
Ketua Seksyen Analisis Cuaca, Pusat Penyelidikan Atmosfera di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat, Dr Kevin E Trenberth berkata, fenomena El Nino kali ini tidak seburuk 1997-98 tetapi hampir menyamai fenomena pada 1982-83.
"Itu sebab di sesetengah negara seperti Australia, ada kawasan yang hujan lebat dengan ribut yang boleh membawa banjir dan sebahagiannya pula kering, begitu juga beberapa kawasan di Tahiti dan Amerika Selatan yang mengalami ribut dan banjir," katanya.
Pakar kaji cuaca dunia percaya amaran awal fenomena cuaca boleh dikeluarkan 14 bulan sebelum El Nino melanda negara di sekitar lautan Pasifik dan memberi kesan kepada cuaca di benua Afrika dan Eropah.
Pada masa ini, saintis hanya mengeluarkan amaran fenomena berkenaan beberapa bulan sebagai persediaan kepada petani dan nelayan yang terkesan teruk daripada fenomena berkenaan.
- El Nino yang dikawal oleh Lautan Pasifik. Walaupun Malaysia begitu jauh daripada lautan itu tetapi ia masih boleh memberi kesan kepada negara kerana Malaysia terletak di kawasan benua maritim di tengah, antara dua lautan besar iaitu Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Dalam keadaan normal, kawasan ini mempunyai tekanan udara rendah berbanding di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik.
- El Nino adalah fenomena semula jadi berskala besar akibat interaksi lautan dan atmosfera dan tiada teknologi yang boleh menghalang fenomena ini. Kekerapan ia berlaku adalah sekali dalam dua hingga tujuh tahun. Bagaimanapun kegiatan manusia terutama corak guna tanah boleh meningkatkan lagi impak fenomena ini.
- Kegiatan manusia juga menerusi pembebasan gas rumah hijau yang menyebabkan pemanasan global juga boleh mempengaruhi corak dan kelakuan El Nino.
- Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim Keempat Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC) yang diterbitkan pada 2007, pemanasan global boleh menjadikan fenomena El Nino lebih kerap dan kuat di dekad mendatang dan juga ada kemungkinan sistem interaksi atmosfera-lautan di Lautan Pasifik menjadi `terkunci' kepada keadaan El Nino.
- Negara pernah mencatat suhu tertinggi 41.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998, sehingga menyebabkan kemarau panjang di sebahagian kawasan di negara ini. Namun, sejarah catatan suhu tertinggi itu masih kekal.
- Catatan cuaca kini yang paling tinggi ialah antara 34 hingga 36 darjah Celsius dan masih dianggap fenomena biasa setiap Februari hingga Mac, setiap tahun.

