16 Jun 2010

Sudah hampir sebulan blog ini tak berisi.Adakah tuan empunyanya begitu sibuk sehingga tak sempat langsung untuk mengemaskini?

Itulah persoalan yang bermain di fikiran saya sendiri.Sibuk..Itulah alasan yang sering diberikan untuk melepaskan diri sedangkan masa yang Allah kurniakan kepada semua hambaNYA tetap sama iaitu 24 jam. Cuma,berbalik semula kepada diri sendiri sejauhmana kita memanfaatkan setiap masa yang dikurniakanNYA.

Benar juga kata motivator yang sedang mencipta nama kini, Amin Idris

“hanya orang yang sibuk sahaja menghargai masa kerana dia sedar tak punya banyak masa untuk menyelesaikan tugasan yang banyak,berbanding dengan orang yang punya banyak masa lapang lebih suka membiarkan masa berlalu begitu sahaja kerana dia yakin masa masih banyak.”

Sejujurnya,saya yang mengambil sem pendek ini sememangnya banyak masa lapang cuma entah mengapa mood untuk menulis pula tidak kunjung tiba.(haha,mencipta alasan lagi) Saya lebih suka membaca berita semasa untuk menambahkan koleksi berita ‘arkib kecil isu’ dalam laptop ini.Eloklah dikongsikan serba sedikit isu yang hangat diperkatakan sekarang;


· JUDI BOLA- tindakan kerajaan Malaysia yang meluluskan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 kepada tauke besar Cina, Tan Sri Vincent Tan melalui Berjaya Corporation yang memiliki Ascot Sports Sdn Bhd telah menimbulkan reaksi pelbagai pihak. Secara umumnya, majoriti umat Islam membantah tindakan ini kerana ia akan menambahkan lagi permasalahan dalam masyarakat.

Cuma, saya masih musykil apabila parti UMNO yang mengaku ‘pembela’ agama dan bangsa masih berpeluk tubuh dalam hal ini bahkan ada dalam kalangan pemimpin mereka bersetuju dengan tindakan mengHALALkan apa yang diHARAMkan Allah atas alasan untuk mengawal kegiatan judi haram.

Alangkah dangkalnya alasan yang diberikan tanpa berpandu kepada al-quran dan As-Sunnah.Jikalau itu alasan yang diberikan, selepas ini bolehlah kerajaan keluarkan pula ‘lesen halal’ dan ‘cop JAKIM’ kepada para pelacur,penzina,peminum arak supaya dapat mengekang masalah tersebut.


Islam sudah memberikan panduan yang sempurna tetapi ia tidak diendahkan dan dihumban ke tepi kerana tak bersesuaian dengan kehendak mereka. Ialah kata mereka “politik kan tak boleh dicampuraduk dengan agama”. Bukankah ini yang dikatakan fahaman sekular..?


Setelah mendapat tekanan daripada pelbagai pihak termasuk suara orang bukan Islam, kini kerajaan mula mengendurkan isu ini dengan mengeluarkan kenyataan “Kementerian Kewangan masih belum memuktamadkan keputusan tentang pemberian lesen judi kepada Ascot Sport Sdn Bhd.”


Pelik bin aneh apabila keluar kenyataan sedemikian rupa kerana si Vincent Tan telah pun memaklumkan kepada Bursa Malaysia tentang lesen yang diperoleh beserta maklumat keuntungan jual-beli yang berkaitan. Malah, si Vincent Tan juga melahirkan rasa kecewa kepada kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (Kelantan,Kedah,Selangor dan Pulau Pinang) yang enggan memberikan kebenaran kepada syarikatnya untuk menjalankan kegiatan judi tersebut.


Terbaru,Perdana Menteri sendiri menafikan akan pemberian lesen judi ini dalam suatu sidang media hari ini(15 Jun 2010) dan enggan mengulas lanjut akan isu ini lagi.

KESIMPULAN; Judi merupakan satu perbuatan yang hukum HARAMnya adalah secara qatie di dalam Islam. Para ulama telah bersepakat dan ia tidak ada melibatkan soal khilaf atau berbeza pendapat.

Sewajarnya, kerajaan yang diperintah oleh orang beragama Islam memikirkan inisiatif untuk mengurangkan atau mengharamkan terus apa jua jenis judi dan bukannya menggalakkan lagi kegiatan haram ini.

Bahkan,semua agama lain pun tidak membenarkan perbuatan judi ini jadi usahlah mencipta pelbagai alasan lagi semata-mata untuk meraih keuntungan.

Sebagai renungan kita bersama, Allah berfirman;

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya". dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: " yang lebih dari keperluan." Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir, (Al-Baqarah:219)

Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud;


“Barangsiapa yang melihat kemungkaran,ubahlah ia dengan tangan(kuasa),jika tak mampu; ubahlah ia dengan lisan, jika tak mampu; ubahlah ia dengan hati. Dan itulah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Saya masih menantikan suara lantang dan jelas teguran daripada para mufti,menteri agama,JAKIM, dan badan NGO yang kononnya ‘pejuang’ Melayu tentang isu ini. Tidak ada gunanya kalau ilmu yang menggunung tinggi tetapi bersifat pengecut dan ‘play safe’ dalam menegur pemerintah yang secara terang menghina dan mencabar hukum Allah. Jangan kerana hanya takutkan kehilangan periuk nasi,pangkat,gaji besar,pingat kebesaran dan habuan dunia sehingga terlupa akan amanah dan tanggungjawab yang akan disoal di mahkamah Allah kelak..


Tiada ulasan: