31 Disember 2010

Bagaikan Bermimpi




Benarlah kata pepatah Arab, “Masa ibarat pedang, jika kamu tak memotongnya nescaya ia yang akan memotong kamu”. Rasanya baru semalam melangkah ke tahun 2010, celik mata hari ini sudah pun berada di pinggiran 2010 dan bersiap pula melangkah ke tahun 2011. Sememangnya dalam diari kehidupan 2010 telah dipenuhi catitan pahit-manis samada yang berlaku dalam diri, keluarga, kampus sehinggalah ke peringkat nasional dan internasional.

Yang telah berlalu hanya tinggal sejarah dan tak mustahil akan berulang kembali. Cuma, persoalan yang perlu sama kita renungi dan koreksi samada;

1. “Adakah aku telah memanfaatkan nikmat hidup setahun ini dengan sebaiknya?
2. Sudah bertambahkah keimanan dan ketakwaan kepada Yg Maha Esa.?
3. Ibadah yang dilakukan adakah semakin berkualiti?
4. Bagaimana pula rupa bentuk akhlak kita sesama insan terutama ibu-bapa, keluarga, guru, sahabat, dan masyarakat?
5. Berapa banyak pula ilmu yang telah kita tambah samada melalui pembacaan dan menghadiri majlis ilmu? Ilmu yang difahami itu sudahkah kita amalkannya?
6. Adakah kita telah berusaha bertaubat dan meninggalkan perbuatan dosa-maksiat yang sering kita lakukan dalam kehidupan seharian?

Begitulah serba-sedikit persoalan yang wajar kita selesaikan dalam usaha menentukan benchmark atau penanda aras prestasi dan pencapaian pada tahun 2010 samada CEMERLANG atau BIASA atau GAGAL. Kemudian, barulah kita dapat mengetahui sejauhmana kemampuan diri dan anjakan yang ingin dilakukan pada 2011 ini.

Apa yang telah berlalu kita tinggalkan dan buka pula catitan baru yang lebih baik untuk kita usahakan. Semoga kita tergolong dalam golongan manusia yang beruntung yang mana kehidupannya hari ini sentiasa lebih baik daripada semalam dan dijauhkan daripada tergolong dalam golongan yang rugi mahupun celaka.

“Ya Allah, Kau tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang yang kau beri nikmat dan bukan jalan orang yang kau murkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.

Ya Allah, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu.

Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk’, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.
Ya Allah, kurniakanlah kami Ad-Din yang jitu dan unggul, selamat dari segala malapetaka. Kami memohon kecukupan yang tidak sampai perlu kami terpaksa meminta jasa orang lain.

Ya Allah, berikanlah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak gentar atau mengharap orang lain selain dari Kau sendiri atau menyembah selain dari Kau sendiri.
Ya Allah, kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami.

Ya Allah, jangan Kau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun sekadar sekelip mata atau sekadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan permintaan.

Amiin.

Tiada ulasan: