25 Oktober 2010

CATATAN ISTIMEWA





Alhamdulillah, di saat saya menulis catatan ini baru sahaja menyambut hari kesyukuran kepada Ilahi di atas kurniaan nikmat hidup selama 21 tahun. Tidak ada lain yang patut saya ucapkan melainkan seinfiniti kesyukuran melainkan hanya kepada Allah Yang Maha Esa kerana memberi saya kesempatan untuk merasai nikmat hidup di dunia ini. Namun, nikmat hidup ini tetap jadi sia-sia jikalau kita tak mendapat nikmat yang paling besar iaitu Islam dan Iman yang menjadi pembeza antara kita Muslim dan orang kafir.

Bagi setiap Muslim, syukur itu wajib pada setiap masa dan ketika. Tidak semestinya hanya ketika menyambut hari ulangtahun kelahiran. Nikmat yang Allah kurniakan kepada setiap hambaNya terlalu banyak sehingga tak mampu dikira oleh kita. Daripada sekecil bulu roma sehinggalah sebesar alam semesta ini tidak akan wujud melainkan hanya dengan kekuasaan Allah. Itulah antara sebab dalam bacaan solat, zikir, Al-Quran terkandung ucapan puji-pujian buat Allah Maha Agung. Tidak ada sebab untuk kita manusia berlagak angkuh dan sombong kerana segala yang kita dapat di dunia ini adalah pemberian daripada Allah.

Dalam kegembiraan kita hidup di dunia tapi jangan sampai terlupa bahawa hidup ini tak kekal abadi. Tiba masanya nanti, tak terlambat atau tercepat walau sesaat ajal kita akan tiba. Setiap yang bernyawa pasti akan dipanggil kembali menghadap Yang Menciptanya. Jadi, kita perlu senantiasa persiapkan diri untuk melangkah ke alam akhirat yang kekal abadi.

Ibarat seorang pengembara yang ingin berjalan jauh, pasti dia mempersiapkan diri dengan pelbagai kelengkapan seperti pakaian, makanan, dan barangan keperluan lain untuk digunakan sepanjang perjalanan nanti. Begitulah jua, kita semua insan yang hanya menetap sementara sahaja di bumi ini dan tiba masanya nanti kita akan bermusafir kea lam yang kekal abadi. Persoalannya, adakah kita sudah membuat persiapan yang secukupnya untuk berpindah ke alam tersebut..?

Tidak semua yang ada di muka bumi ini kita boleh bawa. Pangkat tinggi, kereta mewah, rumah besar, harta bertimbun, isteri cantik dan bermacam-macam lagi yang kesemuanya tak boleh kita bawa bersama ke dalam kubur. Ingat pesan Nabi, “Apabila mati anak Adam maka terputus segala amalannya melainkan sedekah-jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh”.

Dengan masa yang masih tersisa yang kita sendiri tidak tahu bila akan dipanggil menghadap Ilahi maka bersiap-sedialah kita dengan amalan masing-masing. Bak kata Dato’ Tuan Ibrahim, “Mati itu tidak syarat tua, mati itu tidak syarat sakit”. Hanya pengabdian secara total kepada Allah yang wajib kita lakukan dengan sentiasa mengharap redha Allah agar kita dapat mencapai impian bersama setiap Muslim iaitu menjadi ahli jannah.

Di akhir catitan istimewa ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah menghantar ucapan selamat hari lahir kepada saya termasuklah melalui sms, ucapan di fb dan lain-lain.

Jutaan terima kasih dan penghargaan yang tak terhingga buat Ummi dan Abah yang meraikan hari lahir saya pada Sabtu lepas dengan membawa saya makan di restoran di bandar Jerantut. Siapalah saya hari ini tanpa ada belaian kasih mesra dan didikan oleh mereka berdua.

Begitu juga ucapan terima kasih buat kakanda saya Syed Ahmad Faiz yang sudah hampir menyiapkan pengajian peringkat Masternya di UM. Moga sentiasa berbahagia bersama isteri dan anak sulungnya Syarifah Alyaa Nabiha (27 Oktober ini genap setahun umurnya).

Tidak lupa juga kepada kakanda saya, Saripah Faizah yang dirindui nun di Al-Azhar Mesir yang sudah lebih 2 tahun kita tak bersua muka.

Buat adinda bongsu, Saripah Fadhilah yang sedang menuntut ilmu dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin di Terengganu, didoakan agar terus gigih untuk memburu kejayaan.

Entah mengapa sambutan hari lahir tahun ini agak istimewa. Ini membuatkan saya teringat kembali kepada memori manis ketika ulangtahun ke 17 pada tahun 2006. Saya tatap kembali rangkuman video ucapan selamat oleh teman-teman seperjuangan di TAHAP dahulu. Geli-hati melihat telatah mereka yang bermacam itu. Terselit juga perasaan sebak dan rindu untuk menikmati kembali saat pahit-manis berada di bumi bertuah SMKA TAHAP selama 5 tahun. (terima kasih buat sahabat yang bersusah-payah menyiapkan video tersebut dan dihadiahkan dalam bentuk CD kepada saya)

Sebenarnya, sengaja saya pulang ke kampung menjelang tarikh 23 Oktober lepas kerana gerak hati kecil saya berkata akan ada beberapa perancangan ‘luarbiasa’ terhadap saya menjelang hari Sabtu..haha..Kesian buat yang merancang, mangsa sasaran anda tidak ada di bumi UIA ketika itu.

Roomate saya masih tak berpuas hati nampaknya. Mereka sambung pula dengan plan B iaitu cubaan mengenakan saya apabila pulang dari kampung. Perancangan ‘jahat’ mereka telah pun saya hidu sejak sms unknown person masuk dalam inbox message pada tengah malam Sabtu. Saya terus meneka dan risau juga jikalau dikenakan dengan teruk.

Akhirnya, perancangan mereka buat kesekian kalinya gagal apabila ada yang ‘terkantoi’ memberitahu hint apa yang akan berlaku dan ada pula yang tak sempat menyorokkan voucher pembelian. Lebih malang lagi, hasrat mereka untuk mempergunakan ‘abang pizza domino’ juga tak menjadi kerana dia terus menghantar tempahan pizza tersebut ke pintu bilik tanpa menghubungi no handphone saya yang mereka berikan kepada operator panggilan.Haha…apa boleh buat..? Perancangan untuk memerangkap saya gagal malah saya pula yang mengenakan mereka.

Pesan saya buat roommate; “Jangan kecewa, tahun depan anda rancanglah molek –molek lagi. Sampai plan Z lagi bagus. Saya tunggu saat itu..hehe.jangan marah ye Azam, Firdaus & Syafiq.”


imbauan memori indah


kenangan di hari konvo abg Faiz pd tahun 2008

Alyaa menjadi penyeri kelurga kami


genap umurnya 1 tahun pd 27 Oktober ni

bumi Tahap yang dirindui

keceriaan bersama putera 5 IS 2006


putera 5IK 2006


sahabat seperjuangan kepimpinan TAHAP yang tak akan dilupakan


terima kasih atas sambutan yang diberikan

telatah roomateku

21 Oktober 2010

Kenyangkan perut rakyat




Masa yang agak lapang sekarang membolehkan saya menilik kembali buku yang dihadiahkan seorang sahabat kepada saya. Buku terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd ini berjudul “Belajar Dari Dua Umar; Kenyangkan Perut Rakyat” ditulis oleh Hepi Andi Bastoni. Antara mutiara kata yang membuatkan saya begitu terkesan apabila membaca buku ini ialah;

“Jika rakyatku kelaparan, aku ingin jadi orang yang pertama merasainya. Kalau rakyatku kekenyangan, aku ingin menjadi orang yang terakhir yang menikmatinya.”

Begitulah tuturkata indah yang pernah ditutur oleh lidah khalifah kedua umat Islam, Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab tatkala beliau dihadiahkan makanan istimewa daripada Utbah bin Farqad,gabenor Arzerbaijan. Makanan yang terkenal paling lazat di Arzerbaijan ini diberi nama habish itu dibuat daripada minyak sapi dan kurma.
Sejurus makanan tersebut dihidang di hadapan khalifah, Saidina Umar lantas bertanya apakah nama makanan tersebut dan adakah seluruh rakyat di sana dapat menikmatinya..?
Beliau dimaklumkan bahawa makanan ini hanya dapat dinikmati golongan atasan.

Wajah Khalifah Umar berubah menjadi merah petanda marah. Maka, utusan yang datang itu diminta pulang ke negeri mereka dengan membawa kembali habish tersebut. Kepada gabenor, Saidina Umar menulis;

“………makanan semanis dan selazat ini bukan dibuat daripada wang ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makanan ini sebelum engkau mengeyangkan perutmu."

Kisah ini terkandung dalam kitab Manaqih Amirul Mukminin yang dikarang oleh Ibn Qayyim Al-Jawziyah. Hasan Al-Basri, seorang ulama zuhud pernah berkata kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz;

“Pemimpin yang adil laksana seorang pengembala yang mengasihi haiwan gembalaannya. Dia membawa gembalaannya ke tengah padang rumput yang luas dan subur. Dia menjaganya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan dan kehausan.”

Prinsip sebeginilah yang wajar dimiliki oleh setiap yang bergelar pemimpin khususnya yang mentadbir sesebuah negara atau negeri. Malah, sepatutnya rakyat menjadikan prinsip ini sebagai salah satu pertimbangan dalam memilih pemimpin. Cakna rakyat pada setiap masa, bukan menjelang pilihanraya sahaja apabila undi rakyat ingin ditagih.

Kita wajib memilih pemimpin yang peduli dan memikirkan masalah rakyat bukannya pemimpin yang hanya sibuk memuaskan nafsu sendiri di samping giat mengkayakan anak-menantu, kroni dan sekalian pengampu di sekeliling.
Kisah ketokohan kedua Umar iaitu Saidina Umar Al-Khattab dan cicitnya Saidina Umar bin Abdul Aziz dalam memimpin amat wajar kita selusuri untuk mengambil iktibar dan panduan hidup bernegara.

Dalam konteks negara kita, setiap rakyat yang sudah cukup umur 21 tahun dan ke atas sudah layak untuk mendaftar sebagai pengundi yang akan menentukan jatuh-bangun sesebuah kerajaan setiap kali pilihanraya berlangsung. Mungkin ada yang memandang remeh soal ini dengan berpandangan urusan memilih pemimpin dan politik ini soal enteng sahaja tanpa perlu diambil berat.
Adakah tanggapan bahawa politik itu kotor dan tidak wajar dicampuraduk dengan urusan agama adalah telahan yang benar atau suatu tanggapan yang salah..?

Politik itu secara asalnya adalah suci namun ia sering dikotorkan oleh aktor-aktor dan para pemainnya. Ia menjadi kotor apabila panduan suci wahyu Al-Quran dan As-Sunnah ditolak ketepi dengan alasan tidak baik dicampuraadukkan urusan duniawi dengan soal agama. Bukankah tindakan ini adalah selari dengan intipati sekularisme yang mengganggap persoalan agama adalah hak peribadi masing-masing dan urusan dunia tidak boleh dicampur dengan agama.

Usahlah kita lupa bahawa Nabi Muhammad S.A.W yang diutus Allah kepada kita bukan sahaja penyampai wahyu Al-Quran tetapi baginda turut menterjemahkan ia dalam bentuk praktikal kehidupan baginda. Rasulullah seorang Nabi dalam masa yang sama bergelar ketua keluarga, ketua negara, dan ketua angkatan perang. Bahkan piagam Madinah yang merupakan antara undang-undang bertulis terawal di dunia ini telah dirangka sendiri oleh Baginda Rasulullah.

Berbalik kepada kepentingan memilih pemimpin, kita perlu sedar bahawa hanya dengan mengangkat pemimpin yang betul berlandaskan syariat sahaja dapat menjamin negara ‘baldatun toyyibahtun wa rabbun ghafur’ dapat direalisasikan.

Pemimpin yang mentadbir negaralah yang bertanggungjawab dalam merangka dan melaksana undang-undang, menguruskan hasil-mahsul negara, mencorakkan sistem keadilan sosial, mewujudkan sistem kehakiman yang bebas, membentuk sistem pendidikan yang baik, menjaga kebajikan rakyat dan bermacam-macam lagi amanah besar yang perlu ditanggung oleh mereka yang memerintah.

Sebagai kesimpulannya, sekalian rakyat jelata perlu sedar akan tanggungjawab dan kepentingan untuk mengangkat pemimpin yang betul ke posisinya. Jadilah rakyat yang berilmu, berpemikiran terbuka dan mempunyai pengetahuan agama yang cukup sebagai asas dan panduan dalam memilih pemimpin di segenap lapangan.


“Suara rakyat suara keramat. Ubah sebelum parah.”

15 Oktober 2010

Oh, indahnya di taman ini..!



Sebuah hadits yang diriwayatkan Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi dari Abu Darda' menyebutkan bahawa Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. bersabda,


مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ


"Barangsiapa yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, nescaya Allah subhanahu wata’ala menyediakan jalan untuknya menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya karena redha kepada orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya ulama dimintakan ampun oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sampai ikan yang di dalam laut. Keutamaan seorang alim atas seorang abid seperti keutamaan bulan atas segala bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil ilmu itu, maka sungguh dia telah mengambil keberuntungan yang banyak."

Berpandukan hadis ini, jelas betapa pentingnya kita untuk menjadi orang yang berilmu. Hadir ke majlis ilmu merupakan salah satu kaedah yang terbaik untuk menuntut ilmu.

Seperti masyhurnya nama UIA yang dikenali “The Garden of Knowledge & Virtue” (Taman Ilmu & Budi) ini sememangnya meriah dengan majlis ilmu samada secara kuliah formal di dalam kelas mahupun program yang dianjur oleh organisasi.

Alhamdulillah, pada Selasa lepas berkesempatan untuk hadir ke Usrah Umumi anjuran Students’ Representative Council (SRC) di ADM LT 2. Pengisian yang begitu hebat dan sarat dengan mutiara ilmu yang disampaikan oleh ‘sifu’ pendidik Malaysia iaitu Profesor Dr. Sidek Baba.

Inilah peluang kali pertama saya mendengar pengisian secara terus oleh tokoh ilmuan terkenal tanah air. Beliau yang juga lebih mesra dengan gelaran Cikgu banyak menyentuh persoalan ilmu dan kepimpinan.

Saya kongsikan serba sedikit nota yang sempat saya catat pada malam itu;
 Proses mendapat ilmu bermula daripada :knowing-understanding-getting the meaning
 Antara punca masalah yang berlaku di kalangan Muslim hari ini ialah sekadar percaya, masih belum yakin. Cth: Allah itu wujud, adanya kehidupan selepas mati. Apabila sekadar percaya menggunakan akal tanpa yakin di hati menyebabkan tindakan kita masih tak seiring dengan apa yang kita percaya.

 Tokoh ilmuan Islam terdahulu bukan sahaja pakar dalam pelbagai bidang ilmu fardu kifayah tetapi ia telah didasari terlebih dahulu dengan pengetahuan fardu ain yang cukup. Cth; Al-Idrisi yang merupakan manusia pertama mencipta glob dan peta bumi manakala Al-Zahrawi pakar dalam pembedahan dan mencipta pelbagai alat-bedah yang diguna hari ini.

 Betapa lemahnya ciptaan manusia berbanding apa yang dicipta Allah. Cth: lebuhraya yang canggih, bertingkat-tingkat tetapi tetap tak mampu menghalang kemalangan jalanraya berlaku. Perhatikan pula alam sekeliling, planet dan bintang yang senantiasa bergerak pada landasan masing-masing tanpa berlaku perlanggaran sedikit pun walau barang sesaat. Subhanallah,hebatnya kuasa Allah.

 Setelah Barat mencedok segala ilmu Islam dahulu, umat Islam semakin lemah. Kita hanya mampu menjadi “pengguna setia” dan bukan lagi “penyumbang yang baik”. Selama mana lagi kita nak bergantung kepada kuasa besar Barat ini..? Kembalilah kepada asas Islam. ‘Islamkan semula’ apa yang kita dapat daripada mereka.

 Antara asas yang perlu ada pada mereka yang bergelar qiyadah/ kepimpinan ialah;
1) ilmu perbandingan- ilmu samada bersumber daripada Islam atau kafir perlu dibanding dan diukur dengan neraca syariat.
2) Filtering ability- pemimpin yang mampu membezakan apa yang baik-buruk, manfaat-tak bermanfaat .
3) Sinergi yang kuat antara umara’/pemimpin dengan ulama’ dalam mentadbir negara. Mereka saling melengkapi(complimentary), ilmu yang berintegrasi duniawi &ukhrawi dan tradisi pengkaryaan.

 Ilmu Islam boleh diibarat seperti pokok yang mempunyai akar, batang, dahan, dan buah begitulah Islam yang bertunjangkan akidah, berteguhkan ibadah, syariat dan membuahkan akhlak.
 Tajdid,reformasi dan transformasi perlu ada dalam sistem pendidikan Malaysia untuk melahirkan insan dan bukan ‘exam oriented’ semata. Maka usaha itu perlu dibuat melalui integrated knowledge , elemen pratikal/kokurikulum, nilai etika dan secara holistik/menyeluruh.
 Guru juga komponen utama yang perlu dititikberatkan dalam usaha tajdid pendidikan ini. Guru bukan sahaja bergelar pengajar tetapi mampu menjadi muallim, murabbi dan muaddib.

 Saya begitu tertarik apabila beliau menceritakan pengalaman liku-liku kehidupan beliau yang pernah gagal beberapa kali STPM kemudian bangkit kembali sehingga bergelar Profesor hari ini. Beliau menasihatkan kami untuk mencari sebanyak mungkin mutiara ilmu yang tak semestinya kita dapat melalui pembelajaran dalam kelas tetapi perlu dikutip melalui halaqah/usrah sebagai medium percambahan dan medan perbincangan ilmiah. Beliau sendiri telah banyak mengasaskan usrah di mana tempat yang beliau pergi dan sampai sekarang masih terlibat dengan usrah.

 Di akhir program tersebut, beliau menyampaikan harapan agar kami dapat meneruskan lagi usrah umumi ini dan beliau sanggup mengosongkan masa untuk datang memberi pengisian lagi. Beliau juga meminta pihak penganjur tidak menyediakan sebarang cenderamata/hadiah penghargaan buat beliau pada program yang akan datang.
 Begitu hebatnya tokoh ilmuan ini yang sanggup menghabiskan masa bersama kami anak muda yang masih mentah ini bahkan tanpa mengharap sebarang ganjaran daripada sesiapa.

Semoga Allah terus memberkati usaha dan perjuangan Cikgu Sidek.Amiin…

02 Oktober 2010

Malaysia: Antara Lipatan Sejarah dan Impian Masa Depan



Muqaddimah
Tahun ini genaplah Malaysia tanah air tercinta mencapai kemerdekaan kali yang ke 53. Sungguhpun orang ramai mempunyai takrifan yang agak berbeza apabila menyebut perkataan “merdeka”, namun secara umumnya negara itu sudah diiktiraf merdeka apabila penjajah asing sudah keluar dari negara tersebut dan rakyatnya sendiri pula yang memerintah. Barulah ia diikitiraf sebagai sebuah negara yang berdaulat dan melengkapi ciri-ciri sebuah negara iaitu rakyat,kerajaan,wilayah bersempadan dan kedaulatan.
Uniknya Malaysia, seperti yang sering kita dengar di kaca televisyen mahupun di dalam buku teks sejarah di sekolah, kita mencapai kemerdekaan tanpa berlaku pertumpahan darah. Dengan kebijaksanaan berdiplomasi para pemimpin ketika itu yang diketuai Tunku Abdul Rahman maka pada tanggal 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan merdeka dan diikuti pula pembentukan sebuah negara bernama Malaysia yang merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Lipatan Sejarah
Semenjak kita merdeka Malaysia diperintah oleh Barisan Nasional (pada ketika itu dikenali sebagai Perikatan) yang mana ia ditunjangi oleh Parti UMNO dan MCA serta MIC. Semenjak pilihanraya umum yang pertama pada 1955 sehinggalah yang terbaru PRU 12 pada Mac 2008, BN kekal sebagai peneraju kerajaan persekutuan. Jawatan Perdana Menteri pula beralih daripada satu tangan presiden UMNO kepada presiden yang seterusnya. Nama PM Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir, dan Tun Abdullah Badawi akan tetap kekal dalam lipatan sejarah tanah air ini.

Setiap PM ini juga diberikan gelaran ‘bapa’ tertentu untuk menunjukkan jasa besar mereka dalam bidang tersebut. Bapa Kemerdekaan sudah selayaknya diberikan kepada Tunku Abdul Rahman yang menjadi penggerak utama usaha memerdekakan tanah air. Diikuti pula Tun Abdul Razak dengan gelaran Bapa Pembangunan yang mana beliau sebelum diangkat menjadi PM kedua, beliau diberikan amanah untuk menyelesaikan krisis episod hitam tanah air iaitu rusuhan kaum 13 Mei 1969. Beliaulah yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai jalan keluar untuk membasmi kemiskinan dan penyusunan semula kaum selepas tragedi berdarah 13 Mei. Seterusnya Tun Hussien pula digelar Bapa Perpaduan atas jasa beliau yang banyak dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum.

Malaysia mula berkembang pesat dan bergerak seiring dengan negara membangun yang lain di era pemerintahan Tun Mahathir. Beliau digelar Bapa Pemodenan yang juga pengasas gagasan Wawasan 2020 iaitu impian Malaysia untuk bergelar negara maju pada tahun tersebut. Tun Mahathir sememangnya diakui sebagai pemimpin hebat yang jauh pandang ke hadapan, tegas dalam kepimpinan dan tak hairanlah beliau mampu mentadbir negara ini selama 22 tahun.

Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menyambung legasi kepimpinan Malaysia. Beliau yang dikenali sebagai cucu ulama dan orang yang agak warak telah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari dan slogan Cemerlang,Gemilang dan Terbilang ketika pemerintahan beliau. Pada PRU 11 tahun 2004, beliau telah berjaya mempahat sejarah kerana BN menang besar pada pilihanraya umum tersebut. Terengganu yang di bawah pemerintahan PAS telah tumbang, Kelantan juga nyaris-nyaris jatuh ke tangan BN bahkan pembangkang hanya mampu memenangi sedikit sahaja kerusi parlimen dan dewan undangan negeri berbanding rekod cemerlang PRU 1999 di era reformasi Anwar Ibrahim. Dengan berbekalkan majoriti besar yang dimenangi BN ketika itu, Tun Abdullah (juga digelar Pak Lah) terus mengemudi Malaysia sehingga ke PRU 12 pada 2008.

Tsunami Politik
Kata pepatah Melayu “Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”. Itulah pepatah yang menggambarkan nasib malang yang menimpa Pak Lah. Baru sahaja ingin mendapatkan mandat baru rakyat untuk penggal kedua sebagai PM, PRU 12 telah menyaksikan rekod ‘paling malu’ dalam sejarah pemerintahan BN. Manakan tidak, BN bukan sahaja gagal mengekalkan rekod cemerlang 2004 tetapi kali ini mereka telah hilang majoriti 2/3 parlimen yang mana kedudukan majoriti ini amat diperlukan untuk membuktikan kerajaan yang memerintah benar-benar disokong rakyat. Bukan itu sahaja,episod duka BN ini memang parah apabila gabungan pembangkang (kini digelar Pakatan Rakyat) telah berjaya menawan 5+1 negeri iaitu PAS mengekalkan Kelantan dengan selesa, PAS menjadi teraju utama di Kedah, DAP menerajui Pulau Pinang, PKR menerajui Selangor, dan gabungan PR memerintah Perak dengan majoriti tipis. 1 lagi ‘negeri’ ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mana pembangkang telah berjaya hampir menyapu bersih kesemua kerusi parlimen di ibu kota KL. Pemerintahan BN yang dikepalai Tun Abdullah kelihatan begitu goyah dan sering diganggu-gugat oleh barisan pembangkang yang mendapat nafas baru lebih-lebih lagi mereka dipimpin oleh wira reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tsunami politik ini benar-benar meresahkan pemimpin UMNO khususnya. Mereka tidak lagi lena tidur malam memikirkan nasib mereka pada masa mendatang seandainya BN benar-benar tumbang. Episod politik ini menjadi semakin menarik apabila sememangnya ada di kalangan wakil rakyat BN yang berniat untuk ‘menyeberang jambatan’ daripada BN kepada Pakatan Rakyat. Situasi inilah yang menjadi pencetus idea ‘Kerajaan Baru 16 September 2008’ yang dicanang merata-rata oleh Datuk Seri Anwar.

Melihatkan suasana yang kian cemas, maka timbullah desakan daripada dalam UMNO sendiri agar Pak Lah turun dari tahkta PM sebagai tanda bertanggungjawab setelah kekalahan besar. Asakan demi asakan ditujukan kepada beliau khususnya serangan tajam daripada Tun Mahathir (orang yang menyerahkan jawatan PM kepada Pak Lah) yang mendesak Tun Abdullah berundur. Datuk Seri Najib Razak (PM Malaysia sekarang) kelihatan agak malu-malu untuk mendesak Pak Lah berundur, lain pula dengan pendekatan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TPM sekarang) yang mana ketika itu beliau secara berani dan ‘direct’ mendesak Pak Lah.

Akhirnya, dengan berat hati tampuk pemerintahan beralih tangan daripada Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib pada Mac 2009. Datuk Seri Najib sememangnya seorang pemimpin yang hebat dalam kepimpinan. Suatu masa dahulu, beliau telah diangkat menjadi Menteri Besar Pahang pada usia yang masih muda. Kini, Malaysia di era pemerintahan beliau dimeriahkan dengan slogan dan istilah baru seperti 1 Malaysia, Model Ekonomi Baru (MEB), transformasi,NKRA,KPI, juara rakyat dan bermacam-macam lagi. Sebenarnya, usaha gigih beliau ini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia kembali menaruh kepercayaan kepada BN khususnya orang Cina dan India yang kelihatan begitu lebih selesa untuk bersama PR dalam PRU 12 yang lepas.

Politik Baru Pasca PRU 12
Semenjak selepas PRU 12, lanskap politik Malaysia telah jauh berubah. Jikalau selama ini BN berpegang pada teori hegemoni bahawa mereka akan terus memerintah negara ini selama-lamanya namun kini mereka telah mula mencongak kembali cita-cita itu. Dengan berkembang pesatnya media arus alternatif yang bergerak di alam siber telah berjaya membentuk pola pemikiran pengundi menjadi ‘well-informed voters’ iaitu mereka akan mengundi berdasarkan maklumat yang mereka tahu. Keadaan ini pasti memeritkan UMNO khususnya kerana sebelum ini mereka mengganggap apa jua yang keluar di media arus perdana termasuk surat khabar, tv itu dipercayai bulat-bulat oleh rakyat maka selagi itulah rakyat akan menyokong mereka. Rakyat kini lebih ‘cerdik’ dan tidak lagi mudah termakan dengan propaganda palsu dan murahan yang dilonggokkan di dalam media tradisional yang dikuasai mereka.

‘New politics’ pasca PRU 12 telah merubah semua itu. Siapa yang menguasai maklumat dan membentuk persepsi minda massa,pihak itulah yang akan memenangi perang di era politik baru Malaysia ini. Sebelum ini, BN begitu pesimis melihat golongan blogger dan peneraju portal alternatif yang mustahil dan tidak akan mampu menggugat kuasa mereka. Namun, setelah menyedari hakikat salah satu faktor kekalahan besar pada PRU lepas adalah akibat mengabaikan perang di alam siber menyebabkan kini mereka turut serta terjun di alam ini. Tak hairanlah apabila melihat PM sendiri ‘berFB’, Tun Mahathir berblog, Khairy ‘bertwitter’ dan banyak lagi pemimpin lain yang berlumba-lumba mencipta pengaruh di alam siber ini untuk menyaingi strategi yang telah pun lama digunapakai oleh gabungan pembangkang semenjak era reformasi dahulu lagi.

Modus-operandi yang digunapakai oleh BN selama ini seperti teori 3 M( Media, Money,Machinery) dan 4 F (Fun, Fund, Fear, Future) telah berjaya digugat oleh Pakatan Rakyat. Para pengundi di kawasan urban dan bandar yang mempunyai akses kepada maklumat yang tepat inilah yang menjadi penyumbang utama kemenangan PR baru-baru ini. Cuba perhatikan kembali keputusan PRU 12 yang lepas, di mana hampir semua parlimen yang menjadi ibu negeri dikuasai oleh PR, kerusi dewan undangan negeri yang terletak di bandar ataupun berdekatan bandar yang mana komposisi pengundi mengikut pecahan kaum yang bercampur membolehkan PR menang di kawasan tersebut.

Lain pula ceritanya di kawasan pedalaman seperti kampung dan tanah rancangan Felda, kebanyakan pengundi Melayu Muslim ini tidak terdedah kepada media alternatif, sentimen mengenang jasa pemerintah yang begitu kuat menyebabkan arus tsunami politik PRU 12 kurang memberi tempiasnya di kawasan sebegini. Golongan tradisional, veteran dan warga emas inilah yang menjadi harapan besar penyelamat BN di samping ‘fixed deposit’ mereka di Sabah dan Sarawak. Selagimana kubu kuat BN ini masih belum berjaya ditembusi oleh PR, selagi itulah impian menawan Putrajaya hanya tinggal lamunan mimpi indah sahaja.

Salam Perpaduan
Dalam masa yang sama, UMNO turut memikirkan jalan keluar yang lain untuk memastikan mereka terus kekal memerintah Malaysia. Maka muncullah seruan “marilah kita umat Melayu bersatu-padu demi menyelamatkan tanah-air ini dikuasai oleh kaum lain”. Aneh bukan..? Slogan ini hanya muncul di saat kapal kian karam. Mengapa ia tak dilaung begitu kuat di saat mereka berbangga dengan kemenangan selesa pada PRU 2004..? Kini tangan perpaduan dihulur kepada PAS untuk bersatu menguatkan Melayu kata mereka. Kita masih belum lupa tangan yang ini jugalah menendang PAS keluar daripada BN setelah mereka mendapat nikmat kesenangan pada tahun 1974.

“Tangan kanan menghulur salam, tangan kiri menyisip senjata”, inilah pesan keramat Tok Guru Nik Aziz menggambarkan gelagat UMNO di saat isu perpaduan ini hangat diperkatakan.
Manakan tidak, MB Kelantan itu ‘diseksa’ dengan pelbagai sekatan dan halangan sepanjang 20 tahun mentadbir negeri yang dikenali Serambi Mekah itu untuk membuktikan kata-kata pemimpin UMNO bahawa ulama yang berjubah dan berserban ini hanya layak mengajar di pondok dan bukannya menduduki Kota Darul Naim.
Kita juga masih belum lupa episod perampasan royalti minyak Terengganu di era pemerintahan PAS pada 1999-2004 yang dipimpin oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Hak rakyat dicabuli begitu sahaja tanpa rasa bersalah.

Tun Mahathirlah yang memperkenalkan istilah baru dalam kamus rakyat Terengganu iaitu ‘wang ihsan’. Sungguh negatif sekali bunyinya, seolah-olah rakyat Terengganu yang majoriti Melayu-Muslim meminta sedekah dan belas-ihsan UMNO sedangkan itu sememangnya hak wajib mereka yang perlu ditunaikan. Atas nama perpaduan Melayu inilah mereka merampas Perak dengan cara yang begitu kotor dan jijik daripada sudut-pandang demokrasi. Menjatuhkan kerajaan yang halal dipilih rakyat dengan memerangkap beberapa orang ADUN, menyorokkan mereka, menawarkan dengan tawaran lumayan dan mengisytiharkan diri sebagai Bebas (Pro UMNO). Adakah ini halal dalam hukum Islam..? Mungkin tok mufti yang rajin berfatwa boleh mengeluarkan hukumnya.

Impian Anak Malaysia
Malaysia yang mengaku sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sewajarnya membuat revisi semula berkaitan pelbagai akta seperti International Security Act (ISA) 1960, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Bukankah akta seperti ISA telah mula menyimpang daripada matlamat asal untuk melawan komunis kepada mempergunakan ia untuk menangkap golongan yang tidak sehaluan dengan kerajaan seperti pembangkang.? Lihatlah pula impak daripada pelaksanaan AUKU yang telah memberi kesan besar kepada mahasiswa menyebabkan daya pemikiran yang lemah, tindakan yang kaku, ‘aku-tidak pedulisme’ apa yang berlaku pada ummah. Suara golongan mahasiswa yang suatu ketika dahulu mampu menggugat dan mendesak kerajaan telah menjadi ‘pak turut’ yang mesti akur dengan segala kehendak pemerintah. Jikalau melawan dikatakan tak bersyukur dengan nikmat yang diberikan kerajaan.

Di era kegemilangan kebangkitan gerakan mahasiswa dulu, mahasiswa dianggap “penyambung denyut nadi rakyat” kerana begitu akrabnya hubungan mereka dengan isu pembelaan rakyat. Kini, itu semua hanya tinggal kenangan. Mahasiswa hanya mengenal 3K (kelas, kafe ,katil). Mahasiswa larut dengan budaya hedonisme yang telah berjaya mematikan daya sensitiviti dan kepekaan mereka kepada masalah negara. Kesedaran politik yang amat rendah sedangkan siapa lagi yang akan menjadi pewaris kepimpinan akan datang jikalau bukan penghuni menara gading ini.? Pemerintah perlulah bersikap objektif dan lapang dada dalam mendengar pandangan orang-ramai terhadap isu ISA dan AUKU. Bak kata PM sendiri zaman sekarang bukan lagi zaman kerajaan tahu segalanya. Tahun 2010 semestinya sudah jauh berbeza dengan 1960(ISA digubal).

Kata Abraham Lincoln, “democracy is the government of the people, by the people and for the people”. Jelas, tunjang negara demokrasi ialah rakyat dan bukannya golongan elit yang sentiasa ingin mengekalkan kuasa pemerintahan sehingga Qiamat. Institusi Kehakiman dan organisasi seperti Polis, , Suruhanjaya Pilihanaraya (SPR), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara, Biro Tatanegara, media perdana dan bermacam lagi jentera kerajaan seharusnya dibebaskan dari cengkaman pemerintah. Buktikan kesemua organ utama ini benar-benar bertindak dengan adil dan tidak pilih-kasih. Keluarlah dari kepompong sindrom denial itu.

Rakyat pun kini telah sedar akan hak-hak mereka yang sememangnya telah dijamin dalam perlembagaan. Hentikanlah ratib “hanya kami sahaja yang mampu memerintah”, “jika pembangkang memerintah, habis huru-hara negara ini”, “bersyukurlah dengan apa yang kami berikan, jangan jadi kacang lupakan kulit”. Slogan retorik ini boleh digunapakai ketika awal kemerdekaan dahulu sehingga era 80an. Kini, di zaman teknologi sudah berkembang maju, orang sudah pun membuka mata khususnya apabila melihat negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat juga tidak kurang hebatnya dalam pembelaan nasib rakyat. Sudah memang menjadi tanggungjawab kerajaan manapun yang memerintah untuk berkhidmat kepada rakyat dan semestinya bukan mengutamakan kroni dan kaum-kerabat sekeliling mereka sahaja.

Apa impian anak Malaysia..? Soalan ini apabila ditanya kepada saya, jawapannya mudah sahaja “saya mengimpikan negara Malaysia diperintah oleh kerajaan yang adil, mengutamakan rakyat, bebas dari penyelewengan, dan menzahirkan apa yang dikata dalm bentuk tindakan."
Tidak kiralah slogan 1 Malaysia, Harapan Baru untuk Malaysia, Negara Berkebajikan atau apa jua slogan indah lain ianya mesti dibuktikan apabila sudah berkuasa. Usaha transformasi yang sedang diusahakan oleh PM Datuk Seri Najib hanya akan jadi sia-sia jika tidak berlakunya reformasi menyeluruh dalam kesemua institusi kerajaan sehingga ianya benar-benar mampu meyakinkan sekalian rakyat jelata.

Hentikanlah lakonan sandiwara kononnya mereka pejuang dan pembela kaum masing-masing sehingga terlupa bahawa Islamlah jalan penyelesaian terbaik kepada semua yang berlaku hari ini. Kita tidak meminta untuk dilahirkan berbangsa Melayu, Cina, India, Iban mahupun Kadazan. Allah Yang Maha Pencipta sememangnya telah menetapkan hikmah tertentu akan kewujudan pelbagai warna kulit dan bangsa. Tidaklah lebih mulia di sisi Allah seorang yang berbangsa Melayu berbanding orang Cina kerana bangsanya tetapi dia mulia kerana TAKWAnya.
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud;

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)"

Obor perjuangan dalam mendirikan sesebuah negara yang perlu kita ingat ialah Islam yang dijadikan dasar dan panduan selari dengan sifat syumulnya Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.Ingatlah mutiara kata Saidina Umar Al-Khattab di saat pembebasan Kota Baitul Maqdis dahulu;

"Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka apabila kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita akan dihinakan oleh Allah."


Catitan @ 9.00am Sabtu,2 Oktober 2010, UIA Gombak.