22 Disember 2010
Renungan sejenak
Allahu Akbar.Allah Maha Besar. Allah Maha Agung. Segala puji hanya selayaknya kepadaNya.
Dialah Tuhan yang mencipta kita dan menentu segala ketetapan sekalian alam ini daripada sekecil seekor semut di atas tanah sehinggalah sebesar sang suria yang memancarkan cahaya setiap hari. Tiada kuasa lain yang mampu setanding dengan kuasaNya.
Di dalam Surah Al-Ikhlas yang sering kita baca itu ada terkandung berkenaan asas akidah Muslim. Allah berfirman yang bermaksud;
1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa.
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
4. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."
Terdapat hadis yang mengisahkan seorang pemuda yang merupakan salah seorang ahli pasukan sirriah (risikan) yang dihantar keluar dari Madinah. Setiap kali dia solat, pasti akan diakhiri dengan ayat 1 Surah al-Ikhlas. Setelah pulang semula ke Madinah, para sahabat sepasukannya pergi berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan memaklumkan kepada baginda berkenaan pemuda itu.
Lalu, Rasulullah S.A.W meminta para sahabat pergi bertanya sendiri apa sebabnya pemuda itu melakukan sedemikian?
Para sahabat mendapat jawapan daripada pemuda itu “ aku berbuat demikian kerana di dalam surah itu terkandung sifat Ar-Rahman dan sesungguhnya aku suka untuk membacanya.”
Mereka pun memaklumkan kembali kepada baginda tentang jawapan si pemuda itu lalu baginda pun bersabda “Khabarkanlah kepadanya sesungguhnya Allah menyukaiNya.”
Bertuahnya pemuda ini kerana amalan yang dilakukannya itu mendapat pujian ‘direct’ daripada Allah melalui lidah Rasulullah S.A.W.Bagaimana pula dengan kita..? Adakah sebab kita membaca surah ini kerana ianya pendek dan mudah dihafal?
Walaupun hanya ada 4 ayat yang terkandung di dalamnya namun ia berkait rapat dengan asas utama akidah Muslim yang mentauhidkan Allah. Kita meyakini keesaan Allah, sifatnya yang mutlak (tempat bergantungnya segalanya), Allah itu tidak mempunyai anak mahupun ibu-bapa dan tidak ada sekutu bagiNya. Inilah ciri asas yang perlu diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan oleh setiap Muslim yang telah melafazkan kalimah syahadah.
Wallahua'lam..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan