah suatu hari si anak terdetik untuk melihat tiang tersebut.

Apabila dia bertanya kepada si ayah mengapa tiang itu dipenuhi dengan paku, si ayah pun memberitahu ianya sebagai lambang begitu banyaknya dosa yang dilakukan oleh kamu. Akhirnya, terdetik dalam hati si anak untuk menyesali perbuatan yang dilakukan selama ini. Dia yang insaf berubah dengan memperbanyakkan amalan baik yang menambahkan pahala. Si ayah pun mencabut kembali satu-persatu paku tiap kali amalan baik dilakukan anaknya sehingga habis kesemua paku tersebut dicabut. Namun, agak mengejutkan apabila dilihat pada tiang tersebut paku-paku yang telah dicabut tetap meninggalkan kesan pada tiang tersebut.

Itulah perumpamaan yang boleh kita ambil tentang perbuatan dosa tetap buruk dan meninggalkan kesan di hati kita maka sewajarnya kita berusaha untuk menjauhi segala amal yang buruk dalam kehidupan seharian.

Begitulah sahaja perkongsian yang dapat diberikan bersempena cuti akhir sem lepas.


04 Mei 2010

CATITAN 2- Jalan-jalan Cari Ilmu







Pengembaraan ketika cuti diteruskan dengan menjelajah dua buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Perjalanan ini bukan untuk sekadar ‘makan angin’ tetapi yang lebih penting iaitu untuk mengutip mutiara ilmu daripada para alim-ulama dan umara’ yang kami jumpa.

Antara pengisian yang dapat dikongsikan di sini ialah;

1) Pentingnya peranan pemuda dalam membawa panji perjuangan Islam. Apabila diimbau sirah perjuangan baginda Rasulullah S.A.W,kita dapat lihat seberapa ramai tokoh pendokong dakwah Nabi dalam kalangan yang bergelar pemuda seperti contoh; Saidina Ali, Zubair Ibn Al Awwam,Usamah Bin Zaid dan ramai lagi. Pada ketika orang yang lebih tua menentang dakwah Nabi tetapi golongan muda inilah yang menjadi benteng dan tiang pasak perjuangan Islam.

Allah berfirman;


إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)


Pemuda yang sering disebut sebagai ‘agen perubah’ perlu menyedari akan hakikat bahawa amanah untuk meneruskan perjuangan baginda Rasulullah S.A.W tergalas di bahu kita semua.Justeru,persiapan daripada segenap aspek seperti fizikal,mental dan rohani hendaklah bermula daripada sekarang.


2)Kewajipan terhadap diri kita untuk melengkapkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu di dada sebagai bekal untuk memimpin suatu hari nanti. Sabda Nabi Muhammad S.A.W;


"Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)


Tanggungjawab untuk mengajak orang ke arah kebaikan pastinya memerlukan ilmu kerana untuk mengeluarkan manusia daripada lembah kejahilan ke arah sinaran kebenaran bukanlah tugasan yang mudah lebih-lebih lagi bagi yang bergelar pemimpin. Ibarat nakhoda dalam sebuah pelayaran yang memerlukan pelbagai jenis kepakaran agar kapal tersebut selamat tiba ke destinasi yang dituju. Begitulah jua pemimpin bertanggungjawab untuk membawa sekalian rakyat jelata ke arah siratul mustaqim mestilah dipandu dengan ilmu.


3) Kepentingan Al-Quran dalam kehidupan setiap Muslim. Kitab ini bukan sahaja perlu dibaca, tetapi perlu difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Allah berfirman;


كتاب أنزلناه إليك مبارك ليدّبّروا آياته و ليتذكّر أولوا الألباب


“(Al-Quran ini) Sebuah kitab yang kami turunkan kepada mu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”. (Surah Ash-Shad:29)

Al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah kepada sekalian makhluknya. Amat malang sekali jikalau kita hamba yang dicipta olehNya bersikap enggan peduli terhadap apa yang dikurniakan kepada kita. Jikalau kita amat menghargai hadiah yang diberikan oleh manusia inikan pula kurniaan Tuhan yang mencipta kita. Allah menurunkan ia bukan untuk disia-siakan tetapi adalah sebagai garis-panduan dan penyuluh kebenaran dalam kehidupan. Baca-Faham-Amal

Ø Rasulullah S.A.W sebagai qudwah hasanah dan role model umat Islam. Tidak ada manusia lain yang lebih mulia dan tinggi takwanya melainkan Nabi Muhammad S.A.W.

Lidah kita yang berkata kami mencintai nabi namun tingkahlaku kita seringkali tidak bertepatan dengan keperibadian baginda. Allah berfirman;


21. Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (Al-Ahzab:21)


Baginda yang amat mengasihi umatnya sehinggakan di saat kematian baginda masih menyebut “Ummatku-Ummatku” sedangkan kita dalam kehidupan seharian pun agak liat nak berselawat ke atas baginda apatah lagi untuk mengikuti suri tauladan baginda sebagai seorang hamba Allah yang taat,daie yang cemerlang, pemimpin yang berkaliber, pemuda yang berani, suami yang baik, dan ayah yang penyayang. Kita tanamkanlah azam dalam diri untuk menjadikan Rasulullah sebagai ikon terbaik yang perlu diikuti.

Gambar kenangan....

Setelah puas menanti untuk bertolak,akhirnya tren ekspress tiba pada jam 2.30 pagi





Kelihatan di tengah itu, Ulama' yang kami temui iaitu Ustaz Yahya Osman









Ini pula ketika bertemu Tuan Guru Abdul Hamid di Pondok Seligi









Sempat lagi 2 sahabat ini berehat di 'jeti' kecil










Contoh pemimpin berjiwa rakyat. Tidak memerlukan layanan istimewa walaupun bergelar YB.










Sungguh gembira sambil menjamu selera. (terima kasih kpd tuan rumah)









Nun jauh pemandangan di sana










Sederas ombak di tepian pantai









Sekali-sekala tidak lepaskan peluang untuk beriadah.









Menikmati sarapan di bawah sinaran mentari pagi











Hebat sungguh alam ciptaan Allah (Pemandangan di Air Terjun Sekayu)








Setelah dua hari berada di Kota Bharu dan Kuala Terengganu,saya pulang ke Jerantut dengan melalui Kuantan. Maka tamatlah pengembaraan Wilayah Pantai Timur.

NOTA; Harap-harap selepas ini berpeluang pula untuk menjelajah negeri di Pantai Barat pula.

09 September 2009

Mari Bercerita 2



Pepatah Melayu ada berkata “Ku sangkakan panas sampai ke petang,rupa-rupanya hujan di tengah hari.”
Itulah gambaran awal dalam kisah yang ingin dikongsi di bawah ini..

Dalam kemeriahan menyambut Ramadhan kali ini,dengan takdir Allah ketika bangun sahur pagi Jumaat 14 Ramadhan lepas saya diuji olehNYA.Mata saya terasa amat pedih sekali.Bila dilihat dalam cermin barulah disedari yang kedua belah mata dah berwarna merah.

Sudah sekian lama tidak terkena sakit mata kini ia datang kembali setelah bertahun lamanya.Inilah tubuh manusia yang sakitnya mata tetapi habis seluruh badan turut merasa lemah dan mulai demam.


Saya kena gagahkan juga diri sebab petang itu akan ada kuiz dan pada hari Sabtu dan Ahad pula ada peperiksaan pertengahan semester. Ketika hendak pergi solat Jumaat di masjid tengah hari itu ada seorang rakan yang bertanya “Eh,Syed nape mata merah tu..? Baru bangun tidur ke..?” Saya hanya menjawab ringkas “Taklah.saya sakit mata” .(ketika sakit mood nak berbual pun dah tak ada)


Mata saya tidak henti-henti mengeluarkan air mata(bukan menangis) tapi kerana kepedihan.Ketika khutbah dibaca,masih sempat saya merenung jauh ke dalam diri “aku rasa telah banyak melakukan dosa kepada Allah dan orang di sekelilingku. Kini tibalah masanya Tuhan Yang Maha Empunya segala nikmat ini menguji aku supaya sedar dan bertaubat”.


Terasa amat kerdil dan hinanya diri ini.Baru diuji sedikit dengan ditarik hanya beberapa peratus nikmat mata untuk melihat sudah merasa amat payah untuk menjalankan aktiviti harian.Saya terfikir andaikata Allah terus mengambil sepenuhnya nikmat sepasang mata yang tidak ternilai ini,apakah aku dapat lagi melihat dunia ini..??


Pasti kegelapan sahaja yang dapat dirasai.Tiada lagi rasa riang untuk menatap orang yang disayangi di dalam hidup ini.Tiada lagi rasa gembira untuk melihat sinaran sang mentari, tumbuh-tumbuhan yang menghijau dan seluruh keindahan alam semesta ini. Tetapi itulah hakikat yang perlu kita fikirkan tentang keperitan dan kepayahan yang telah dilalui oleh orang yang telah pun ditarik nikmat matanya sejak lahir lagi.


Benar sabda Nabi yang mengingatkan ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara yang mana salah satunya disebut nikmat sihat sebelum sakit.Tapi kita yang sering lupa untuk mengingatiNYA.Ketika sakit barulah rasa hidup ini amat bermakna dan patut dimanfaatkan sebaik mungkin selagi peluang masih ada.


Saya merupakan orang yang jenis ‘alergik’ hospital.(mungkin kesan trauma daripada pembedahan di HKL waktu kecil dulu). Seboleh mungkin setiap kali sakit,saya akan mengelakkan diri untuk pergi berjumpa doktor.


Namun,petang itu saya terpaksa akur kerana merasakan badan sudah tidak berdaya.Selesai sahaja kuiz jam 4.40 petang saya bergegas ke klinik UIA yang akan tutup pada jam 5 petang.

Saya tidak perlu menunggu terlalu lama kerana orang dah tak ramai di klinik petang itu. Apabila masuk ke bilik rawatan,doktor tersebut bertanya serba sedikit tentang sakit mata tersebut.Dia memeriksa mata saya yang sudah merah menyala itu.

Kemudian,dia memberi sedikit panduan tentang rawatan dan mengingatkan kalau ianya semakin teruk pada keesokan hari barulah diberi surat mc dan cadangan kuarantin.


Oleh kerana saya perlu menduduki 2 exam pada hujung minggu itu,jadi seboleh mungkin saya memang tidak mahu bercuti sakit dan menangguhkan exam tersebut. Setelah mengambil ubat saya pulang ke bilik.Tak dapat dibayangkan bagaimana nak mengulangkaji subjek ‘electric circuit’ dalam keadaan lemah begini.


Lebih-lebih lagi ubat tahan sakit yang perlu ditelan itu membawa kesan mengantuk.Malam itu tak dapatlah nak berterawih di masjid jadi saya bersolat sahaja di musolla mahallah yang lebih dekat dengan bilik.Malam itu saya hanya berehat dan tidur awal.

Pagi esok barulah agak berdaya sedikit untuk study dan membuat persediaan yang termampu untuk menjawab exam pada jam2 petang.


Selepas Asar petang itu barulah saya memaklumkan hal yang dialami kepada ibu di kampung melalui telefon. Sengaja tidak diberitahu lebih awal takut dia berasa agak risau.Seperti dijangka setelah ibu mengetahuinya, dia memberikan 1001 nasihat dan pesanan.


Entah mengapa selepas solat maghrib malam itu,badan saya tidak semena-mena dirasakan telah hampir pulih dan bertenaga kembali untuk beribadah dan membuat persiapan untuk exam subjek static pula. Pada jam 10 pagi Ahad saya menduduki exam tersebut serentak dengan beberapa ratus lagi pelajar di dewan besar CAC .


Pada petang itu saya mendapat jawapan bagi ‘keajaiban’ yang berlaku malam tadi bila badan terasa segar.Ibu ada bercerita setelah saya memberitahunya tentang kesakitan yang dialami,dia berdoa tanpa henti memohon kepada Allah agar anaknya ini dapat sembuh kembali dan menduduki exam dengan tenang.


Saya yakin inilah ‘jawapan’nya bagi persoalan yang timbul di kotak pemikiran ini. Bukankah Allah itu Maha Agung lagi Maha Berkuasa. Itulah berkat doa seorang ibu.Buat renungan bersama cuba kita hayati ingatan Allah kepada sekalian insan yang bergelar ‘anak’.


23. Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

24. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua Telah mendidik Aku waktu kecil". (Surah Al Isra';23-24)


Begitulah serba sedikit perkongsian kisah yang dialami untuk dijadikan tauladan dan pengajaran dalam hidup ini.


“Buanglah yang keruh,ambillah yang jernih.”

Sekian....

>>>>>Selamat Menempuh Fasa Terakhir Ramadhan<<<<<

>>>>>Moga kita beroleh kemenangan<<<<<