17 Ogos 2010
Catatan Awal Ramadhan
Di celah- celah kesibukan dengan pelbagai bebanan tugas yang digalas, sempat juga saya ‘melarikan’ diri ke kampung pada awal pagi Jumaat. Seperti yang telah dinekadkan dalam hati maka pagi itu saya bertolak secepat mungkin ke Stesen Bas Pekeliling untuk menaiki bas ekspress Metro jam 10 pagi. Sejurus tiba, saya bergegas membeli tiket kerana saya mesti tiba di kampung sebelum solat Jumaat.
Sudah menjadi kebiasaan saya jikalau menaiki kenderaan yang memakan masa berjam-jam ada 3 aktiviti yang menjadi pilihan.
1)Baca 2) Borak 3) Tidur
Teman saya yang pernah bersama menaiki bas dengan saya pasti menjadi ‘mangsa’ untuk diajak berbual, tidak berhenti sehinggalah aneka cerita sudah habis ataupun mulut yang letih. Alahai, apa boleh buat, mengikut kajian Dr Fadzillah Kamsah orang yang lahir bulan 10 memang banyak cakap..Hehe
Oleh sebab saya keseorangan ketika pulang ini jadi hanya no1 dan 3 yang dipilih. Saya menahan mata yang sangat mengantuk kerana malam sebelum itu saya hanya sempat tidur 1 jam sebelum sahur. Terima kasih kepada penghuni bilik Ali E 2.1 kerana sudi menerima kunjungan saya malam itu.
Sebelum terlena dalam bas pagi itu, saya membelek buku yang baru dibeli di Taman Melewar baru-baru ini. Tafsir At- Tibyan Surah Yaasin edisi kemaskini terbitan Nufair Street ini ditulis oleh tokoh yang amat saya hormati, YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Buku ini pada asalnya ialah manuskrip yang disusun oleh Ustaz Zulkifli Abu Bakar berdasarkan hasil kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Saya ingin berkongsi serba- sedikit berkenaan buku ini yang mana tajuk kecilnya ialah Penawar Hati Insan. Ianya kiasan kepada manusia bahawa Surah Yaasin ini diturunkan khusus kepada sekalian insan. Surah ini sememangnya menjadi pengubat dan penawar kepada kegelisahan hati, kecelaruan minda, kerosakan fizikal dan bermacam lagi.
Cuba kita lihat dalam kehidupan masyarakat yang secara umumnya menjadikan surah Yaasin sebagai wasilah memohon pertolongan Allah terutama ketika ditimpa kesusahan. Ini boleh dijadikan bukti bahawa mereka menjadikan surah yang penuh hikmat ini sebagai ‘penawar hati’ mereka.
Surah ini diturunkan di Makkah namun ada juga pendapat ulama yang mengatakan ia diturunkan di Madinah berdasarkan ayat 12 surah Yaasin. Ayat ini ditujukan kepada Bani Salamah yang mana kedudukan rumah mereka jauh dari masjid lalu Allah memberi kelebihan kepada mereka yang melalui perjalanan jauh akan dicatat segala kesan daripada jalan yang mereka lalui sebagai amal soleh.
Walaubagaimanapun, ulama berpandangan ianya Surah Makiyyah kerana ayat-ayat di dalamnya banyak memperihalkan persoalan akidah dan keimanan. Ianya bertujuan mengukuhkan lagi keimanan para sahabat yang ketika itu diuji dengan pelbagai mehnah seperti tekanan hidup dan kezaliman yang dilakukan oleh orang kafir.
Terdapat 3 intipati utama yang disentuh di dalam surah ini iaitu;
Keimanan kepada hari kebangkitan.
Kisah perjalanan manusia menuju ke Padang Mahsyar.
Kisah penduduk sebuah negeri yang membunuh orang yang menegakkan Islam supaya menjadi dalil dan bukti kepada keEsaan Allah sebagai Rabbil Alamin.
Pada awal surah ini, Allah bersumpah dengan Al- Quran bahawa kitab ini adalah wahyu dari Allah. Ia bukanlah rekaan Rasulullah S. A.W bahkan ia berperanan untuk memperjelaskan risalah kerasulan nabi Muhammad S. A.W.
Di dalam surah ini juga tersorot kisah berkenaan sebuah negeri bernama Anthokiah yang mana penduduknya mendustakan para rasul. Ia menjadi pengajaran dan amaran Allah iaitu akibat yang bakal menanti bagi siapa yang mendustakan wahyu dan para Rasul.
Kisah Habib An Najjar R.A seorang lelaki yang berpendirian teguh menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah namun seruan itu tidak diendahkan. Bahkan, Habib An Najjar telah dibunuh dengan dipijak beramai- ramai oleh penduduk negeri tersebut. Syahidlah dia demi menegakkan agama Allah. Allah memberi ganjaran syurga kepadanya manakala penduduk negeri yang degil itu maut hanya dengan satu tempikan malaikat sahaja.
Terdapat juga di dalam surah ini berkenaan dalil qudrat kuasa Allah dan keEsaanNya yang dapat dilihat daripada kejadian alam yang sungguh menakjubkan ini. Pancaindera mata kita dapat melihat pelbagai makhluk ciptaan Allah, kejadian siang-malam bersilih ganti, planet yang bergerak mengikut orbit masing- masing dan termasuklah penciptaan manusia sendiri. Begitulah hebat dan agungnya kebesaran dan kekuasaan Allah.
Pengakhiran surah ini ditutup dengan membicarakan soal asas di dalam Islam iaitu kebangkitan semula manusia selepas mati dan pembalasan Allah terhadap segala amalan yang dilakukan kita sepanjang hayat di dunia ini.
Surah Yaasin ini mempunyai pelbagai kelebihan bahkan terdapat hadis yang mengatakan surah ini boleh diibaratkan seperti ‘hati’ Al- Quran dan Rasulullah amat kasih kepada mereka yang meletakkan surah ini di hati masing- masing.
Begitulah serba ringkas yang dapat saya petik daripada buku ini. Untuk lebih lanjut, eloklah masing- masing berusaha mendapatkan naskahnya sendiri.
Alhamdulillah, Masjid baru Kampung Temin ini telah mula digunakan menjelang awal Ramadhan baru ini.
Nota: Selamat beribadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Rebutlah peluang selagimana ia masih terbuka untuk kita…
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan