Allah berfirman di dalam Al-Qur’an;
49. Sebenarnya, Al Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat kami kecuali orang-orang yang zalim.
Surah Al-Ankabut: 49
Allah Maha Agung lagi Maha Kuasa, sedarkah kita betapa hebatnya kuasa yang Dia ada. Kita hanyalah sebahagian kecil daripada sekalian banyak ciptaan yang dibuat olehNya.
Alangkah malangnya apabila kita hamba yang hina ini sering angkuh untuk bersyukur atas segala limpahan kurniaan yang diberikan kepada kita.
Malah adakala kita juga bersikap angkuh dengan menunjukkan kehebatan kononnya kita telah mengetahui segala apa yang ada di muka bumi ini. Sebab itulah sering timbul permasalahan di muka bumi ini apabila ‘guideline’ yang diberikan oleh Yang Maha Pencipta kepada sekalian manusia dicampak ke tepi atas alasan;
“hukum Islam ini sudah tak relevan pada zaman sekarang”
“kalau kita laksana hukum Allah ini, tak majulah kita”
Dan bermacam lagilah ukiran kata yang dilakar untuk memberikan alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka yang enggan melaksanakan hukum Islam dan mendaulatkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam pemerintahan.
Tapi, yang anehnya mereka inilah juga yang ingin bergelar hero dan jaguh dalam isu kalimah Allah baru-baru ini. Seolah-olah mereka sahajalah yang berjuang demi mempertahankan kesucian Islam hakikatnya mereka ini bersikap ‘talam dua muka’ dan hipokrit.
Mengapa saya berkata begitu?
Kerana apabila ada usaha suatu ketika dahulu untuk melaksanakan hukum Syariah di Malaysia, mereka inilah jua penentangnya. Tak timbul pula isu untuk berdemonstrasi dan protes beramai-ramai apabila hukum hudud Allah disaman di mahkamah. Di mana mereka ketika itu? Oleh kerana ia tak membawa keuntungan politik, jadi senyap sahajalah seperti menyorok dalam cengkerang kura-kura.
Dan kini mereka muncul lagi apabila isu perarakan Maulidur Rasul pula. Inilah payahnya masalah kita orang Melayu yang berfikiran sempit apabila memandang cara mencintai Rasul hanya dengan berarak di tengah jalan.
Saya nak berpesan kepada mereka “hentikanlah berdemo tak tentu pasal itu.Ia menampakkan lagi kebodohan dan kejahilan kamu.”
Lupakah kita akan sabda nabi yang bermaksud;
“Aku tinggalkan kamu 2 perkara, sekiranya kamu berpegang teguh kepadanya selagi itulah kamu tak akan sesat selamanya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah”.
Kita kenalah tahu membezakan yang mana 1 adat, yang mana 1 tuntutan dalam Islam. Antara mendaulatkan hukum dan berarak di tengah jalan, yang mana 1 kewajipan? Bukanlah haram untuk berarak sebagai tanda mencintai Rasul tetapi sedarlah kita ia hanya sebahagian adat Melayu di tanah air ini. Tidak salah untuk beradat, tapi jangan pula mendahulukan ia berbanding syariat.
Sesungguhnya amat besar tanggungjawab semua yang bergelar pemuda untuk menjadi agen perubah masyarakat. Memetik kata Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna;
"Kewajipan itu melebihi masa yang ada."
Kita penuhilah dada ini dengan ilmu dan sebarkanlah ia ke serata ceruk untuk membantu usaha membuka minda orang yang masih belum nampak “Islam is the solution” untuk mengubati caca-merba yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.
>>>>Bukalah mata, Bukalah hati, Bukalah minda<<<<
Tiada ulasan:
Catat Ulasan