15 Oktober 2010
Oh, indahnya di taman ini..!
Sebuah hadits yang diriwayatkan Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi dari Abu Darda' menyebutkan bahawa Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. bersabda,
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
"Barangsiapa yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, nescaya Allah subhanahu wata’ala menyediakan jalan untuknya menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya karena redha kepada orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya ulama dimintakan ampun oleh makhluk yang berada di langit dan di bumi sampai ikan yang di dalam laut. Keutamaan seorang alim atas seorang abid seperti keutamaan bulan atas segala bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil ilmu itu, maka sungguh dia telah mengambil keberuntungan yang banyak."
Berpandukan hadis ini, jelas betapa pentingnya kita untuk menjadi orang yang berilmu. Hadir ke majlis ilmu merupakan salah satu kaedah yang terbaik untuk menuntut ilmu.
Seperti masyhurnya nama UIA yang dikenali “The Garden of Knowledge & Virtue” (Taman Ilmu & Budi) ini sememangnya meriah dengan majlis ilmu samada secara kuliah formal di dalam kelas mahupun program yang dianjur oleh organisasi.
Alhamdulillah, pada Selasa lepas berkesempatan untuk hadir ke Usrah Umumi anjuran Students’ Representative Council (SRC) di ADM LT 2. Pengisian yang begitu hebat dan sarat dengan mutiara ilmu yang disampaikan oleh ‘sifu’ pendidik Malaysia iaitu Profesor Dr. Sidek Baba.
Inilah peluang kali pertama saya mendengar pengisian secara terus oleh tokoh ilmuan terkenal tanah air. Beliau yang juga lebih mesra dengan gelaran Cikgu banyak menyentuh persoalan ilmu dan kepimpinan.
Saya kongsikan serba sedikit nota yang sempat saya catat pada malam itu;
Proses mendapat ilmu bermula daripada :knowing-understanding-getting the meaning
Antara punca masalah yang berlaku di kalangan Muslim hari ini ialah sekadar percaya, masih belum yakin. Cth: Allah itu wujud, adanya kehidupan selepas mati. Apabila sekadar percaya menggunakan akal tanpa yakin di hati menyebabkan tindakan kita masih tak seiring dengan apa yang kita percaya.
Tokoh ilmuan Islam terdahulu bukan sahaja pakar dalam pelbagai bidang ilmu fardu kifayah tetapi ia telah didasari terlebih dahulu dengan pengetahuan fardu ain yang cukup. Cth; Al-Idrisi yang merupakan manusia pertama mencipta glob dan peta bumi manakala Al-Zahrawi pakar dalam pembedahan dan mencipta pelbagai alat-bedah yang diguna hari ini.
Betapa lemahnya ciptaan manusia berbanding apa yang dicipta Allah. Cth: lebuhraya yang canggih, bertingkat-tingkat tetapi tetap tak mampu menghalang kemalangan jalanraya berlaku. Perhatikan pula alam sekeliling, planet dan bintang yang senantiasa bergerak pada landasan masing-masing tanpa berlaku perlanggaran sedikit pun walau barang sesaat. Subhanallah,hebatnya kuasa Allah.
Setelah Barat mencedok segala ilmu Islam dahulu, umat Islam semakin lemah. Kita hanya mampu menjadi “pengguna setia” dan bukan lagi “penyumbang yang baik”. Selama mana lagi kita nak bergantung kepada kuasa besar Barat ini..? Kembalilah kepada asas Islam. ‘Islamkan semula’ apa yang kita dapat daripada mereka.
Antara asas yang perlu ada pada mereka yang bergelar qiyadah/ kepimpinan ialah;
1) ilmu perbandingan- ilmu samada bersumber daripada Islam atau kafir perlu dibanding dan diukur dengan neraca syariat.
2) Filtering ability- pemimpin yang mampu membezakan apa yang baik-buruk, manfaat-tak bermanfaat .
3) Sinergi yang kuat antara umara’/pemimpin dengan ulama’ dalam mentadbir negara. Mereka saling melengkapi(complimentary), ilmu yang berintegrasi duniawi &ukhrawi dan tradisi pengkaryaan.
Ilmu Islam boleh diibarat seperti pokok yang mempunyai akar, batang, dahan, dan buah begitulah Islam yang bertunjangkan akidah, berteguhkan ibadah, syariat dan membuahkan akhlak.
Tajdid,reformasi dan transformasi perlu ada dalam sistem pendidikan Malaysia untuk melahirkan insan dan bukan ‘exam oriented’ semata. Maka usaha itu perlu dibuat melalui integrated knowledge , elemen pratikal/kokurikulum, nilai etika dan secara holistik/menyeluruh.
Guru juga komponen utama yang perlu dititikberatkan dalam usaha tajdid pendidikan ini. Guru bukan sahaja bergelar pengajar tetapi mampu menjadi muallim, murabbi dan muaddib.
Saya begitu tertarik apabila beliau menceritakan pengalaman liku-liku kehidupan beliau yang pernah gagal beberapa kali STPM kemudian bangkit kembali sehingga bergelar Profesor hari ini. Beliau menasihatkan kami untuk mencari sebanyak mungkin mutiara ilmu yang tak semestinya kita dapat melalui pembelajaran dalam kelas tetapi perlu dikutip melalui halaqah/usrah sebagai medium percambahan dan medan perbincangan ilmiah. Beliau sendiri telah banyak mengasaskan usrah di mana tempat yang beliau pergi dan sampai sekarang masih terlibat dengan usrah.
Di akhir program tersebut, beliau menyampaikan harapan agar kami dapat meneruskan lagi usrah umumi ini dan beliau sanggup mengosongkan masa untuk datang memberi pengisian lagi. Beliau juga meminta pihak penganjur tidak menyediakan sebarang cenderamata/hadiah penghargaan buat beliau pada program yang akan datang.
Begitu hebatnya tokoh ilmuan ini yang sanggup menghabiskan masa bersama kami anak muda yang masih mentah ini bahkan tanpa mengharap sebarang ganjaran daripada sesiapa.
Semoga Allah terus memberkati usaha dan perjuangan Cikgu Sidek.Amiin…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan