Pada Sabtu lepas, sesi halaqah kami turut berbincang mengenai maulidur Rasul daripada perspektif hukum dan apakah cara terbaik untuk menunjukkan rasa cinta kepada Nabi. Sesi percambahan minda berjalan dengan baik walaupun ada yang berbeza pendapat adakah kita dibenarkan menyambutnya. Sebagai contoh ada rakan sehalaqah saya yang menetap di negara Pulau Comoros bercerita di negaranya tidak ada sambutan yang diadakan sepertmana di negara ini.
Tidak mengapa walaupun kita berkhilaf persoalan itu tetapi kita tetap sama dalam persoalan kewajipan beriman dan mentaati Rasul. Persamaan inilah yang patut dijadikan titik penyatuan bukan dengan menghabiskan masa untuk 'bertegang leher' soal khilaf sehingga menghukumkan yang ini kafir,yang ini sesat dan bermacam lagilah label yang diberikan demi menegakkan hujah dan pendirian masing-masing.
Bilakah ummat Islam nak bersatu untuk melawan musuh yang sentiasa pada tiap ketika merancang untuk menjatuhkan Islam sedangkan kita asyik berbalah..?
Kita harus sedar bahawa sebagai umat Islam kita sewajarnya mengingati baginda sepanjang masa tanpa perlu menghadkan pada tarikh tertentu sahaja. Bahkan,tuntutan untuk mematuhi Sunnah Rasulullah adalah menjadi kewajipan kita semua termasuklah soal mendaulatkan hukum Allah di muka bumi ini.
Jika kefahaman sebegini difahami maka tak timbullah cerita apabila sebelah pagi berarak Maulid kemudian petangnya 'berziarah' ke kedai sport toto untuk beratur membeli nombor ekor manakala sebelah malam berkunjung pula ke kelab malam untuk meneguk arak. Golongan yang sebeginilah yang sebenarnya mencemarkan lagi imej Islam dan sekaligus bertentangan dengan slogan cintakan Nabi.
Seharusnya kita ingat bahawa untuk mengikuti jejak langkah baginda bukan sahaja dengan melaungkan pelbagai slogan penyedap telinga tetapi ia membabitkan persoalan sejauhmana tingkah laku kita, amal ibadah kita, percakapan seharian kita dan segala suruhan baginda adakah telah kita laksanakan.?
Allah berfirman yang bermaksud;
28. Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada Mengetahui. (Surah Saba’: 28)
Kisah perjuangan baginda dalam menegakkan Islam tanpa melebihkan persoalan bangsa Arab menyedarkan kita bahawa hanyalah Islam yang dapat menyatukan segalanya. Jikalau persoalan warna kulit dan bangsa yang menjadi asas perjuangan manusia hari ini , tidakkah ia bercanggah dengan apa yang telah Rasulullah ajarkan.?
Sedarlah wahai bangsaku, title ‘Melayu’ itu bukanlah jaminan untuk kita mendapat gelaran ahli syurga. Tidak ada lebihnya kita berbanding orang lain hanya kerana kita berkulit cerah,berbangsa mulia, dan berketurunan bangsawan sedangkan yang akan dinilai di sisi Allah ialah TAKWA. Rasulullah diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam termasuklah manusia pelbagai bangsa, haiwan, tumbuhan dan segala ciptaan di alam semesta ini.
Sebagai penutup, marilah kita bermuhasabah diri sejauhmana kecintaan kepada Rasulullah yang kita lafazkan itu benar-benar terpasak kukuh di dalam hati kita dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian.? Rasulullah tidak meninggalkan umatnya warisan harta pusaka kekayaan tetapi baginda mewariskan kita panduan untuk dijadikan pedoman hidup iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah pusaka zaman berzaman yang takkan luput ditelan dek zaman.
Kitalah golongan yang menjadi mata-rantai meneruskan perjuangan baginda demi menegakkan kalimah Allah dan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Ayuh, kita sahut seruan ini....
SALAM MAULIDUR RASUL 1431H
Semoga beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan