Memaparkan catatan dengan label analisis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label analisis. Papar semua catatan

29 Mei 2012

Pilihanraya Presiden: Melakar Masa Depan Baru Mesir


          Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat samada kebangkitan di Tahrir Square itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.

          Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4 % bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3 % undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3 % undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2 % undi. Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50 % maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan.

           Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.?
 
           Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh Mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.

            Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.

           Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.

          Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan. Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.

          Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25 % dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing. Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.

         Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.

         Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.

           Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.

             Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru. Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat samada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

          Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”. Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud:


“Barangsiapa yang mencari agama(ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

08 Mac 2010

Ia datang lagi


Apabila terbaca artikel yang bertajuk "Amuk Cuaca" yang ditulis oleh Rohaniza Idris dalam portal Berita Harian Online baru-baru ini, menyebabkan saya baru tersedar bahawa keadaan 'panas luar biasa' yang sedang melanda negara kita sekarang sebenarnya berkait-rapat dengan fenomena El Nino. Apa pula El Nino ini..?

Di sini,saya masukkan sebahagian daripada artikel tersebut;


Kali pertama masyarakat Malaysia mendengar perkataan El Nino kira-kira 14 tahun lalu, iaitu ketika El Nino yang disifatkan paling teruk melanda negara dan rantau ini. Ia menyebabkan jerebu, kemarau dan kepanasan melampau dengan suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius.

Ketika itu, ramai yang ketawa dan mempersendakan namanya biarpun ia jelas mencetuskan kebimbangan pihak terutama saintis, pakar kaji cuaca dan alam sekitar dunia. Kali ini El Nino muncul lagi. Amukannya menyebabkan cuaca dunia tidak menentu dan tempoh yang sepatutnya disifatkan stabil sebaliknya terus dilingkari keadaan kemarau, banjir dan ribut salji

Lebih membimbangkan, menurut pakar kaji cuaca, El Nino akan terus bertambah buruk bagi tahun-tahun mendatang. Fenomena El Nino yang muncul setiap dua hingga tujuh tahun di selatan Pasifik, menunjukkan tanda-tanda cuaca dunia sudah semakin celaru. Apa tidaknya, kesannya boleh dilihat menerusi kejadian bencana alam di seluruh dunia, merosakkan tanaman bagi dua tahun berturut-turut dan menimbulkan kekecohan dalam pasaran komoditi dunia.

Menurut pakar kaji cuaca dunia, tahun 1997-1998, adalah El Nino terburuk dicatatkan dalam tempoh 150 tahun. Malah kejadian El Nino pada 1998 menyebabkan kerugian melebihi RM15 bilion di seluruh dunia dengan Malaysia saja mencatat kerugian hampir RM1 bilion.

Tahun ini, fenomena yang sama kembali berulang, namun saintis menjangkakan kali ini tidak seteruk 1997-98 kerana ia dikategorikan sebagai El Nino Modoki, iaitu kategori sederhana.

Ketua Seksyen Analisis Cuaca, Pusat Penyelidikan Atmosfera di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat, Dr Kevin E Trenberth berkata, fenomena El Nino kali ini tidak seburuk 1997-98 tetapi hampir menyamai fenomena pada 1982-83.

"Itu sebab di sesetengah negara seperti Australia, ada kawasan yang hujan lebat dengan ribut yang boleh membawa banjir dan sebahagiannya pula kering, begitu juga beberapa kawasan di Tahiti dan Amerika Selatan yang mengalami ribut dan banjir," katanya.

Pakar kaji cuaca tempatan, Profesor Dr Fredolin Tangang yang juga Profesor dan Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika, UKM, berkata El Nino yang dialami sekarang disebabkan kehadiran El Nino yang bermula sejak Jun tahun lalu. Ia kini ia berada di fasa puncak dan mula menurun yang diramal berakhir April nanti. Namun, El Nino kali ini boleh dikatakan dalam kategori lemah atau sederhana.

Apakah El Nino boleh dikesan jauh lebih awal?

Pakar kaji cuaca dunia percaya amaran awal fenomena cuaca boleh dikeluarkan 14 bulan sebelum El Nino melanda negara di sekitar lautan Pasifik dan memberi kesan kepada cuaca di benua Afrika dan Eropah.

Pada masa ini, saintis hanya mengeluarkan amaran fenomena berkenaan beberapa bulan sebagai persediaan kepada petani dan nelayan yang terkesan teruk daripada fenomena berkenaan.

Malah, ramalan atau jangkaan yang diberikan saintis atau pakar kaji cuaca sering tersasar sejak kebelakangan ini apabila tidak sama dengan keadaan sebenar fenomena berkenaan berlaku. Mereka percaya, perubahan cuaca global mempengaruhi fenomena El Nino dan keadaan cuaca yang lain.

Fakta lain berkaitan El Nino dan Malaysia;

  • El Nino yang dikawal oleh Lautan Pasifik. Walaupun Malaysia begitu jauh daripada lautan itu tetapi ia masih boleh memberi kesan kepada negara kerana Malaysia terletak di kawasan benua maritim di tengah, antara dua lautan besar iaitu Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Dalam keadaan normal, kawasan ini mempunyai tekanan udara rendah berbanding di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik.


  • El Nino adalah fenomena semula jadi berskala besar akibat interaksi lautan dan atmosfera dan tiada teknologi yang boleh menghalang fenomena ini. Kekerapan ia berlaku adalah sekali dalam dua hingga tujuh tahun. Bagaimanapun kegiatan manusia terutama corak guna tanah boleh meningkatkan lagi impak fenomena ini.

  • Kegiatan manusia juga menerusi pembebasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global juga boleh mempengaruhi corak dan kelakuan El Nino.

  • Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim Keempat Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) yang diterbitkan pada 2007, pemanasan global boleh menjadikan fenomena El Nino lebih kerap dan kuat di dekad mendatang dan juga ada kemungkinan sistem interaksi atmosfera-lautan di Lautan Pasifik menjadi `terkunci' kepada keadaan El Nino.

  • Negara pernah mencatat suhu tertinggi 41.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998, sehingga menyebabkan kemarau panjang di sebahagian kawasan di negara ini. Namun, sejarah catatan suhu tertinggi itu masih kekal.

  • Catatan cuaca kini yang paling tinggi ialah antara 34 hingga 36 darjah Celsius dan masih dianggap fenomena biasa setiap Februari hingga Mac, setiap tahun.


Saya tertarik dengan ayat yang telah saya boldkan dengan warna merah di atas. Apabila penulis memaklumkan bahawa kini banyak ramalan dan jangkaan yang dibuat oleh para saintis dan pakar kaji cuaca sering tersasar daripada apa yang berlaku sebenarnya.


Ingin saya kaitkan di sini bahawa sehebat mana pun ilmu dan kepakaran manusia takkan mampu untuk sama setanding dengan ilmu dan kekuasaan Allah. Dia lah Yang Maha Mencipta dan Yang Maha Kuasa. Apa jua yang manusia rancang mahupun jangkaan terhadap sesuatu perkara yang akan berlaku pasti tak akan berlaku tanpa ketetapan dariNYA.


Tidak salah rasanya untuk saya katakan, fenomena El Nino yang datang lagi ke negara kita ini sebenarnya merupakan suatu UJIAN dan PERINGATAN buat kita semua. Lihatlah di sekeliling kita, pelbagai perkara yang bertentangan dengan syariat Allah berlaku.Setiap hari kita dihidangkan dengan berita bunuh,rompak,rogol,dera,dadah,arak,judi dan 1001 lagi gelagat manusia yang lupa akan Tuhannya.


Sampai bila ia harus dibiarkan berlaku..? Perlu kita sedar dan ingat bahawa Allah telah pun memberikan 'guideline' kepada kita melalui Al Quran dan As-Sunnah. Cuma persoalan yang timbul sekarang ialah bilakan ia akan digunakan dalam sistem kehidupan kita secara menyeluruh tanpa memilih yang berkenan di hati sahaja..?