08 Mac 2010

Ia datang lagi


Apabila terbaca artikel yang bertajuk "Amuk Cuaca" yang ditulis oleh Rohaniza Idris dalam portal Berita Harian Online baru-baru ini, menyebabkan saya baru tersedar bahawa keadaan 'panas luar biasa' yang sedang melanda negara kita sekarang sebenarnya berkait-rapat dengan fenomena El Nino. Apa pula El Nino ini..?

Di sini,saya masukkan sebahagian daripada artikel tersebut;


Kali pertama masyarakat Malaysia mendengar perkataan El Nino kira-kira 14 tahun lalu, iaitu ketika El Nino yang disifatkan paling teruk melanda negara dan rantau ini. Ia menyebabkan jerebu, kemarau dan kepanasan melampau dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius.

Ketika itu, ramai yang ketawa dan mempersendakan namanya biarpun ia jelas mencetuskan kebimbangan pihak terutama saintis, pakar kaji cuaca dan alam sekitar dunia. Kali ini El Nino muncul lagi. Amukannya menyebabkan cuaca dunia tidak menentu dan tempoh yang sepatutnya disifatkan stabil sebaliknya terus dilingkari keadaan kemarau, banjir dan ribut salji

Lebih membimbangkan, menurut pakar kaji cuaca, El Nino akan terus bertambah buruk bagi tahun-tahun mendatang. Fenomena El Nino yang muncul setiap dua hingga tujuh tahun di selatan Pasifik, menunjukkan tanda-tanda cuaca dunia sudah semakin celaru. Apa tidaknya, kesannya boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam di seluruh dunia, merosakkan tanaman bagi dua tahun berturut-turut dan menimbulkan kekecohan dalam pasaran komoditi dunia.

Menurut pakar kaji cuaca dunia, tahun 1997-1998, adalah El Nino terburuk dicatatkan dalam tempoh 150 tahun. Malah kejadian El Nino pada 1998 menyebabkan kerugian melebihi RM15 bilion di seluruh dunia dengan Malaysia saja mencatat kerugian hampir RM1 bilion.

Tahun ini, fenomena yang sama kembali berulang, namun saintis menjangkakan kali ini tidak seteruk 1997-98 kerana ia dikategorikan sebagai El Nino Modoki, iaitu kategori sederhana.

Ketua Seksyen Analisis Cuaca, Pusat Penyelidikan Atmosfera di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat, Dr Kevin E Trenberth berkata, fenomena El Nino kali ini tidak seburuk 1997-98 tetapi hampir menyamai fenomena pada 1982-83.

"Itu sebab di sesetengah negara seperti Australia, ada kawasan yang hujan lebat dengan ribut yang boleh membawa banjir dan sebahagiannya pula kering, begitu juga beberapa kawasan di Tahiti dan Amerika Selatan yang mengalami ribut dan banjir," katanya.

Pakar kaji cuaca tempatan, Profesor Dr Fredolin Tangang yang juga Profesor dan Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika, UKM, berkata El Nino yang dialami sekarang disebabkan kehadiran El Nino yang bermula sejak Jun tahun lalu. Ia kini ia berada di fasa puncak dan mula menurun yang diramal berakhir April nanti. Namun, El Nino kali ini boleh dikatakan dalam kategori lemah atau sederhana.

Apakah El Nino boleh dikesan jauh lebih awal?

Pakar kaji cuaca dunia percaya amaran awal fenomena cuaca boleh dikeluarkan 14 bulan sebelum El Nino melanda negara di sekitar lautan Pasifik dan memberi kesan kepada cuaca di benua Afrika dan Eropah.

Pada masa ini, saintis hanya mengeluarkan amaran fenomena berkenaan beberapa bulan sebagai persediaan kepada petani dan nelayan yang terkesan teruk daripada fenomena berkenaan.

Malah, ramalan atau jangkaan yang diberikan saintis atau pakar kaji cuaca sering tersasar sejak kebelakangan ini apabila tidak sama dengan keadaan sebenar fenomena berkenaan berlaku. Mereka percaya, perubahan cuaca global mempengaruhi fenomena El Nino dan keadaan cuaca yang lain.

Fakta lain berkaitan El Nino dan Malaysia;

  • El Nino yang dikawal oleh Lautan Pasifik. Walaupun Malaysia begitu jauh daripada lautan itu tetapi ia masih boleh memberi kesan kepada negara kerana Malaysia terletak di kawasan benua maritim di tengah, antara dua lautan besar iaitu Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Dalam keadaan normal, kawasan ini mempunyai tekanan udara rendah berbanding di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik.


  • El Nino adalah fenomena semula jadi berskala besar akibat interaksi lautan dan atmosfera dan tiada teknologi yang boleh menghalang fenomena ini. Kekerapan ia berlaku adalah sekali dalam dua hingga tujuh tahun. Bagaimanapun kegiatan manusia terutama corak guna tanah boleh meningkatkan lagi impak fenomena ini.

  • Kegiatan manusia juga menerusi pembebasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global juga boleh mempengaruhi corak dan kelakuan El Nino.

  • Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim Keempat Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) yang diterbitkan pada 2007, pemanasan global boleh menjadikan fenomena El Nino lebih kerap dan kuat di dekad mendatang dan juga ada kemungkinan sistem interaksi atmosfera-lautan di Lautan Pasifik menjadi `terkunci' kepada keadaan El Nino.

  • Negara pernah mencatat suhu tertinggi 41.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998, sehingga menyebabkan kemarau panjang di sebahagian kawasan di negara ini. Namun, sejarah catatan suhu tertinggi itu masih kekal.

  • Catatan cuaca kini yang paling tinggi ialah antara 34 hingga 36 darjah Celsius dan masih dianggap fenomena biasa setiap Februari hingga Mac, setiap tahun.


Saya tertarik dengan ayat yang telah saya boldkan dengan warna merah di atas. Apabila penulis memaklumkan bahawa kini banyak ramalan dan jangkaan yang dibuat oleh para saintis dan pakar kaji cuaca sering tersasar daripada apa yang berlaku sebenarnya.


Ingin saya kaitkan di sini bahawa sehebat mana pun ilmu dan kepakaran manusia takkan mampu untuk sama setanding dengan ilmu dan kekuasaan Allah. Dia lah Yang Maha Mencipta dan Yang Maha Kuasa. Apa jua yang manusia rancang mahupun jangkaan terhadap sesuatu perkara yang akan berlaku pasti tak akan berlaku tanpa ketetapan dariNYA.


Tidak salah rasanya untuk saya katakan, fenomena El Nino yang datang lagi ke negara kita ini sebenarnya merupakan suatu UJIAN dan PERINGATAN buat kita semua. Lihatlah di sekeliling kita, pelbagai perkara yang bertentangan dengan syariat Allah berlaku.Setiap hari kita dihidangkan dengan berita bunuh,rompak,rogol,dera,dadah,arak,judi dan 1001 lagi gelagat manusia yang lupa akan Tuhannya.


Sampai bila ia harus dibiarkan berlaku..? Perlu kita sedar dan ingat bahawa Allah telah pun memberikan 'guideline' kepada kita melalui Al Quran dan As-Sunnah. Cuma persoalan yang timbul sekarang ialah bilakan ia akan digunakan dalam sistem kehidupan kita secara menyeluruh tanpa memilih yang berkenan di hati sahaja..?

Tiada ulasan: