10 Januari 2009

Keretapi oh keretapi…

Apa pula kaitan gambar di atas dengan tajuk posting ini..?
Persoalan itu saya rungkaikan dalam ‘catatan perjalanan’ di bawah ini.

Catatan pun bermula..:

24 Disember2008-Rabu
Tertera pada tiket KTMB
bahawa Tren Express ke Tumpat bertolak pada jam 02.15pagi.Setelah 3 tahun tidak menjengah ke bumi “Cik Siti Wan Kembang” , Alhamdulillah kini berpeluang untuk ke situ bersama keluarga.Kebiasaannya, sebelum ini saya tidak dapat ikut serta kerana cuti UIA kan ‘lain’ dari yang lain.
Setelah lama menanti,tren yang kami tunggu pun tiba.Malam itu saya,ayah,ibu dan adik menaiki koc kelas ke2.Kami biasanya naik yang kelas biasa sahaja tapi kali ini tiket kelas ekonomi dah habis jadi terpaksalah naik yang kelas ke2.

25 Disember 2008-K
hamis
Kami tiba di Stesen Keretapi Pasir Mas pada jam 7.30pagi.Perut pun dah lapar jadi kami pun bersarapan Nasi Kerabu terlebih dahulu.Kemudian,barulah menaiki teksi ke rumah ibu saudara di Rantau Panjang.Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30minit disulami dengan perbualan rancak antara ayah dengan pemandu teksi.Tiba-tiba,suara tersebut hilang dari pendengaran (lah,terlelaplah pula). Setibanya di rumah tersebut kami disambut mesra oleh ibu dan bapa saudara.Setelah berbual dan menyampaikan sedikit buah tangan berupa kek kukus buatan adik,kami pun berehat di bilik tetamu.Perjalanan 6 jam menaiki keretapi semalam memang agak memenatkan.Petang itu kami berkesempatan hadir ke kenduri kesyukuran di rumah sepupu yang juga merupakan seorang businessman yang berjaya.

26 Disember 2008-Jumaat

Hari ini agak special; Saya dan ayah awal-awal pagi lagi keluar dan menunggu bas untuk ke KB.Setibanya di sana,kami pun terus bergerak ke Medan Ilmu yang terletak berhadapan sahaja dengan Kedai Buku Jaafar Rawas.Kelihatan orang ramai telah mula memenuhi khemah yang disediakan.Tidak kurang juga yang duduk mendengar ilmu disampaikan oleh Ustaz Ismail Noh dari kedai makan.Hujan yang renyai-renyai turun membasahi bumi tak melunturkan semangat orang-ramai di sini untuk hadir.Kebetulan yang disengajakan,saya pun berjumpa sahabat seCFS,Firdaus di majlis ilmu tersebut.Sempat lagi,saya menjenguk ke gerai yang menjual aneka jenis makanan dan barangan di sekitar kawasan itu.Tak lama kemudian sebuah kereta Perdana hitam yang tertera pada no flat pendaftarannya tulisan jawi tertulis “Menteri Besar Kelantan” tiba.Kelihatan seorang insan berjubah dan berserban putih keluar dari kenderaan dan terus menuju ke khemah pentas serba ringkas di hadapan.Inilah dia tokoh ulama’+ umara’ yang saya kagumi iaitu tak lain tak bukan-“Tok Guru Nik Aziz”.
Beliau memulakan kuliah pagi itu dengan menyentuh tentang ‘Hijrah’ bersempena umat Islam yang akan menyambut tahun baru 1430H. Para hadirin yang terdiri daripada kalangan pelbagai usia kelihatan khusyuk dan memberikan sepenuh perhatian untuk mendapatkan sebanyak mungkin mutiara ilmu yang keluar daripada mulut seorang pemimpin yang disayangi lagi disegani teman dan lawan. Selepas sejam menyampaikan kuliah,beliau pun mula bangun untuk meninggalkan majlis.Seperti biasa,para pendengar yang hadir berebut-rebut untuk bersalam dengannya.(termasuklah yang menulis ini).Dalam usia yang sudah menjangkau 77 tahun tanpa seorang pun pegawai polis mahupun bodyguard rasmi mengiringi beliau dalam keadaan diasak oleh orang ramai sudah cukup membuatkan saya berasa amat terharu dan berkata di dalam hati; “alangkah bertuahnya rakyat Kelantan kerana mempunyai seorang MB yang begitu tawaduk dan berjiwa rakyat”.Cuba anda bayangkan seorang yang bergelar “Yang Amat Berhormat” dan ketua pentadbir negeri mempunyai sifat merendah diri sedemikian rupa.Contoh paling mudah ialah Tok Guru tak memilih untuk tinggal di Kediaman Rasmi MB tetapi beliau lebih suka untuk menetap di rumah kampung yang serba sederhana.
Marilah sama kita b
erdoa moga ‘mutiara berharga’ ini dipanjangkan umur untuk terus berjuang menegakkan Islam sehingga ke akhir hayatnya.

Inilah teratak yang diduduki oleh seorang bergelar MB.

(anda nilailah sendiri...)

Selesai mendengar kuliah Jumaat,saya dan ayah
sempat ke Kedai Buku Jaafar Raawas.Kedai ini memang sudah lama bertapak di situ
danianya kedai buku serba lengkap khususnya buku berkaitan agama.Tengah hari itu kami bersolat Jumaat di Masjid Muhammadi.Selepas solat Jumaat dan makan tengahari,kami pulang ke Rantau Panjang.Petang itu,sempatlah bershopping sikit di pekan bebas cukai Rantau Panjang yang agak terkenal itu.Kelihatan memang banyak kenderaan pengunjung dari luar Kelantan yang datang ke situ. Tapi kata orang kalau nak beli barang di situ harganya agak tinggi jika kita bukan bergelar 'oghe kelate'.


27 Disember 2008-Sabtu
Pagi ini saya sekeluarga menziarahi kenalan ibu yang menetap di Pasir Mas pula.Teringatkan layanan mesra yang diberikan sepanjang kedatangan kami ke rumah mereka. Walaupun kami bukanlah mempunyai
talian perhubungan persaudaraan yang rapat namun atas nama ukhwah Islamiah persoalan itu tidaklah berbangkit. Mereka bukanlah daripada kalangan orang berada tapi kehidupan mereka nampaknya lebih aman dan tenang kerana adanya sifat bersyukur atas apa jua nikmat kurniaan Allah.
(susah nak jumpa orang sebegini,Allah dah bagitahu dalam Al-Quran bahawa hanya sedikit sahaja di kalangan hambaNya yang bersyukur.)

Tengah hari,kami sekeluarga bertolak pula ke Kota Bharu.'Main objective' kali ini pula ialah ingin membeli-belah di Pasar Siti Khadijah.




Inilah gambar pandang sisi Pasar Siti Khadijah










Setelah puas berjalan dan membeli sedikit barang untuk dibawa pulang,kami makan tengahari di tingkat atas bangunan yang bersambung dengan pasar tersebut yang khusus untuk jualan makanan dan minuman sahaja.Menu hari itu agak special jugalah iaitu "Nasi Sup".


Huh,nampak menyelerakan..



Pada jam 4 petang,kami bertolak pulang semula ke Rantau Panjang.Dalam perjalanan menaiki bas,saya tertarik dengan keindahan senibina Masjid Jubli Perak yang sudah hampir siap binaannya.Ia mengambil rekabentuk dari negara China.


Saya amat yakin apabila masjid ‘cina’ ini siap kelak, ia bukan sahaja indah dalam senibina tapi yang lebih utama ialah pengimarahan masjid itu sendiri sebagai institusi ilmu sekaligus pusat kemasyarakatan.


Malam itu,kami sudah mula berkemas barang dan beg pakaian kerana sebelum subuh esok kami akan bertolak pulang menaiki tren di Stesen KTMB Pasir Mas.






28 Disember 2008-Ahad

Seawal jam 5pagi lagi kami bertolak meninggalkan rumah ibu saudara setelah mengucap salam perpisahan. Setibanya di Bandar Pasi
r Mas,
azan Subuh pun berkumandang.

Jadi,kami bersolat terlebih dahulu di Masjid Daerah.Tren yang kami naiki dijangka tiba jam 6.55pagi.Sementara menunggu tren tiba sempatlah berbual dengan sepupu yang menghantar kami dan beberapa orang pak cik
Seperti dijangka,tren tiba lewat 30minit daripada jadual asal.
Kali ini,terpaksalah pula merasa untuk naik keretapi mel biasa kerana tiket ekspres sudah habis awal lagi.Perjalanan yang sepatutnya hanya 6 jam kini bertambah menjadi 10 jam kerana tren ini akan berhenti di setiap stesen besar dan kecil(dalam hutan pun berhenti).
Tren ini membawa hanya 2 koc penumpang dan selebihnya koc untuk barangan pos.Kondisi di dalam tren ini pun agak uzur; kerusi pun amat ‘empuk’ ditambah pula dengan desiran angin ‘aircond semulajadi’.(padanlah dengan namanya mel biasa).


Perjalanan yang agak lama itu saya isi dengan membaca buku karangan Ustaz Mustafa Masyhur yang bertajuk “Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah” .Suka saya memetik sebahagian tulisan beliau di bawah subtopik; Bertafakkur Terhadap Makhluk & Tanda-Tanda Kekuasaan Allah.

Beliau mengulas tentang situasi yang kebiasaan berlaku di stesen keretapi.Pekerja stesen akan mengubah laluan tren apabila sesebuah tren akan berselisih dengan tren lain bukan dengan mengangkat/mengalih landasan tersebut tetapi dengan cara yang mudah iaitu menggunakan “alat pengubah haluan landasan” .
Dengan menarik sedikit “alat pengubah haluan landasan”,ia dapat mengubah haluan tren ke laluan lain tanpa bersusah-payah.

Demikian juga hati manusia dan ma’arifatullah (mengenal Allah). Mengenali Allah secara hakiki merupakan “alat pengubah”.

Memetik pula kata-kata Asy-syahid Imam Hassan Al-Banna;
“Apabila Hati insan mengalami perubahan dari 1 keadaan ke keadaan yang lain, diri Insan itu akan turut berubah.Apabila seseorang individu itu berubah,Ummah jua akan berubah.Apabila Kau inginkan perubahan maka baikilah Hati manusia dengan mengenalkannya dengan Allah secara hakiki.”

Alhamdulillah,kami sekeluarga selamat tiba di Stesen KTMB Jerantut pada jam 4.30petang.Walaupun agak penat,tapi kembara perjalanan kali ini membawa 1001 kenangan indah dan pengalaman baru.Moga bertemu lagi dengan 'keretapi' di masa akan datang.


Nota:Maaf,catatan perjalanan ini tidaklah berisi dengan pelbagai tazkirah buat yang membaca tapi ia hanyalah sekadar perkongsian cerita dan untuk diabadikan kenangan tersebut di sini.Wallahua'lam.

Tiada ulasan: