31 Disember 2009

Kenali Diri


Firman Allah dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud;

Wahai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.


Seperti yang kita semua tahu Allah telah mencipta manusia dengan pelbagai jenis bangsa dan keturunan.Ada pelbagai warna kulit,bahasa,adat dan kebudayaan. Semua perbezaan ini tidak sepatutnya menjadi asas untuk kita saling bermusuh-musuhan.Segala permasalahan ini dapat diselesaikan dengan mudah apabila ISLAM yang menjadi 'titik temu' nya. Dengan sifat universalnya,Islam tidak memandang pada warna kulit ataupun bangsa tetapi seperti yang telah Allah firmankan dalam Al Quran, mulianya seseorang itu dinilai pada TAKWAnya kepada Allah.


Pasti terdapat hikmahnya Allah menciptakan insan ini dengan pelbagai rupa dan perbezaan. Contoh mudah; dapat tak kita bezakan dalam sebuah keluarga yang mana satu ayah,ibu, dan anak jikalau semua rupa bentuk kita ni sama sahaja macam selipar jepun. Sedangkan selipar pun sekarang ada macam-macam saiz,warna dan jenama apatah lagi kita manusia ciptaan terbaik oleh Allah.

Apabila terdapat perbezaan,barulah kita dapat saling kenal mengenal antara satu sama lain. Dalam pada itu,masih ada juga titik persamaan antara setiap insan yang sepatutnya kita cari supaya boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.Contohnya dalam bersahabat apabila kita kenal sifat sahabat ini dengan mendalam maka lebih mudahlah untuk kita melakukan sebarang kerja bersama-sama.

Rupa-rupanya antara mereka yang lahir pada bulan yang sama juga berkemungkinan ada persamaan.Setelah melihat hasil kajian yang dibuat oleh pakar motivasi terkenal,Datuk Dr Fadzillah Kamsah tentang "rahsia sikap manusia mengikut bulan kelahiran", saya merasakan ada kebenarannya. Tapi haruslah diingat,ini sebuah kajian yang dibuat oleh manusia yang mesti tidak dapat lari daripada kesilapan. Terserahlah kepada kita untuk menilainya. Usahlah sampai terjebak dalam amalan horoskop yang memang nyata bertentangan dengan syara'.

Oleh kerana saya lahir dalam bulan Oktober maka saya muatkanlah di sini hasil kajian beliau;

* Suka berbual.

* Suka orang yang sayang padanya.
* Suka ambil jln tengah.
* Sangat menawan & sopan santun.
* Kecantikan luar & dalam.
* Tidak pandai berbohong & berpura-pura.
* Mudah rasa simpati, baik dan mementingkan kawan.
* Sentiasa berkawan.
* Hatinya mudah terusik tetapi merajuknya tak lama.
* Cepat marah.
* Macam pentingkan diri sendiri.
* Tidak menolong orang kecuali diminta.
* Suka melihat dari perspektifnya sendiri.
* Tidak suka terima pandangan orang lain.
* Emosi yang mudah terusik.
* Suka berangan & pandai bercakap.
* Emosi yang kelam kabut.
* Daya firasat yang sangat kuat (terutamanya perempuan).
* Suka melancong, bidang sastera & seni.
* Pengasih, penyayang & lemah lembut.
* Romantik dalam percintaan.
* Mudah terusik hati & cemburu.
* Ambil berat tentang orang lain.
* Suka kegiatan luar.
* orang yang adil.
* Boros & mudah dipengaruhi persekitaran.
* Mudah patah semangat

Haha,nak tergelak pun ada rasanya sebab saya akui memang sebahagian besar daripada yang disenaraikan di atas memang benar-benar wujud.

Kesimpulannya,setiap daripada kita ini ada perbezaan dan persamaan antara satu sama lain. Kita manfaatkan ia untuk meningkatkan lagi kualiti diri masing-masing. Wallahua'lam..

24 Disember 2009

Di Sebalik Wajah 1

Baru-baru ni berkesempatan untuk membaca sebuah buku berjudul “Turki Negara Dua Wajah; Pengkhianatan Ataturk Terhadap Dunia Islam” yang ditulis oleh Dr Abdullah Azzam terbitan semula oleh Alam Raya Enterprise.


Buku edisi kedua yang telah dikemaskini turut memuatkan artikel yang ditulis oleh seorang pakar penganalisis politik antarabangsa, Profesor Doktor Mohammad Redzuan Othman yang menulis tentang “Pensekularan dan Perjuangan Mengembalikan Kedaulatan Islam di Turki”.


Saya ingin mencoret sedikit apa yang dimuatkan dalam ruangan kata pengantar buku tersebut. Penerbitnya menyingkap sejarah berkenaan kehebatan Daulah Uthmaniah yang telah mencorakkan dunia sekian abad lamanya khususnya dalam menyemai semangat dan ruh Islam di serata dunia.Pemerintahan Islam yang telah berjaya menampilkan keagungan dan keindahan Islam yang bersifat rahmat untuk sekalian manusia.



Namun, bak kata pepatah “Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”, Daulah Uthmaniah ini runtuh juga akhirnya akibat sikap lupa kepada ketawaddukan, keistiqamahan, kesucian dan kemulian Islam ditinggalkan. Selain daripada kerja-kerja musuh yang sememangnya sakit hati dengan Islam namun kerja mereka dimudahkan lagi apabila turut ada “Gunting dalam lipatan” yang menjadi musuh dalm selimut untuk menjayakan agenda jahat pihak kafir.



Atas nama pembaharuan maka muncullah manusia yang bernama Kemal Ataturk.

Dia bersama konco-konconyalah yang berusaha gigih untuk meruntuhkan Kekhalifahan Uthmaniah dengan mewujudkan Republik Turki. Apabila berbicara soal jatuh-bangunnya Islam di Turki tidak adil jikalau nama-nama seperti Adenan Manderes,Suleiman Damirel,Prof Ir. Necmettin Erbakan yang merupakan antara pemimpin yang gigih mengembalikan sinar Islam di Turki.


Kini, Parti Keadilan dan Pembangunan(AKP) yang dipimpin pemimpin 2 serangkai iaitu Recep Tayyib Erdogan dan Dr Abdullah Gul telah berjaya menawan hati rakyat yang merindui akan Islam.Kedua mereka ini menjawat jawatan Perdana Menteri dan Presiden Turki.



Dengan kemenangan parti AK ini membuktikan mitos kuatnya dukungan sekularisme di Turki telah runtuh.Namun, tidak semudah itu.. Jikalau setiap kota ada pengawalnya begitulah jua ‘tembok’ sekularisme peninggalan Ataturk ini dikawal oleh kumpulan fundamentalis sekular dan tentera walaupun golongan ini sudah semakin mengecil dek kerana sistem itu semakin tua dan lapuk.



Rahsia kejayaan parti AK ini sebenarnya bertitik-tolak daripada usaha pemimpin terdahulu seperti Manderes dan Erbakan yang membangunkan masjid,surau, Pusat Tarbiyyah Imam dan khatib,serta sekolah agama dan maahad tahfiz Al-Quran.Kesannya, Islam kembali berkembang mekar di negara ini. Pelajar-pelajar yang merupakan produk sekolah integrasi yang dibina oleh gerakan Islam Turki telah memilih Islam berbeza dengan orang tua mereka yang sekular.



Kebijaksanaan Erdogan dan Parti AKnya dalam menangani soal sekularisme ini perlulah kita fahami demi melihat pemerintahan Islam yang kekal lama di samping melaksanakan tuntutan Islam yang universal itu secara berperingkat.



Turki yang merupakan salah satu pusat peradaban Islam dan dunia sepertimana Mesir,India,Iran dan Iraq khususnya soal keilmuan dan intelektual.Antara tokoh terdahulu kelahiran Turki ialah Said Badiudzaman Said Nursi manakala kini muncul pula ilmuan muda,Harun Yahya yang begitu hebat dalam kajian ilmiahnya yang berakarkan Al Quran dan As Sunnah sekaligus mematikan keegoan ilmuan Barat.



Bersambung......

17 Disember 2009

1431H vs 2010


"SUNYI-SEPI"
Begitulah gambaran yang dapat dilihat di ambang kita ummat Islam menyambut kedatangan tahun baru 1431Hijrah.Malaysia yang mengaku kononnya sebuah negara Islam namun saya tidak nampak usaha yang benar-benar menampakkan kita layak untuk bergelar sedemikian. Cuba bandingkan bagaimana hebatnya sambutan untuk menyambut awal tahun Masihi. Jutaan ringgit dibelanjakan pun tidak mengapa dengan mengadakan konsert artis ternama untuk menunggu detik 12 malam kemudian bersorak-surai pula melihat persembahan bunga api.


Begitulah senario yang berlaku di malam tahun baru pada setiap tahun kecuali pada tahun 2004 kerana tanda hormat kepada mangsa tragedi tsunami.Sungguh menyedihkan apabila perkara yang memang sudah jelas mungkar dan maksiat ini masih terus menjadi tradisi.Lebih malang lagi pihak pemerintah yang sepatutnya mendidik rakyat ke arah kebenaran bukan sahaja tidak menyekat aktiviti tidak berfaedah sedemikian malahan mereka 'tumpang sekaki' meraikan malam tersebut daripada sebesar-besar pangkat sehinggalah pegawai bawahan.


Tidaklah saya mengatakan semuanya itu perlu diHARAMkan kerana pasti akan ada suara mengatakan 'jumud' betul pemikiran sebegini di era globalisasi ini.Bukankah lebih baik program yang dianjurkan itu diubah konsepnya agar selaras dengan syariat.Daripada terpekik-terlolong dan terkinja-kinja tak tentu pasal ketika menyaksikan artis membuat persembahan lebih elok kiranya anak remaja ini dididik dengan program yang lebih bermanfaat seperti forum ilmu,debat atau apa jua persembahan yang lebih kena dengan tatasusila kita yang mengaku Ummat Nabi Muhammad S.A.W.


Lebih indah lagi jika para pembesar negara pula mengimamkan solat hajat berjemaah beramai-ramai rakyat jelata di Dataran Merdeka misalnya.Mohonlah kepada Allah agar negara ini dilimpahkan rahmatnya dan dijauhkan daripada malapetaka.Cuba bayangkan jikalau puluhan ribu rakyat bersama-sama pemimpin negeri bermunajat di stadium negeri masing-masing serentak di seluruh Malaysia manakala pihak media seperti RTM,TV3 dan Astro pula memancarkannya siaran langsung ke seluruh pelosok negara.


Bukankah kos mengadakan sambutan yang lebih Islamik ini jauh lebih murah tanpa perlu menghanguskan jutaan ringgit wang rakyat..? Persoalannya sekarang terletak pada mereka. MAHU atau TAK MAHU...Tetapi kalau dilihat suasana realiti di negara kita sekarang rasanya masih "jauh panggang dari api" untuk melihat impian ini menjadi kenyataan.


Namun,inilah hakikat yang perlu kita terima;

>Anak-anak kecil sibuk dilatih untuk menjadi penyanyi dan pelakon.

>Generasi muda yang bakal mewarisi negara pula siang-malam dihanyutkan dunia hiburan tanpa sempadan.
Menangis kerana gagal layak untuk ke pusingan seterusnya dalam pelbagai pertandingan realiti di TV sudah menjadi kebiasaan.

> Ibu-bapa bukan menjadi penunjuk jalan kebenaran tapi mereka pula menjadi penyokong setia anak masing-masing.

>Yang menjadi penonton pula sanggup berhabis ribuan ringgit menghantar sms undian kepada calon pilihan mereka.

Yang untungnya siapa..? Syarikat telekomunikasi dan penganjur juga.. Kita yang lain dapat apa.? Adakah susah-payah menaip sms dan mendail itu boleh menjadi 'saham bernilai' di hari Perhitungan di akhirat kelak..?

Ini belum lagi dikira soal gejala keruntuhan akhlak yang kian parah ditambah lagi dengan kes jenayah yang tidak pernah kunjung sepi seperti yang kita lihat dalam media massa. Persoalan murtad, zina, sumbangmahram, dadah, ragut, rompakan, arak, judi dan pelbagai 1001 lagi masalah yang melanda ummat Islam kita.
Siapa yang bertanggungjawab untuk menangani isu-isu penting sebegini.?

Takkanlah hendak tunggu bala tsunami seperti di Acheh pada 2004 barulah semua terkial-kial mencari 'ubat' penyelesaian masalah ini.

Percayalah tidak ada 'ubat' lain yang paling mujarab melainkan kita semua kembali kepada AL-QURAN dan AS-SUNNAH.Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud;

"Aku tinggalkan kamu dua perkara yang jikalau kamu berpegang teguh kepadanya nescaya tidak akan sesat selama-lamanya.Itulah kitab Allah dan sunnah Rasul."

Ayuh,wahai ummat Islam kita bangunlah daripada lamunan duniawi ini.Moga kedatangan tahun 1431Hijrah membawa sinar Islam yang akan menerangi bumi tercinta Malaysia ini.
Salam Maal Hijrah...


"ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN
~MENUJU KEMENANGAN~MENGHAPUS KEBATILAN~"


11 Disember 2009

Bercerita lagi..


Minggu ini bermulanya sem baru setelah bercuti hampir sebulan di rumah.Sudah menjadi kebiasaan,cerita tentang aktiviti ketika cuti dimuatkan dalam blog ini.


Minggu pertama cuti,


Di rumah kini telah bertambah seorang 'ahli' baru iaitu baby yang diberi nama Syarifah Alyaa Nabiha.Setiap hari telatah baby ini menjadi perhatian seisi keluarga dan menambahkan lagi seri dalam rumah ini.Pada sebelah siangnya,baby ini memenuhkan masa dengan tidur sahaja manakala berjaga daripada jam 11malam sehingga 2 pagi.Terpaksalah ibu saya dan kak ipar melayannya sehingga dia mengantuk.Begitulah resam kehidupan bayi yang baru ingin mengenal dunia.

Apabila saya melihat sendiri susah-payah insan yang bergelar ‘ibu’ dalam membesarkan anak sejak daripada dalam kandungan sehinggalah membesarkan pula anak itu. Si ibu sanggup bersengkang mata walaupun sudah kepenatan di siang hari menjalankan tugasnya sebagai surirumah namun demi kesejahteraan anaknya mereka sanggup berkorban apa jua.Begitulah besarnya jasa mereka yang mendidik anak sejak tubuh sekecil bayi sehinggalah si anak mula mencecah dewasa.


Sungguh murninya ajaran Islam,martabat wanita diangkat dengan mulianya berbanding zaman jahiliyyah dahulu.Kedatangan Islam telah meletakkan wanita di tempat yang begitu bernilai dan sebab itulah pensyariatan menutup aurat diturunkan agar kehormatan wanita terjaga.

Mereka yang bergelar ibu mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada Rasulullah S.A.W sehingga nama ibu disebut sebanyak 3 kali orang yang berhak untuk disayangi kemudian barulah disebut si bapa. Bahkan dalam kitab panduan agung ummat,Al –Quran banyak juga ayat yang menyebut tentang kewajipan anak mentaati ibu-bapa. Khususnya bagi anak lelaki,kewajipan untuk menjaga dan mentaati ibu-bapa tidak pernah kurang sedikitpun hatta sudah berkahwin. Anak lelaki perlu mendahulukan ibu terlebih dahulu berbanding isterinya sendiri.


Minggu kedua cuti,

Keluarga saya mengadakan kenduri kesyukuran dan bercukur pada tengah hari Ahad 15 Disember.Pengalaman pertama saya apabila ditugaskan untuk menjadi chef ‘tak bertauliah’.Seawal lepas subuh saya sudah memulakan operasi sehinggalah selesai jam 11pagi.Tugasnya taklah payah sangat sekadar menggoreng ayam berempah.


Kaedah penggorengannya yang agak berbeza iaitu tidak digoreng di dalam kuali tetapi digoreng di dalam periuk.Ayam yang telah diperap dengan rempah tersebut akan disusun di dalam ‘sangkar besi khas’ kemudian barulah dimasuk ke dalam periuk berisi minyak panas.Walaupun chef ini tak bertauliah,ayam goreng berempah merupakan antara hidangan yang paling diminati ketika kenduri tersebut. (eh, “angkat bakul masuk sendiri”lah pulak..)


Selepas kenduri selesai,petang itu juga abang dan isterinya pulang bersama baby Alyaa ke kampung sebelah mertuanya di Kuala Terengganu untuk menghabiskan cuti di sana pula.Maka,kesunyian pun melanda rumah ini apabila suara tangis bayi yang selalu kedengaran telah tiada.Oleh kerana dalam laptop ini ada banyak gambar baby Alyaa maka dapatlah dijadikan ‘ubat rindu’ oleh ibu saya.



Menjelang hari Jumaat,persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha mula dibuat.Pada hari Khamis,bapa saudara,ibu dan nenek saya sendiri membuat lemang.Sempatlah juga saya menyibukkan diri untuk membantu apa yang patut.

Bermula dari menebang buluh kemudian memasukkan beras ke dalam batang buluh yang dah dilapis dengan daun pisang dan memasukkan pula santan apabila hendak mula membakar lemang tersebut.


Memang kreatif orang tua zaman dahulu yang belum serba canggih,mereka menggunakan akal untuk memanfaatkan pohon buluh dengan membuat lemang. Tapi,zaman sekarang orang dah kurang berminat untuk membuat kerja yang leceh begini. Jadi,mereka pun singgah sahaja di tepi jalan untuk membeli lemang yang dah siap dibakar.5 minit sahaja dah cukup untuk membeli berbanding proses membuatnya sendiri yang memakan masa berjam-jam lamanya.


Tahun 1430H,Aidiladha jatuh pada hari Jumaat.Untuk mengelakkan kesuntukan masa untuk bersolat Jumaat pula,Masjid Kampung Temin mengadakan majlis Qurban pada hari tasyrik yang ke2 iaitu Sabtu.


Selepas Solat Sunat Aidiladha, kami saudara-mara pun membuat rombongan ziarah raya dari rumah ke rumah seperti Aidilfitri.Cuma,bezanya bilangan yang terlibat tidaklah terlalu ramai dan rumah yang diziarahi pun lebih kurang 10buah rumah sahaja.Inilah antara aktiviti yang saya sukai kerana dapat merapatkan lagi ikatan silaturahim di samping dijadikan medan untuk bersua-muka antara pelbagai golongan usia.



Minggu ketiga cuti,

Pada awal minggu ini saya dan keluarga menghadirkan diri ke jemputan majlis perkahwinan di Kampung Budu,Kuala Lipis.Semestinya kalau ke Lipis melalui jalan Benta saya masih ingat kenangan di waktu kecil yang muntah-muntah kerana kepeningan melalui jalan bagai “ular kena palu”.Harap-harap kerajaan mempercepatkanlah projek jalan baru yang lurus untuk memudahkan lagi kehidupan rakyat di negara yang sudah merdeka selama 52 tahun.


Bermula pada hari Isnin ibu dan ayah membuka semula gerai yang dah lebih sebulan ditutup gara-gara menyambut cucu pertama.Di kesempatan yang ada inilah peluang digunakan saya untuk membantu ibu berniaga; tugas yang sudah kami 4 beradik kenal sejak kecil lagi. Semestinya kami perlu berusaha sehingga ke puncak jaya demi membalas kembali jasa besar dan pahit-getir yang dialami oleh ibu dan ayah dalam mencari rezeki untuk kami semua.



Pada petang Jumaat pula saya menjenguk ke TAHAP untuk bertemu adik-adik junior yang sedang menghadapi SPM.Malam itu berkesempatan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hairul Amizam yang menggunakan kitab arab.Pelajar Form 4 juga ada di sekolah kerana mereka ada kelas tambahan untuk subjek-subjek kritikal.Baguslah usaha pihak sekolah untuk memastikan persediaan para pelajar ini untuk menghadapi SPM 2010 dimulakan dengan lebih awal.


Sehari sebelum pulang ke kampus,cuaca di daerah Jerantut yang hujannya turun begitu lebat dengan tempoh yang agak lama menyebabkan banjir ‘kecil’ melanda kampung saya.Rumah yang terlibat ialah rumah saudara saya yang kedudukannya agak rendah dan berdekatan sungai.


Di rumah inilah saya dibesarkan dahulu ketika kami sekeluarga tinggal bersama arwah datuk dan nenek sehinggalah rumah baru kami siap dan berpindah pada tahun 2000.











Tamatlah sudah cerita cuti sem baru ni...

20 November 2009

Usahlah tidur

Alhamdulillah,sudah seminggu bercuti akhir sem 1bermula 12 November lepas.Kebiasaannya ketika solat Jumaat di Masjid UIA,khutbah yang disampaikan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.(tak berapa nak fahamlah isi khutbah secara menyeluruh) Jadi,apabila peluang berada di kampung dapatlah mendengar khutbah dalam bahasa ibunda.Tajuk yang disampaikan oleh khatib pada Jumaat minggu lepas ialah “Pengisian cuti sekolah”.


Pada mulanya saya tersenyum sendiri apabila mendengar tajuk ini kerana merasakan seperti dalam 'kursus pelajar sekolah'.Saya berpandangan sepatutnya banyak lagi isu utama yang patut diutarakan seperti contoh masalah akidah ummah yang kian parah,keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja,sistem perundangan Islam dalam menangani jenayah dan pelbagai isu pokok yang berkait-rapat dengan Islam sebagai ‘the way of life’.


Sungguhpun tajuknya sedemikian,input utama dalam khutbah tersebut tidaklah mengecewakan dan sungguh bermanfaat khususnya buat sesiapa yang sahaja yang bercuti(termasuklah diri ni). Antaranya khatib menyentuh tentang peri pentingnya peranan ibu-bapa dalam memastikan masa cuti anak-anak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.Dalam dunia serba moden ini,cabaran yang menggoda setiap jiwa insan datang daripada segenap sudut bermula dari dalam rumah iaitu TV & internet sehinggalah ke luar rumah. Betapa beratnya amanah yang perlu dilaksanakan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak agar mereka senantiasa terpelihara daripada unsur maksiat dan negatif seperti dadah,arak,zina,judi,melepak dan banyak lagilah.


Mimbar turut mengingatkan para ibu-bapa agar mengambil peluang ketika cuti sekolah ini agar melatih anak-anak membantu mereka dalam kerja seharian.Seperti contoh jikalau si ayah seorang peladang atau petani maka dia perlu mengajak anaknya membantu menyiapkan kerja di ladang atau kebun.Ibu-bapa turut diminta menghantar anak-anak ke pusat pengajian agama agar kesempatan cuti yang ada dapat mengisi jiwa mereka dengan ilmu fardu ain serta pengisian jiwa setelah penat menimba ilmu akademik di sekolah.Anak-anak juga perlu ditarbiyyah dengan mendekatkan mereka dengan institusi masjid.


Saya tertarik apabila khatib menyeru para jemaah yang hadir merenung kata-kata ulama besar,Profesor Doktor Yusof Al-Qardhawi;


“Jikalau ingin melihat wajah negara pada masa hadapan maka lihatlah akhlak generasi muda sekarang.Jika mereka berakhlak mulia,nescaya negara akan aman damai.Namun,jika yang sebaliknya berlaku maka bersedialah menghadapi kecelakaan yang kelak bakal menimpa.”


Sudah jelas menunjukkan betapa pentingnya generasi muda dalam menentukan jatuh-bangunnya sesebuah negara.Teringat pula ketika mengulangkaji subjek UNGS 2040; Islam, Knowledge and Civilization sempena final exam sem 1 baru-baru ini, antara tajuk syllabus yang saya minat ialah “Muslim’s Contribution: Science, Learning & Social Institutions”. Rupa-rupanya terlalu besar sumbangan tokoh Muslim terdahulu dalam pelbagai bidang terutama sains dan teknologi.Mereka inilah contoh generasi muda yang benar-benar hebat dan sewajarnya dikagumi.


Cuma yang menjadi persoalan kini, agak-agaknya berapa ramai di kalangan anak muda muslim hari ini yang mempunyai keazaman di dalam hati untuk menjadikan tokoh ini sebagai role-model masing-masing.? Atau kita sendiri lebih kenal dan hafal nama-nama tokoh barat seperti Albert Einstein,Charles Darwin,Galileo Galilei,dan Isaac Newton.Atau kita lebih 'mencintai' artis yang rasanya kalau hendak ditulis di sini pun tidak perlu lagi kerana semua orang sudah kenal.


Sedarkah kita sudah lama terpedaya dengan pandangan yang mengatakan saintis Barat lah yang hebat dengan penciptaan pelbagai perkara sedangkan hakikatnya mereka hanya mengolah semula ilmu yang pada asalnya dimiliki saintis Islam.


Jikalau disebut nama Ibnu Firnas,Al Biruni, Ibnu Haitham dan Ibnu Sina apakah jasa besar yang telah mereka lakukan kepada dunia,? Entahlah kita mampu menjawabnya atau tidak sedangkan mereka ini hanyalah sebahagian kecil daripada 'wira sebenar yang tak didendang'.


Di sini saya senaraikan beberapa nama tokoh besar Islam pada era “The Golden Age of Islam”:

ü Jabir Ibn Hayyan- ahli kimia yang mempunyai kepakaran dalam proses penyulingan yang sempurna


ü Ar Razi- mencipta makmal moden lengkap dengan 20 peralatan eksperimen


ü Al Kindi- pengasas kunci


ü Al Jazari- jurutera mekanikal yang mencipta sistem pengairan


ü Al Khawarizmi- pengasas ilmu matematik Algebra


ü Ibnu Haitham- pencipta kamera


ü Ibnu Nafis- manusia pertama yang menjelaskan system peredaran darah dalam tubuh badan manusia


ü Ibnu Khaldun- ‘Bapa ekonomi’ yang memperkenalkan pelbagai teori berkaitan ekonomi dan sosiologi yang terkandung dalam kitabnya yang terkenal “Al-Muqaddimah”


ü Ibnu Battuta-pelayar yang mengelilingi dunia sejauh lebih 75 000 batu selama 29 tahun melalui 40 buah Negara


ü Al Zahrawi- pakar bedah yang telah memperkenalkan lebih daripada 200 peralatan pembedahan


ü Al Idrisi- manusia pertama yang membuat peta dunia


Mereka ini bergelar ahli sains,ahli matematik,ahli ekonomi,pakar bedah, ahli falsafah,jurutera dan bermacam lagi.Sungguhpun mereka hebat dalam pelbagai bidang tersebut ini bukanlah bermakna mereka tidak arif dalam hal ehwal Islam.


Pada zaman khilafah Islamiyyah dahulu sistem pendidikan di madrasah dan universiti mengikut acuan Islam yang mana tidak memisahkan ilmu duniawi dan ukhrawi.Hal ini bermakna mereka dahulu belajar ilmu sains tanpa mengkesampingkan ilmu Islam bahkan sains juga merupakan salah satu juzuk ilmu Islam yang patut dipelajari.Inilah rahsia sebenar Muslim terdahulu sehingga mereka telah berjaya membawa kegemilangan Islam di seantero dunia.


Resipi kejayaan yang berlandaskan Al quran & Sunnah sahajalah yang mampu menyuluh jalan ke arah kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Semenjak daripada zaman Rasulullah S.A.W disambung pula perjuangan baginda oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin(Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab, Saidina Uthman Ibni Affan dan Saidina Ali) diteruskan lagi mata rantai perjuangan Islam oleh Kerajaan Ummayyah,Kerajaan Abbasiyyah dan yang terakhir dalam lipatan sejarah Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah sehinggalah pemerintahan khilafah Islamiyyah ditumbangkan oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah bersama konconya pada tahun 1924.


Kesimpulannya,terlalu banyak lagi 'mutiara' ilmu yang dimiliki umat Islam yang kita belum terokai.Usahlah kita berpandangan semua yang datang daripada Barat adalah baik untuk kita ikut.Saya tidak pula bermaksud semua yang datang daripada barat kita patut tolak tetapi saya berpandangan umat Islam sepatutnya sedar akan potensi yang sediaada dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua untuk mendirikan semula 'tembok kegemilangan' Islam seperti suatu ketika dahulu.Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada 'resipi' lain untuk kita yang bergelar Muslim berjaya melainkan KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN & AS-SUNNAH.



Nota; Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan 'warisan ilmu Islam', sudi-sudilah melawat laman web http://muslimheritage.com/ . Rasanya ia jauh lebih bermanfaat berbanding Facebook yang digilai oleh ramai orang sekarang.

30 Oktober 2009

AHLI KELAB OKTOBER



Rasanya tidak lengkap kalau saya tidak mencoretkan sedikit catatan manis di blog ini tentang perasaan gembira yang tak terkata dirasai seluruh ahli keluarga baru-baru ini.Mestilah tak lain tak bukan kisah tentang kelahiran anak sulung pasangan abang Faiz dan kak Syaheerah.Bayi bertuah seberat 2.7kg ini dilahirkan pada tepat jam 2.37 petang 27 Oktober 2009 di Hospital UKM.Saya mendapat berita ini melalui sms yang dikirim oleh ibu ketika saya dalam kelas electric circuit.

Pada mulanya rasa terkejut juga sebab saya difahamkan kelahiran dijangka pada 10 November tapi tahu2 dah beranak.Pasti ada hikmahnya ,yang penting dengan kelahiran baby ini maka bertambahlah ‘ahli kelab oktober’. Jikalau sebelum ini saya dan akak lahir pada bulan yang sama iaitu 21 Oktober 1987 dan 23 Oktober 1989,kini anak saudara ini pun mengikut jejak langkah kami.

ALHAMDULILLAH, itulah kalimah yang sebaiknya untuk dilafazkan kepadaNYA sebagai tanda syukur kerana ALLAH telah mempermudahkan segala urusan sehinggalah si ibu selamat melahirkannya.Mungkin kerana baby ini merupakan anak saudara pertama saya jadi perasaan gembira bila bergelar ‘bapa saudara’ itu memanglah amat dirasai sehingga sempat saya hantar sms kepada semua teman saya pada petang itu juga .Yang bagusnya semua membalas kembali dengan ucapan tahniah.Sebenarnya,yang lebih layak untuk menerima ucapan tersebut ialah abang Faiz tapi tak mengapalah saya menjadi wakil kepada dia. Terima kasih banyak-banyak kepada semua sahabat yang memberikan ucapan tersebut.


Amboi,nyenyaknya dia tidur. Gambar ketika baru berusia 1 hari .

Alahai kerana si pak saudara ni dah tak sabar nak tengok anak saudara barunya maka selepas solat asar pada petang Rabu berkejarlah saya menaiki bas rapid T231 ke Terminal Putra untuk menuju ke rumah abang di Bandar Tasik Selatan.Lecture pada hari Khamis pun dah banyak yang habis dan yang tinggal hanyalah kelas terakhir pada jam 2 petang jadi malam itu saya bermalam di rumah abang.Kesempatan ini diambil kerana selepas ini,baby ini akan dibawa pulang ke kampong halaman datuk dan neneknya di Jerantut,Pahang dan diikuti ke Kuala Terengganu,Terengganu.


Jelas tergambar pada riak muka si ibu dan ayah anak ini perasaan gembira kerana dikurniakan cahaya mata yang akan menjadi permata yang tak ternilai dalam keluarga.Begitulah fitrah manusia; “kasihnya bapa sungguh tak terhingga nilaiannya ,kasihnya si ibu sehingga ke syurga”. Moga anak yang baru lahir ini kelak (termasuklah kita semua yang dah dewasa ini)akan mengenang susah-payah,pahit-derita yang ditempuhi oleh ibu-bapa dalam mendidik anak-anak semenjak dalam kandungan kemudian dilahirkan kemudian dibesarkan sehinggalah dewasa.


Cuba kita lihat dalam kehidupan masyarakat hari ini,berapa ramai mereka yang bergelar anak sanggup untuk menjaga dengan sebaik mungkin apabila 2 insan yang bergelar ‘ayah dan ibu’ ini sudah tua.Pernah juga saya dengar orang berkata “ibu-bapa boleh membesarkan anak-anak walaupun dengan bilangan yang ramai contohnya sehingga lebih 10 orang namun belum tentu anak yang seramai ini mampu menjaga hanya 2 orang insan berjasa ini apabila mereka sudah tua”.


Sebagai muhasabah buat diri kita semua yang bergelar anak cuba kita tanya pada diri:


Adakah aku telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai seorang anak kepada ibu-ayah setelah aku mencecah dewasa kini..?


Ø >Sudah berapa banyak kali aku melawan atau mempersoalkan tindakan ibu-ayah sehingga mereka berkecil hati dengan sikap aku tanpa disedari..?


Ø >Adakah aku telah memanfaatkan peluang yang masih ada di saat ibu-ayah masih hidup untuk aku balas semua jasa besar mereka kepada aku..?



sAgama Islam sendiri amat menitikberatkan persoalan ketaatan anak kepada ibu-bapa. Manakan tidak,dalam kitab suci Al-Quran telah terkandung ayat yang memerintahkan anak taat kepada ibu-bapa.Allah berfirman:



14. Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya Telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah- tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun[1180]. bersyukurlah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakmu, Hanya kepada-Kulah kembalimu. (Surah Luqman:14)


Bahkan Rasulullah sebagai suri tauladan ummah Nabi juga sering mengingatkan tentang kewajipan si anak mentaati ibu-ayah selagi mana mereka tidak menyuruh kepada perkara yang bertentangan dengan syara’.


Sebagai penutup,marilah kita berusaha dan berdoa agar kita semua dapat menunaikan amanah sebagai seorang anak untuk membahagiakan ibu dan ayah kita.Moga-moga dapat menjadi anak yang soleh dan solehah.


NOTA: SEKALUNG TAHNIAH BUAT ABG FAIZ & KAK SYA KERANA SUDAH BERGELAR AYAH & IBU.MOGA ANAK INI AKAN MENJADI SRIKANDI ISLAM DI MASA HADAPAN KELAK.AMIIN