02 Jun 2011
Change: Now or Never..!
Muqaddimah
Kata Sukarno;
“Berikanku 10 pemuda, nescaya akanku goncangkan dunia ini.”
Itulah simboliknya kekuatan yang ada pada setiap jiwa pemuda. Sememangnya sudah menjadi sinonim bagi anak muda bersifat penuh bersemangat lagi bertenaga. Sejarah telah pun membuktikan golongan pemudalah tonggak utama yang memacu kegemilangan Islam sepertimana pada zaman Rasulullah S.A.W dulu.
Mereka berjaya membuktikan bahawa dengan acuan Islam pemuda mampu bangkit menzahirkan kekuatan Islam. Itulah suri tauladan yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi radiallahuanhum seperti Saidina Ali Bin Abi Talib, Bilal Bin Rabah, Ammar Bin Yasir, Zubair Al-Awwam, dan ramai lagi.
Bahkan, di dalam Al-Quran sendiri Allah mengkhabarkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W akan kisah pemuda seperti terkandung dalam Surah al-Kahfi.
Firman Allah yang bermaksud;
13. Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita Ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah pula untuk mereka petunjuk.
14. Dan kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri[875], lalu mereka pun berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, Sesungguhnya kami kalau demikian Telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran".
Justeru, jelaslah bahawa golongan pemuda ini sebenarnya memang memainkan peranan yang begitu penting dalam sesebuah masyarakat mahupun negara. Mereka ini digelar ‘agen perubah’ (rijalul taghyir) yang menggalas amanah besar untuk memimpin ummah keluar daripada kegelapan kebathilan kepada sinar kebenaran.
Kebangkitan Timur Tengah
Lihatlah apa yang berlaku nun di negara-negara Arab. Bukankah tercetusnya revolusi rakyat di Tunisia itu rentetan daripada peristiwa pemuda yang begitu kecewa dengan nasib menimpa negaranya yang penuh rasuah, penindasan, kemiskinan, penggangguran sehingga dia nekad protes dengan membakar diri.
Api kebangkitan rakyat yang berjaya menumbangkan rejim Zainal Abidin Ali itu rupanya tidak padam bahkan terus merebak pula ke negara yang ditadbir Firaun kecil si Husni Mubarak. Sekali lagi pemuda menjadi jaguh dalam menggerakkan massa jutaan rakyat Mesir untuk bangkit menentang kebobrokan si Mubarak. Generasi baru ini (atau nama lainnya Gen Y) memanfaatkan sepenuhnya dunia internet seperti Facebook,Twitter,Blog untuk menyemarakkan lagi semangat rakyat secara keseluruhan agar turun bersama mereka sehingga mereka ‘berkampung’ berminggu di Medan Tahrir,Kaherah dan pada masa yang sama demonstrasi di Iskandariah,Mansourah dan ibu kota lain berhadapan dengan aparat pemerintah.
Terbaru, dalam pilihanraya di Singapura pemuda juga memainkan peranan penting sehingga berjaya mengurangkan undi popular parti pemerintah PAP daripada 67% kepada 60%. Rakyat yang dah mula muak dengan pemerintah zaman berzaman di Singapura itu sudah mula berani mencuba untuk menukar selera kepada calon muda parti pembangkang yang serba –boleh.
PRU 13: Malaysia di persimpangan
Melihatkan suasana terkini di tanah air tercinta ini, kita dapat menjangka riak-riak untuk semboyan pilihanraya umum akan dibunyikan dalam masa terdekat. PM Datuk Seri Najib Razak pastinya sudah tidak sabar ingin mendapatkan ‘fresh mandate’ daripada rakyat jelata sebagai tanda penerimaan kepada agenda transformasinya. Beliau ingin membuktikan bahawa UMNO kini sudah berubah dan bersedia untuk terus mempertahankan Putrajaya daripada ditawan Pakatan Rakyat seperti dalam ucapannya pada Oktober 2010 di PWTC;
"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"
Sungguhpun, itu dilafazkan oleh beliau namun, ia tak akan berjaya membendung kemaraan rakyat yang ingin melakukan perubahan pada PRU 13 ini. Sudah cukup tempoh lebih 50 tahun BN memerintah Malaysia ini.
Adakah nasib rakyat kebawahan terus terbela atau sibuk mengkayakan saudara serta kroni sekelilingnya?
Rakyat terus dihimpit kesusahan hidup dengan kenaikan yang tiada penghujungnya harga petrol,gula, barang keperluan dan terbaru tarif elektrik.Subsidi rakyat terus ‘dirasionalisasikan’ tetapi pemerintah masih sibuk membuat projek mega, pembaziran di sana-sini, dan bantuan kepada kroninya.
Apabila ditanya soal kenaikan gaji penjawat awam yang sudah 2 tahun tidak dinaikkan.?
Jawapannya: kedudukan kewangan kerajaan belum stabil untuk melaksanakan tuntutan itu. (Tetapi yang peliknya pada setiap kali pilihanraya kecil dan yang berlaku dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ada pula duit dan projek yang mencurah sehingga bernilai jutaan ringgit.)
Hutang negara terus meningkat sehingga melebihi 50% daripada pendapatan negara KDNK yang berjumlah RM 700 bilion. Adakah Malaysia akan mengikut jejak-langkah negara seperti Greece, Itali, Portugal, dan Ireland yang mana sudah hampir bangkrap. Impian untuk mencapai Negara Maju pada 2020 masih jauh untuk dicapai. Bajet negara terus defisit semenjak 1998, hutang isi rumah sudah mencecah RM 577 bilion manakala sumber pendapatan baru negara masih belum ada untuk menghadapi saat getir pada masa depan.
Apabila kantung negara sudah tenat maka ‘dipecahkanlah’ tabung rakyat untuk menampung kembali kekurangan kewangan kerajaan. Timbullah idea rasionalisasi subsidi dan Good & Sevice Tax (GST) yang akan dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia.Kadar pertumbuhan ekonomi negara masih lembap manakala kadar pelaburan asing Foreign Direct Investment (FDI) Malaysia pula terus merudum dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Gerun rasanya tatkala tiap kali membaca akhbar dan mendengar berita pasti isu buang bayi, pembunuhan kejam, penzinaan, rasuah, perjudian, keruntuhan institusi keluarga dan banyak lagi masalah sosial yang kian membarah. Budaya hiburan melampau, pergaulan bebas, agama dipisahkan daripada kehidupan menjadi pendorong utama berlakunya masalah sedemikian. Sungguhpun kita dikhabarkan kadar jenayah sudah menurun tetapi hakikatnya kehidupan rakyat terus terancam.
Kejadian yang semakin berleluasa seperti rompakan, rogol, ragut, simbah asid bahkan kematian di premis kerajaan seperti SPRM sungguh menunjukkan nikmat keamanan dan keberkatan sudah semakin hilang dari tanah air ini. Persoalannya; apakah kerajaan benar-benar serius memikirkan solusi kepada masalah kebejatan sosial ini..? Atau lebih sibuk memikirkan nasib PRU 13, samada mampu mengekalkan tampuk kuasa untuk meneruskan kesinambungan hidup yang serba mewah itu.
Kita beralih pula pada aspek politik.
JIJIK lagi MEMUALKAN itulah selayaknya kata-kata yang menggambarkan situasi terkini politik tanah air. Demi menamatkan riwayat tokoh yang mampu menggugat kuasa mereka maka drama demi drama, cereka demi cereka terus direka tanpa memikirkan impaknya bukan sahaja kepada musuh mereka itu tetapi yang lebih merbahaya ialah runtuhnya nilai tamadun insan apatah lagi adat Melayu dan hukum Islam.
Tidak pernah terbayang dalam pemikiran saya bahawa TV boleh menayangkan video lucah secara percuma pada waktu primetime Buletin Utama nya kononnya demi menyedarkan rakyat Malaysia daripada terus tertipu dengan helah tokoh itu. Surat khabar juga sanggup ‘melacurkan’ diri dengan memaparkan aksi si pelakon boroi itu pada frontpage dengan harapan rakyat Malaysia akan mempercayainya. Tak cukup dengan itu, pentas masjid dan Al-Quran juga dijadikan senjata untuk bersumpah memburukkan mangsa (boleh pula sumpah pakai wakil). Soal hukum Al-Quran yang terkandung dalam kitab yang dipegangnya itu tak pula dilaksana.
Bukankah di dalamnya ada hukum Qazaf, memfitnah dan membuka aib orang..?
Gen Y: Apa peranan kita..?
Adakah kita hanya sanggup sekadar menjadi ‘penonton di luar padang’ melihat segala yang berlaku tanpa ikut serta berperanan untuk melakukan perubahan. Masa kian sempit,tetapi peluang masih ada untuk berbuat sesuatu. Kita memang tak punya kuasa seperti mereka yang bertakhta itu.
Namun, agent of change ini punyai semangat yang kental, seiring penguasaan ilmu dan kekuatan iman di dada untuk memimpin gelora perubahan ini. Memang diakui belum sampai tahap untuk kita berjuang sepertimana pemuda Mesir yang berjaya menghancurkan si Firaun kecil itu. Kita bermulalah dengan membuat ‘revolusi’ dalam diri.
Berubahlah ke arah yang lebih baik dalam cara berfikir dan bertindak agar ianya tidak sekadar emosi tetapi di atas landasan yang benar serta di bawah naungan wahyu.
Giatkan lagi usaha kita untuk menyedarkan rakan-rakan,sanak-saudara kita yang berada di mana sahaja samada yang di ceruk kampung sehingga ibu kota.
Manfaatkan sepenuhnya medium alam maya seperti Facebook,Twitter dan Blog itu untuk membangkitkan kesedaran melakukan perubahan. Anak muda tidak pernah kenal erti takut dan gentar dalam kamus hidup mereka.
Ayuh, bersama lakukan perubahan.
Cukuplah peluang yang telah diberikan kepada mereka selama ini.
CHANGE: NOW or NEVER..!
09 Mei 2011
Dua Jiwa-Satu Hati
Berkesempatan juga akhirnya untuk menamatkan bacaan buku “Ukhuwwah Islamiyyah” tulisan Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan ketika cuti akhir semester baru-baru ini.
Jom kita bedah sikit isinya;
1. Ukhuwwah fillah (persaudaraan kerana Allah) merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa.
“Tidak ada hubungan kasih sayang tanpa taqwa, tidak ada taqwa tanpa hubungan kasih sayang dalam persahabatan.”
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 bermaksud;
10. Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
Sabda Nabi Muhmmad S.A.W;
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri sendiri.”
2. Hakikat ukhwwah fillah merupakan anugerah Rabbaniyyah yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati-hati yang beriman lagi ikhlas agar mereka saling berkasih-sayang, tolong-menolong, bertanggungjawab dan nasihat-menasihati dalam menjauhi kemungkaran.
3. Antara kelebihan ukhuwwah fillah ialah wajah mereka seperti nur, diampunkan dosa, berada di bawah lindungan arasy Allah pada hari Qiamat, dinaungi kasih Allah, serta merasai kemanisan iman.
4. Terdapat beberapa prinsip dan syarat untuk dikatakan ikatan yang terjalin itu ukhuwwah fillah. Antaranya ialah ukhuwwah mestilah;
• ikhlas kerana Allah (bukan atas kepentingan lain)
• mestilah disertakan dengan iman & taqwa,
• mestilah berlandaskan manhaj Islam
• mesti ditegakkan atas nasihat kerana Allah
• hendaklah saling bertolongan pada masa lapang & sempit
Perbandingan orang mukmin pada kemesraan mereka, pada saling kasih-mengasihi, pada saling tolong-menolong, sama seperti tubuh-badan; apabila salah satu anggotanya sakit mala seluruh badan turut sama menderita dan tidak lena.
“Ukhuwwah yang benar-benar tulen kerana Allah akan kekal laksana alam nyata, kukuh bak gunung, memancar bak sang suria, mendapat pembaharuan silih berganti bak siang dan malam.”
5. Penulis juga turut memberi panduan dan kaedah untuk mendalami ruh ukhuwwah fillah iaitu;
Apabila seseorang mengasihi saudaranya maka hendaklah dia memberitahu saudaranya itu bahawa dia mengasihinya.
Apabila hendak berpisah maka mintalah pada saudaranya agar berdoa untuknya pada masa berjauhan.
Hendaklah saling ziarah-menziarahi daripada masa ke semasa.
Hendaklah mengucap tahniah kepada saudaranya pada waktu yang munasabah.
Hendaklah memberi hadiah apabila keadaannya sesuai.
Hendaklah memberi keutamaan dalam menunaikan hajatnya.
Hendaklah memberi hak ukhuwwah yang lengkap kepadanya.
6. Terdapat dua jenis hak ukhuwwah iaitu hak am dan hak khas. Antara hak am merangkumi;
Memberi dan menjawab salam
Melawat ketika sakit
Menziarahi jenazah
Menerima jemputan
Menolong ketika kesusahan
Mengambil berat akan nasihat yang diberikan
Menjauhkan diri daripada sifat saling berdengki, benci, zalimi dan hina, mencari rahsia serta mendedahkan aibnya.
7. Hak-hak khas ini hanyalah untuk saudaranya yang terpilih dalam kalangan yang beriman yang mampu menjadi pembantu dalam hidupnya pada masa kesempitan dan kecemasan, menjadi tempat bersandar tatkala diuji dan tercabar, menjadi tempat menyimpan rahsia dan tempat rujukan rundingan, menjadi cermin bandingan nasihat, menjadi penenang menghilangkan kepahitan dan sama-sama menikmati kesukaan.
Antara hak khas ukhuwwah fillah ialah;
Semua hak am
Dibolehkan makan di rumah saudaranya tanpa izinnya.
Yang diharamkan pemulauan lebih daripada 3 hari atas sebab peribadi.
Sikap dan tingkahlaku mestilah bersifat ukhuwwah dalam setiap perkara dan keadaan.
Merahsiakan aib dan tidak mengumpat saudaranya.
Syair arab yang bermaksud;
“Saudaramu yang sebenar itu ialah yang selalu bersamamu,
yang sanggup membahayakan dirinya untuk kepentinganmu,
yang apabila terpisah denganmu oleh kebekuan zaman,
dia sanggup memecahkan kebekuan untuk menemuimu.”
8. Pada bab kedua akhir buku ini, penulis memberikan beberapa contoh daripada sirah berkenaan ukhuwwah khususnya persoalan tanggungjawab, mengutamakan saudara berbanding diri sendiri, bermaafan, dan kasih-sayang.
9. Dalam bab khatimah, penulis menceritakan akan buah dan hasil ukhuwwah fillah dalam membentuk keagungan untuk ukiran sejarah. Antaranya ialah membuktikan wahdatul Islamiyyah yang padu atas dasar akidah rabbaniyyah, mereka yang berukhuwwah ini akan menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk bumi, lahirnya peradaban dan kemajuan Islam serta teguhnya persamaan dalam masyarakat Muslim.
10. Penulis juga menukilkan harapannya kepada sekalian pemuda bahawa;
“Kamu semua adalah harapan kepada kebangkitan Islam melalui pejuang yang mendokong kebenaran, pembawa obor hidayah yang akan menegakkan kembali Khalifah Rasyidah di muka bumi ini. Lihatlah kembali sirah perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W yang mempersaudarakan kembali suku Aus & Khazraj, menautkan ikatan golongan Muhajirin dan Ansar atas prinsip ukhuwwah fillah. Itulah role model dan contoh tauladan yang diikuti oleh para sahabat Nabi, tabiin, dan mereka yang pernah mencipta kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu."
Apabila kesemua hak ini dilaksanakan oleh para pejuang Allah maka tunggulah saat pertolongan dan kemenangan daripada Allah.
Inilah serba ringkas perkongsian berkenaan “Ukhuwwah Islamiyyah” . Suatu perkataan yang mudah untuk kita lafazkan tapi agak sukar untuk kita praktikkan.
Adakah ikatan yang dibina antara 2 jiwa insan itu telah benar menjadi 1 hati yang tekad hanya kerana Allah..?
Terkenang pula memori indah ukhwah ketika di SMKA TAHAP dulu..
Buka album zaman 'muda' dulu;
SMKA TAHAP-
"Sumber Manusia Kekasih Allah
Tanpa Agama Hidup Akan Punah"
Barisan Kepimpinan Pelajar 2005
Putera 5 Ibnu Sina
Jamuan Malam Penghargaan KP 2005
Barisan Pelakon Muda "Namunku Punya Hati"
Musolla An-Nur-Pusat Utama Tarbiyyah TAHAP
Kini,usia TAHAP telah pun melebihi 25 tahun
16 April 2011
Pesan buat diri..
Firman Allah yg bermaksud;
2. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
3. Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.
(Surah al-Ankabut:2-3)
Kehidupan manusia ini ibarat pelayaran sebuah bahtera.
Perjalanan yang jauh diuji pula dengan badai dan taufan yang melanda.
Justeru, insan memerlukan keimanan dan kesabaran yang tinggi untuk meneruskan pelayaran hidup agar sampai dengan selamat ke destinasi yang diipikan, syurga yang kekal abadi.
Kebiasaannya, hidup kita ini senantiasa dihiasi dengan coretan indah lagi manis yang membuatkan kita tersenyum gembira.
Namun,ada juga ketikanya hidup ini dilukai dengan parutan pahit lagi pedih yang membuatkan kita duduk terdiam tak terkata.
Inilah,resam hidup manusia yang begitu rencam.
Allah telah menetapkan setiap perkara itu pasti dengan hikmahNya yang tersurat lagi tersirat.
Ada masa kita bergembira, di lain masa kita berduka.
Ada masa kita ketawa riang, di lain masa kita menangis kesedihan.
Ada masa kita sentiasa ingat pd Yang Maha Esa, di lain masa kita alpa mengingatiNya.
Ada masa kita tekun beribadah kpdNya, di lain masa kita mengabaikan kewajipan kita.
Tidak ada wadah lain yang patut kita gunakan,selain daripada wahyu Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W untuk memacu kita ke jalan Siratul Mustaqim.
Peringatan buat diri ini yang sering leka dan lalai, kembalilah ke jalan yang lurus demi menggapai redha Ilahi..
NOTA: Video yang saya kongsikan dalam posting ini merupakan video motivasi buat diri ini yang tak pernah saya jemu untuk ulang dan dengar terutama ketika saya berasa sedih dan lemah semangat.
Setiap baris kata yang beliau gunakan begitu dalam maksudnya serta mampu menyentuh hati dan perasaan mereka yang mendengarnya.
Selamat menghayati.
30 Mac 2011
Jangan berdiam diri
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Sudah agak lama tidak menulis di sini. Malas + sibuk adalah alasan lapuk untuk menjustifikasikan perbuatan menyepi ini. Mungkin menunggu ilham yang tak kunjung tiba boleh saya jadikan alasan baru pula. Agak lama tidak menulis sehinggakan untuk siapkan catatan kali ini pun berasa agak kekok.
Namun , saya cubalah setakat yang termampu untuk berkongsi apa yang saya dapat ketika menghadiri program di Stadium Malawati pada Isnin lepas.
Alhamdulillah, saya dan teman-teman sampai awal kali ini, membolehkan kami solat berjemaah Maghrib di dalam stadium. Seterusnya kami mendengar kuliah khas yang disampaikan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, tokoh ulama’ yang tidak asing lagi di tanah air kita lebih-lebih lagi beliau merupakan panelis Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV 1 pada era 90-an dulu. Kuliah berkisar tentang bahaya fitnah, keperluan kita menyiasat terlebih dahulu sebarang berita yang tersebar serta kewajipan pada masa yang sama menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah kepada diri kita.
Selepas solat fardhu Isyak, ribuan jemaah yang hadir bersama-sama pula menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Tuan Guru Presiden. Program diteruskan dengan slot ceramah yang dibarisi oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat (PR). Program yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat secara terus kepada rakyat-jelata khususnya berkenaan isu Fitnah 3 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Orang-ramai telah pun memenuhi setiap ceruk di dalam stadium samada bersila di atas lantai mahupun duduk di atas kerusi dan tak kurang juga yang berdiri di belakang kerana semua ruang sudah penuh.
Penceramah pertama pada malam ini ialah ‘hero’ baru PR iaitu YB Dato’ Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani), beliau mendedahkan secara detail kisah daripada awal bagaimana beliau diapproach oleh Dato’ T (baca: Dato’ Temberang), cubaan untuk memujuk beliau lompat parti, penayangan video lucah, dan pada penghujung ucapan beliau menegaskan bahawa beliau amat yakin bahawa ‘aktor’ dalam video tersebut bukanlah Datuk Seri Anwar seperti yang didakwa oleh Trio Temberang itu.
YB Lim Kit Siang pula berkongsi informasi mengenai isi kandungan surat terbuka ditulis oleh Dato’ Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Sungguh mengejutkan sekali apabila dalam surat tersebut dinyatakan secara terperinci bagaimana lenyapnya kes-kes rasuah ‘pejuang moral Malaysia baru’, Tan Sri Rahim Tamby Chik (salah seorang Trio Temberang) yang ada bernilai mencecah RM 40 juta. Dato’ Mat Zain berharap agar IGP mampu bertindak dengan berani dan telus serta berhati-hati dengan nasib kes video sekarang yang tak mustahil akan dibakul sampahkan seperti kes-kes terdahulu apabila ia sampai ke peringkat pendakwaan kes yang tertakluk di bawah kuasa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail.
Ceramah diteruskan pula oleh Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Beliau memulakan ucapan dengan mengingatkan hadirin akan firman Allah yg bermaksud:
“Dan takutlah kamu akan bencana yang tidak hanya menimpa orang-orang yg zalim sahaja”
Mengulas isu pendedahan video lucah itu, Tuan Guru melahirkan rasa kesal kerana sepatutnya umat Islam menjadi contoh kepada orang lain namun yang berlaku adalah sebaliknya. Perbuatan keji mendedahkan aib dan fitnah secara terbuka ini sungguh memburukkan imej Islam. Dalam sistem perundangan Islam seperti yang turut diguna pakai oleh pengamal undang-undang barat terutama England yang menjadi rujukan negara-negara Komanwel ialah;
“Seseorang yang dituduh dianggap tidak bersalah, selagi orang itu tidak dibuktikan bersalah.”
Sebarang pertuduhan yang dibuat mestilah melalui proses kehakiman yang betul dan adil bukan melalui penghakiman media dan orang ramai.Malangnya, di negara kita kecelaruan berlaku dalam sistem pentadbiran dan kehakiman memburukkan imej negara maka rakyat wajib melakukan perubahan dengan menukar pemerintah.
Sewajarnya, kita sedari bahawa mereka yg memerintah hanya pemegang amanah bukanlah penguasa yang akan berkuasa selamanya.
Tuan Guru seterusnya mengingatkan hadirin akan arahan Allah kepada orang beriman agar menyerahkan amanah kepada ahli yg dapat menunaikannya, dan apabila pemerintah melaksanakan hukuman di kalangan manusia seluruhnya (tanpa mengira beza agama,bangsa) mestilah berlaku adil. Beliau turut bercerita akan kisah yang berlaku pada zaman Khalifah kedua Abbasiyyah, Khalifah Abul Ja’afar Al Mansur.
"Demi menguatkan kerajaannya, khalifah sanggup membunuh Abu Muslim al-Khurasani yang juga merupakan jurukempen utama penegak kerajaan Abbasiyyah. Pembunuhan ini berlaku dek kerana khalifah risau akan pengaruh Abu Muslim yang lebih kuat berbandingnya.
Pada suatu ketika khalifah pergi menunaikan ibadah di Mekah, ketika mana beliau bertawaf di Kaabah, beliau terdengar seorang tua sedang berdoa di Multazam (tempat mustajab doa)
“Ya Allah, ya Tuhanku bumi ini penuh kezaliman sehingga aku rasa bumi ini begitu sempit, di sana-sini berlaku kezaliman.”
Khalifah memerintah pengawal menahan orang tua yang berdoa itu lalu dibawa mengadapnya lalu khalifah bertanya;
“Mengapa kamu berdoa begitu? Adakah kamu menganggap aku ni zalim?
Jawab orang tua itu:
“Ya, kamu telah banyak melakukan kezaliman. Aku pernah pergi ke negeri China, rajanya itu bukan Islam. Rajanya sakit sehingga telinganya pekak mengakibatkan tidak dapat lagi raja itu mendengar aduan dan rintihan rakyatnya. Raja China itu sedih dan menangis kerana tidak dapat lagi boleh berlaku adil kepada rakyatnya.. Dia seorang raja China, bukan Islam, Kamu pula mengaku Islam..Adakah Kamu tak rasa malu..?"
Tuan Guru menyeru sekalian rakyat untuk bersama membuat perubahan supaya tidak ditimpa bencana seperti firman Allah yang mengingatkan kita bahawa musibah yang menimpa bukan sahaja kepada mereka yang berbuat zalim tapi termasuklah mereka yang diam dan tak menegur kemungkaran berlaku akan menerima akibat yg sama.
Dengan nada tegas Tuan Guru bertanya ;
“Di mana mereka yg sering bercakap selama ni? Jangan jadi syaitan bisu..!”
(syaitan bisu itu seperti terkandung dalam hadis ialah mereka yang mendiamkan diri dalam perkara yg benar)
Kita dilarang terlibat dengan kerja mungkar lagi zalim ini. Tuan Guru mengingatkan kepada pengamal media yang sering membuat fitnah bahawa dosa yang ditanggung adalah berpanjangan.Jangan hanya memikirkan soal duit sahaja tanpa menghiraukan soal dosa-pahala.
Sejarah keruntuhan kerajaan yang zalim sentiasa berulang seperti yang terkandung dalam Surah Al-Fajr ayat 6-14 yang bermaksud;
6. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Aad?
7. (yaitu) penduduk Iram yang mempunyai Bangunan-bangunan yang tinggi,
8. Yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,
9. Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah,
10. Dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentara yang banyak),
11. Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,
12. Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu,
13. Kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka azab,
14. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.
Lihatlah kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia, Mesir, dan Libya. Rakyat dibelenggu kesusahan, dan penderitaan tatkala pemerintah sibuk membolot kekayaan dan berusaha gigih memastikan kuasa kekal di tangan mereka buat selamanya. Ucapan Tuan Guru yang penuh semangat itu turut diselitkan dengan bacaan sajak yang dikarang oleh penyair Tunisia yg terkenal, Abul Qassim As-Syabi yang meninggal dunia pada usia baru lingkungan 20an ketika mana Tunisia dijajah Perancis pd tahun 1930an dulu. Sajak itu bermaksud;
“Apabila sesuatu bangsa itu, mahu menjadi bangsa yang hidup pada suatu hari nanti,
maka bangsa itu mestilah menyahut seruan beriman kpd Qadar Allah-
yang menentukan kuasanya bukan kerajaan di dunia yg berkuasa.
Malam tidak akan selama-lamanya malam,
malam akan hilang dan akan tiba masanya siang.
Gari tidak akan selama-lamanya boleh mengikat tangan-tangan rakyat, akan tiba masanya gari akan patah dan hancur berkecai”
Di akhir ucapan, Tuan Guru memberi amaran tegas kepada pemerintah bahawa kamu tidak boleh kekal selama-lamanya dan percayalah kita semua bahawa fitnah, kezaliman dan penyelewengan yang berleluasa adalah tanda perubahan dan kejatuhan mereka .
Yang sewajibnya ialah kita rakyat bersatu bangkit membuat perubahan dengan menyebarkan maklumat kepada sekalian rakyat yg masih ‘miskin’ maklumat agar mereka diberi kesedaran untuk berani membuat perubahan demi kebaikan negara dan rakyat semua.
Slot ceramah diteruskan lagi dengan ucapan berapi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Seperti biasa, pidato beliau mempunyai aura luar-biasa yang berjaya memukau sekalian yang hadir. Turun naik nada beliau ketika menyampaikan ucapan yang menyeru sekalian rakyat agar tidak terpedaya dengan episod fitnah bersiri yang masih belum bertemu penghujungnya.
Majlis pada malam ini turut dihadiri oleh isteri beliau, Datuk Seri Doktor Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulongnya YB Nurul Izzah. Datuk Seri Anwar memulakan ucapannya dengan ucapan terima kasih dan penghargaan buat semua yang hadir kerana masih sedia berdiri teguh dan menyokong beliau sekeluarga.
Beliau turut menyatakan syukur kepada Allah kerana diberikan kekuatan untuk menempuh ujian getir ini. Sebenarnya, rakyat cuba dialihkan pandangan daripada komitmen dan janji yang terkandung dalam Buku Oren Pakatan Rakyat yang menjanjikan perubahan dalam Malaysia. Saya tertarik apabila Datuk Seri Anwar menggunakan kalimah ‘law of the jungle’ yang berlaku di negara ini dan bukan yang sepatutnya iaitu ‘rule of law’.
Seterusnya, beliau menegaskan bahawa hidup-matinya akan ditentukan Allah dan bukanlah mereka yang bermusuh untuk mematikan karier beliau itu. Kuasa rakyat yang berani melakukan perubahan akan mampu menumbangkan pemerintah yang angkuh khususnya menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak yang kini dipimpin oleh orang kaya Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Datuk Seri Anwar menyebut akan ketidakyakinan beliau akan sistem yang berlaku di negara ini, bagaimana boleh mereka yang mengedarkan video lucah itu masih bebas tidak ditangkap bahkan dipertahankan pula oleh pak Menteri..? Double standard yang begitu jelas terzahir apabila di kalangan mereka yang terlibat pasti akan diselamatkan dan ditutup rapat-rapat kes mereka.
Suasana hening seketika tatkala Datuk Seri Anwar berkongsi rasa akan kisah bagaimana beliau dan keluarga terpaksa menanggung aib,hinaan,cacian dan fitnah selama 12-13 tahun kerana beliau memilih untuk melawan dan membela nasib rakyat. Sungguhpun demikian, beliau berkata bahawa ujian ini tidaklah ditanggung oleh beliau sahaja bahkan ramai lagi rakyat marhaen di bawah yang turut ditekan dengan bermacam rupa.
Beliau menasihatkan isteri dan anak-anak agar sentiasa beristighfar memohon ampun dan pada masa yang sama bersyukur kerana kesusahan yang mereka lalui baru 13 tahun sedangkan pemimpin PAS telah ditekan dan menderita selama 50 tahun lebih. Beliau memberi contoh yang dialami oleh bekas Yang Dipertua PAS, Almarhum Dr Burhanudin al-Helmi yang dikenakan tahanan ISA dan dibebaskan ketika sudah pun sakit teruk dan tidak lama kemudian meninggal dunia.
Beliau seterusnya membaca hadis Nabi yang tentang siapa yang akan diberikan ujian yang paling banyak..? Nabi menjawab;
“Bahawa orang yang paling banyak diuji ialah para Nabi kemudian mereka yang mengikutnya selepas itu dan mereka yang mengikut golongan contoh itu.”
Bilamana beliau merasa derita ,beliau cuba mengambil pedoman daripada hadis ini dan berasa amat jauh dan begitu kerdil untuk dibandingkan dengan mereka yang terdahulu. Akhirnya, beliau menyeru sekalian yang hadir agar terus berdoa yang mempunyai kuasa tidak terungkai dan meningkatkan lagi ikhtiar bermacam cara agar perubahan benar-benar berlaku di Malaysia ini.
Kemuncaknya, tibalah pula giliran Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat. Inilah ikon yang disayangi lagi dihormati oleh sekalian rakyat berbilang bangsa dan agama di tanah air. Namun, kelihatan Tok Guru agak keletihan serta kurang sihat, maka beliau terus mengakhiri majlis dengan memimpin bacaan doa memohon munajat kepada Allah dan diaminkan oleh sekalian pemimpin yang berada di atas pentas dan ribuan yang memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam. Mereka yang hadir memahami akan keadaan Tok Guru yang sudah pun lanjut usianya bahkan amat wajar diberi pujian kepada Tok Guru kerana masih sanggup berpenat-lelah datang dari Kelantan semata-mata untuk bersama dalam majlis penting ini..Terima kasih Tok Guru..
Jam sudah menunjukkan 11.30 malam ketika kami meninggalkan perkarangan stadium. Bagaimana nak memecut untuk pulang ke kampus sebelum jam 12? Kereta pula agak kekeringan minyak di samping perut kami pula masih belum diiisi sejak petang tadi. Keputusan dibuat untuk tetap bertolak pulang dan berserahlah akan apa yang akan berlaku. Aduhai, apa yang berlaku bukanlah seperti yang dihajati.! Kami tersilap masuk highway yang menuju ke tempat lain.Terpaksalah berpatah balik ke Shah Alam kemudian barulah jumpa jalan sebenar iaitu melalui lebuhraya NKVE dan Sprint ke PJ dan Duke ke Gombak.
‘Syura’ kami berempat yang di dalam kereta menetapkan agak tidak terus pulang ke kampus kerana ‘pakej ganjaran saman’ bernilai RM 50 setiap seorang pasti menanti di gate utama jikalau pulang pada waktu lewat sebegini. Next mission, ialah mengisi perut yang telah berkeroncong lagu irama asli sejak tadi lagi. Dapatlah makan ‘lewat malam’ di Deen Tom Yam berdekatan kubur di tepi jalan yang menghala ke Sungai Pisang.
Final mission, ialah mencari tempat bermalam. Cadangnya ialah masjid atau surau berdekatan. Pencarian bermula dengan Masjid as-Syarif kemudian Masjid ar-Rahimah, surau Greenwood, Markaz PAS Melewar, Masjid Asy-Syakirin, Madrasah al-Muttaqin, dan Masjid Saad bin Abi Waqas. Misi ini gagal kerana semua pintu-pagarnya berkunci rapat (siap ada mangga solex lagi). Ada teman berkata di KL ini semua kena berkuncilah sebab pencuri juga berminat untuk berkunjung ke rumah ibadah ini. Sambil memujuk perasaan kecewa, kami pun berpusing dan merondalah di sekitar itu(rasa macam jadi kumpulan rukun tetangga yang jaga keselamatan pula).
Rondaan tidak sia-sia kerana akhirnya bertemu sebuah madrasah yang agak berdekatan dengan Kampung Sungai Cincin. Sempatlah juga saya melelapkan mata sebentar dan tidak mampu bertahan lebih lama di situ kerana team nyamuk berpesta menjadikan saya dan teman saya sebagai ‘lauk’ mereka.Haha.
Akhirnya, pada tepat jam 5.45pagi Selasa kami pulang ke kampus dengan jayanya. Alhamdulillah, walaupun agak keletihan namun kepuasan dapat hadir bersama di stadium jauh lebih nikmat dan tidak serik lagi rasanya untuk ke majlis sedemikian..TAMAT
Ucapan Tuan Guru Presiden
Ucapan Datuk Seri Anwar
Bacaan doa oleh Tok Guru Mursyidul Am
Koleksi gambar (*kredit kpd FB Tok Guru, wartashubhi.blogspot.com dan Sekretariat Akhbar Pejabat MB Selangor yang berkongsi gambar ini)
14 Februari 2011
TERSUNGKURNYA SI FIRAUN MODEN
Sejarah telah tercipta.Revolusi rakyat berjaya menumbangkan sang penguasa.
Pada tanggal 11 Februari 2011 bersamaan hari Jumaat lepas telah terlakar ukiran baru dalam lanskap politik dunia. Itulah REVOLUSI RAKYAT MESIR yang berjaya menamatkan riwayat pemerintahan rejim Husni Mubarak.
Pengumuman pengisytiharan pengunduran Mubarak itu diumumkan oleh Omar Suleyman, Naib Presiden Mesir secara langsung melalui tv kerajaan. Berita ini disambut dengan laungan Allahukbar dan linangan air mata sekalian rakyat jelata di seluruh pelusuk Mesir dan secara khususnya jutaan yang telah ‘berkubu’ di Medan Tahrir(Dataran Kemerdekaan) semenjak tercetusnya revolusi ini.
Revolusi 18 hari ini begitu menarik untuk kita perhatikan bersama. Bayangkan mereka boleh bersatu hati tanpa adanya seorang pemimpin utama yang memimpin di barisan hadapan. Jutaan rakyat ini sememangnya mewakili pelbagai lapisan masyarakat samada muda, tua, profesional, ulama, mahasiswa, penganggur, Muslim, Kristian dan bermacam lagi. Mereka mempunyai satu suara iaitu “We want Mubarak down.”
Ada yang memberikan pandangan ‘leaderless revolution’ ini berlaku kerana selama mereka di bawah pemerintahan rejim Husni selama 30 tahun sebelum ini, sememangnya tidak ada ruang dan peluang untuk mana-mana pemimpin menonjolkan diri dan meluaskan pengaruh supaya rakyat hanya percaya kepada Husni. Jika ada yang mula membina nama pasti akan dicantas secepat mungkin maka tak hairanlah Ikhwanul Muslimin telah lama diharamkan di bumi Mesir.
Apabila berbicara isu Mesir ini, pelbagai perspektif patut dinilai termasuk sejarah latar-belakangnya dan impak besar yang akan berlaku pasca-Husni.
Antaranya;
• POLITIK: Husni Mubarak ini dikenali sebagai pemimpin yang begitu akrab dengan Barat khususnya Amerika Syarikat yang menjadi penyumbang dana tahunan berbilion ringgit kepada negara tersebut. Si Firaun moden ini juga begitu lunak dan mesra dengan Israel yang merupakan musuh ketat umat Islam. Mubarak bersifat keras dan tegas dalam melawan oposisi politiknya terutamanya gerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang telah sekian lama membina pengaruh di akar umbi Mesir.
• EKONOMI: Sungguhpun, Mesir dikenali sebagai negara pengeluar minyak, memiliki jalan perdagangan Terusan Suez, Pelabuhan Alexandria(Iskandariah) dan pusat pelancongan seperti Piramid namun, hakikatnya kekayaan hasil negara ini tidak pun dinikmati oleh sekalian rakyat bawahan. Di kala rakyatnya menderita dek kerana kenaikan harga barang, inflasi yang tinggi, pengangguran yang meningkat tetapi Si Firaun moden bersama isterinya Suzanna Mubarak dan anaknya Jamal Mubarak ini sudah pun berjaya mengumpul harta di dalam dan luar negara yang dikatakan mencecah USD 80 Bilion. Pemimpinnya hidup senang-lenang manakala lebih 40% rakyatnya masih berada di bawah paras kemiskinan iaitu meraih pendapatan hanya RM6 sehari.
• SOSIAL: Mesir merupakan suatu nama yang telah dikenali semenjak zaman-berzaman manakan tidak antara tamadun terawal dunia ialah Tamadun Mesir Tua yang bermula di Sungai Nil. Apatah lagi, dalam sejarah umat Islam sendiri kisah Nabi Musa yang menentang pemerintahan Firaun, raja yang zalim, angkuh serta engkar pada perintah Allah. Di hati umat Islam pula, nama Universiti Al-Azhar yang merupakan antara pusat pendidikan tertua di dunia semestinya begitu berjasa dalam melahirkan graduan dalam pengajian Islam. Contohnya, pemimpin terkenal gerakan Islam di negara kita iaitu YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am PAS) dan YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) merupakan lulusan Al-Azhar.Malangnya, imej murni ini tercalar kerana pemimpin Mesir di bawah rejim Mubarak terlibat dengan gejala rasuah yang kronik.
Kini, nama Mubarak hanya tinggal kenangan dan mimpi buruk buat sekalian rakyat jelata. Pastinya, semua yang bangkit mengimpikan satu wajah baru Mesir yang lebih demokratik dan keadilan sosial buat mereka. Pemerintah tertinggi tentera yang sedang berkuasa sekarang telah pun mengisytiharkan pembubaran parlimen, penggantungan perlembagaan sementara menunggu pilihan raya presiden baru menjelang Ogos/September ini.
Sebagai penutup, ingin saya timbulkan beberapa persoalan yang wajar kita fikirkan bersama;
1. Apakah Ikhwanul Muslimin mampu menjadi pemacu utama dan memenangi hati rakyat untuk memimpin Mesir pasca rejim Mubarak ini?
2. Apakah tindakan yang akan dilakukan Amerika Syarikat dan Israel demi memastikan pemerintah Mesir yang baru kekal tunduk dan menjaga kepentingan mereka?
3. Tahukah anda bahawa antara medium utama komunikasi dan penggerak revolusi ini ialah internet contohnya Facebook dan Twitter?
4. Adakah anda bersetuju dengan pandangan bahawa revolusi ini mengikut Teori Domino yang akan berjangkit dari suatu negara ke negara yang lain?
Tumbangnya Si Firaun Moden ini diharapkan dapat memberi nafas baru kepada Mesir khususnya dan sinar kebangkitan Islam secara amnya serta tidak pula melahirkan Firaun-Firaun baru sebagai ganti Mubarak..
Sekalung tahniah buat semua rakyat Mesir..!
Medan Tahrir (Dataran Merdeka) kubu selama 18 hari
Kasut diangkat sbg lambang penghinaan terhadap Mubarak yang dibenci
Gelombang rakyat sehingga ke tepian pantai di Iskandariah
Ratusan yang terkorban dalam menegakkan kebenaran
Adakah sinar baru akan muncul selepas ini?
Kebangkitan rakyat yang tak dapat dibendung lagi
Jiwa pemuda antara penggerak utama revolusi ini
Solat Jumaat 11Februari beberapa jam sebelum Mubarak berundur
Doa mereka yang dizalimi dimakbul Tuhan
Srikandi sbg tulang belakang revolusi
Apabila rakyat bersatu dengan tentera
Sekalian rakyat menyambut gembira pemergian Mubarak
Goodbye Mubarak.
12 Januari 2011
Mengenal Diri
Antara subjek yang saya pelajari pada sem ini ialah Introduction to Psychology. Setiap kali kelas biasanya akan ada selitan ‘peringatan’ kepada kami untuk mengenal siapa yang telah mencipta manusia..?
Firman Allah dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
Psikologi ini secara mudahnya ialah ilmu yang mengkaji tingkahlaku dan proses mental. Tingkahlaku berkait dengan segala perbuatan yang zahirnya boleh dilihat seperti contoh makan, berbual dan berjalan. Proses mental pula berkait dengan dalaman manusia yang memang tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar kita seperti contoh berfikir, berimaginasi dan menghafal.
Namun, adalah tidak lengkap bagi mereka yang bergelar Muslim mengkaji ilmu psikologi hanya menggunakan perspektif Barat dan mengabaikan pandangan Islam dalam soal ini.
Antara perbezaannya ialah mereka yang bukan Islam ini tidak memasukkan elemen spiritual atau ruh dalam ilmu psikologi sedangkan Islam secara jelas mengatakan wujudnya unsur metafizik (ghaib) dalam diri manusia di samping fizikal.
Kalau dilihat dalam konteks psikologi, aspek rohani ini ialah berkenaan hidayah Allah yang memandu manusia dalam segala tingkahlaku dan pemikiran. Iman yang kukuh akan menyuluh ke jalan yang benar dan begitulah sebaliknya. Keimanan terhadap perkara ghaib adalah salah-satu pembeda utama antara Muslim dan kafir. Muslim yakin dan percaya bahawa otak dan segala organ manusia mustahil untuk berfungsi tanpa izin Allah yang menciptanya.
Ilmu psikologi ini mengajar saya mengenal diri sendiri dan menambahkan lagi keyakinan akan kewujudan Maha Pencipta. Seperti contoh, dalam bab 2 yang dipelajari ialah sistem saraf manusia. Ia mempunyai 2 jenis iaitu;
Central nervous system (otak dan tulang belakang)
Peripheral nervous system (segala saraf dan neuron yang tidak termasuk di dalam otak dan tulang belakang)
Central nervous system ini ialah sistem saraf utama yang mengawal tubuh-badan manusia iaitu otak mengeluarkan arahan yang akan disampaikan kepada Peripheral nervous system melalui tulang belakang.
Peripheral nervous system pula mempunyai dua jenis iaitu;
Somatic nervous system
Autonomic nervous system
Somatic nervous system ini mengawal tingkahlaku dalam-kawalan manusia contohnya berjalan dan makan-minum. Perbuatan ini dilakukan atas kehendak sendiri manusia. Adapun Autonomic nervous system mengawal tindakan luar-kawalan manusia contohnya kerlipan mata, aliran darah, kandungan oksigen yang diperlukan. Kesemua ini adalah ‘assignment’ yang dilakukan tubuh-badan manusia secara automatik.
Lecturer saya, Dr. Mariam Adawiah ada bertanya dalam kelas apakah akan terjadi kepada manusia sekiranya Autonomic nervous system ini tak berfungsi..?
Puas kami meneka.Akhirnya, Dr. Mariam memberitahu jawapannya bahawa kehidupan setiap insan akan menjadi lebih sibuk dan letih berbanding sekarang kerana dia perlu mengawal sendiri sedutan oksigen, denyutan jantung, kerlipan mata, pencernaan makanan dan macam-macam lagi.
Ooh, pasti tak sanggup kita hadapinya.! Itulah hebatnya kuasa Allah yang mencipta manusia ini dengan sebaik-baik kejadian yang lengkap pakejnya luaran dan dalaman tubuh-badan. Ada yang boleh kita kawal sendiri dan ada pula yang telah berfungsi secara automatik.
Benar kata Allah di dalam Surah Ar-Rahman yang diulang banyak kali ayat ini;
13. "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
Apabila menonton TV, sering kita lihat iklan susu bayi yang menyebut “membantu perkembangan neuron”. Apa pula neuron ini.?
Neuron ini adalah sel utama yang terkandung dalam sistem saraf yang mana ia berfungsi menerima dan menghantar isyarat dalam sistem tersebut. Ia boleh diibaratkan seperti ‘posmen’ kerana fungsinya sebagai messengers of the body dan ia mempunyai struktur yang begitu istimewa. Soma, axon dan dendrites adalah tiga komponen utama di dalam neuron.
Dipercayai bahawa terdapat berbilion sel neuron dalam otak manusia. Maka, tak hairanlah jikalau manusia ini diberi kelebihan pada akalnya untuk berfikir. Di dalam otak manusia pula, kita boleh melihat pembahagiannya daripada pelbagai sudut samada pandangan belakang atau bawah korteks. Setiap komponen yang terdapat di dalamnya ini mempunyai fungsi masing-masing.
Seperti contoh, bahagian otak kanan akan;
1. mengawal tangan kiri
2. komunikasi non-verbal
3. emosi
4. music dan artistik
5. pemprosesan keseluruhan
6. pengecaman muka dan corak
manakala otak kiri berfungsi untuk;
1. mengawal tangan kanan
2. komunikasi verbal
3. penulisan
4. pembacaan
5. matematik
6. analisa terperinci
7. proses pemikiran logik
Manusia yang mengenal dirinya pasti akur bahawa wujudnya Pencipta kepada segala apa yang dia ada. Kesemuanya berfungsi sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah Maha Agung lagi Maha Kuasa. Mengenal diri juga salah satu cara mengenal Tuhan. Nikmat yang melimpah-ruah diberikan ini bukanlah untuk disia-siakan tetapi ada kewajipan sebagai hamba untuk mengbadikan diri kepadaNya dan sebagai khalifah untuk mentadbir bumi ini dengan kehendakNya.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;
30. "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
Bersyukurlah dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita khususnya nikmat Iman dan Islam yang kita kecapi pada saat ini. Perlengkapkan diri dengan ilmu yang secukupnya sebagai panduan untuk kita beramal sebagai persiapan menuju ke alam akhirat nan kekal abadi.
“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali……”
Langgan:
Catatan (Atom)