02 Jun 2011

Change: Now or Never..!



Muqaddimah

Kata Sukarno;

“Berikanku 10 pemuda, nescaya akanku goncangkan dunia ini.”

Itulah simboliknya kekuatan yang ada pada setiap jiwa pemuda. Sememangnya sudah menjadi sinonim bagi anak muda bersifat penuh bersemangat lagi bertenaga. Sejarah telah pun membuktikan golongan pemudalah tonggak utama yang memacu kegemilangan Islam sepertimana pada zaman Rasulullah S.A.W dulu.

Mereka berjaya membuktikan bahawa dengan acuan Islam pemuda mampu bangkit menzahirkan kekuatan Islam. Itulah suri tauladan yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi radiallahuanhum seperti Saidina Ali Bin Abi Talib, Bilal Bin Rabah, Ammar Bin Yasir, Zubair Al-Awwam, dan ramai lagi.

Bahkan, di dalam Al-Quran sendiri Allah mengkhabarkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W akan kisah pemuda seperti terkandung dalam Surah al-Kahfi.
Firman Allah yang bermaksud;

13. Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita Ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah pula untuk mereka petunjuk.

14. Dan kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri[875], lalu mereka pun berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, Sesungguhnya kami kalau demikian Telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran".


Justeru, jelaslah bahawa golongan pemuda ini sebenarnya memang memainkan peranan yang begitu penting dalam sesebuah masyarakat mahupun negara. Mereka ini digelar ‘agen perubah’ (rijalul taghyir) yang menggalas amanah besar untuk memimpin ummah keluar daripada kegelapan kebathilan kepada sinar kebenaran.





Kebangkitan Timur Tengah

Lihatlah apa yang berlaku nun di negara-negara Arab. Bukankah tercetusnya revolusi rakyat di Tunisia itu rentetan daripada peristiwa pemuda yang begitu kecewa dengan nasib menimpa negaranya yang penuh rasuah, penindasan, kemiskinan, penggangguran sehingga dia nekad protes dengan membakar diri.


Api kebangkitan rakyat yang berjaya menumbangkan rejim Zainal Abidin Ali itu rupanya tidak padam bahkan terus merebak pula ke negara yang ditadbir Firaun kecil si Husni Mubarak. Sekali lagi pemuda menjadi jaguh dalam menggerakkan massa jutaan rakyat Mesir untuk bangkit menentang kebobrokan si Mubarak. Generasi baru ini (atau nama lainnya Gen Y) memanfaatkan sepenuhnya dunia internet seperti Facebook,Twitter,Blog untuk menyemarakkan lagi semangat rakyat secara keseluruhan agar turun bersama mereka sehingga mereka ‘berkampung’ berminggu di Medan Tahrir,Kaherah dan pada masa yang sama demonstrasi di Iskandariah,Mansourah dan ibu kota lain berhadapan dengan aparat pemerintah.

Terbaru, dalam pilihanraya di Singapura pemuda juga memainkan peranan penting sehingga berjaya mengurangkan undi popular parti pemerintah PAP daripada 67% kepada 60%. Rakyat yang dah mula muak dengan pemerintah zaman berzaman di Singapura itu sudah mula berani mencuba untuk menukar selera kepada calon muda parti pembangkang yang serba –boleh.


PRU 13: Malaysia di persimpangan

Melihatkan suasana terkini di tanah air tercinta ini, kita dapat menjangka riak-riak untuk semboyan pilihanraya umum akan dibunyikan dalam masa terdekat. PM Datuk Seri Najib Razak pastinya sudah tidak sabar ingin mendapatkan ‘fresh mandate’ daripada rakyat jelata sebagai tanda penerimaan kepada agenda transformasinya. Beliau ingin membuktikan bahawa UMNO kini sudah berubah dan bersedia untuk terus mempertahankan Putrajaya daripada ditawan Pakatan Rakyat seperti dalam ucapannya pada Oktober 2010 di PWTC;

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"



Sungguhpun, itu dilafazkan oleh beliau namun, ia tak akan berjaya membendung kemaraan rakyat yang ingin melakukan perubahan pada PRU 13 ini. Sudah cukup tempoh lebih 50 tahun BN memerintah Malaysia ini.

Adakah nasib rakyat kebawahan terus terbela atau sibuk mengkayakan saudara serta kroni sekelilingnya?
Rakyat terus dihimpit kesusahan hidup dengan kenaikan yang tiada penghujungnya harga petrol,gula, barang keperluan dan terbaru tarif elektrik.Subsidi rakyat terus ‘dirasionalisasikan’ tetapi pemerintah masih sibuk membuat projek mega, pembaziran di sana-sini, dan bantuan kepada kroninya.

Apabila ditanya soal kenaikan gaji penjawat awam yang sudah 2 tahun tidak dinaikkan.?
Jawapannya: kedudukan kewangan kerajaan belum stabil untuk melaksanakan tuntutan itu. (Tetapi yang peliknya pada setiap kali pilihanraya kecil dan yang berlaku dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ada pula duit dan projek yang mencurah sehingga bernilai jutaan ringgit.)

Hutang negara terus meningkat sehingga melebihi 50% daripada pendapatan negara KDNK yang berjumlah RM 700 bilion. Adakah Malaysia akan mengikut jejak-langkah negara seperti Greece, Itali, Portugal, dan Ireland yang mana sudah hampir bangkrap. Impian untuk mencapai Negara Maju pada 2020 masih jauh untuk dicapai. Bajet negara terus defisit semenjak 1998, hutang isi rumah sudah mencecah RM 577 bilion manakala sumber pendapatan baru negara masih belum ada untuk menghadapi saat getir pada masa depan.

Apabila kantung negara sudah tenat maka ‘dipecahkanlah’ tabung rakyat untuk menampung kembali kekurangan kewangan kerajaan. Timbullah idea rasionalisasi subsidi dan Good & Sevice Tax (GST) yang akan dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia.Kadar pertumbuhan ekonomi negara masih lembap manakala kadar pelaburan asing Foreign Direct Investment (FDI) Malaysia pula terus merudum dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Gerun rasanya tatkala tiap kali membaca akhbar dan mendengar berita pasti isu buang bayi, pembunuhan kejam, penzinaan, rasuah, perjudian, keruntuhan institusi keluarga dan banyak lagi masalah sosial yang kian membarah. Budaya hiburan melampau, pergaulan bebas, agama dipisahkan daripada kehidupan menjadi pendorong utama berlakunya masalah sedemikian. Sungguhpun kita dikhabarkan kadar jenayah sudah menurun tetapi hakikatnya kehidupan rakyat terus terancam.

Kejadian yang semakin berleluasa seperti rompakan, rogol, ragut, simbah asid bahkan kematian di premis kerajaan seperti SPRM sungguh menunjukkan nikmat keamanan dan keberkatan sudah semakin hilang dari tanah air ini. Persoalannya; apakah kerajaan benar-benar serius memikirkan solusi kepada masalah kebejatan sosial ini..? Atau lebih sibuk memikirkan nasib PRU 13, samada mampu mengekalkan tampuk kuasa untuk meneruskan kesinambungan hidup yang serba mewah itu.


Kita beralih pula pada aspek politik.
JIJIK lagi MEMUALKAN itulah selayaknya kata-kata yang menggambarkan situasi terkini politik tanah air. Demi menamatkan riwayat tokoh yang mampu menggugat kuasa mereka maka drama demi drama, cereka demi cereka terus direka tanpa memikirkan impaknya bukan sahaja kepada musuh mereka itu tetapi yang lebih merbahaya ialah runtuhnya nilai tamadun insan apatah lagi adat Melayu dan hukum Islam.

Tidak pernah terbayang dalam pemikiran saya bahawa TV boleh menayangkan video lucah secara percuma pada waktu primetime Buletin Utama nya kononnya demi menyedarkan rakyat Malaysia daripada terus tertipu dengan helah tokoh itu. Surat khabar juga sanggup ‘melacurkan’ diri dengan memaparkan aksi si pelakon boroi itu pada frontpage dengan harapan rakyat Malaysia akan mempercayainya. Tak cukup dengan itu, pentas masjid dan Al-Quran juga dijadikan senjata untuk bersumpah memburukkan mangsa (boleh pula sumpah pakai wakil). Soal hukum Al-Quran yang terkandung dalam kitab yang dipegangnya itu tak pula dilaksana.
Bukankah di dalamnya ada hukum Qazaf, memfitnah dan membuka aib orang..?




Gen Y: Apa peranan kita..?

Adakah kita hanya sanggup sekadar menjadi ‘penonton di luar padang’ melihat segala yang berlaku tanpa ikut serta berperanan untuk melakukan perubahan. Masa kian sempit,tetapi peluang masih ada untuk berbuat sesuatu. Kita memang tak punya kuasa seperti mereka yang bertakhta itu.

Namun, agent of change ini punyai semangat yang kental, seiring penguasaan ilmu dan kekuatan iman di dada untuk memimpin gelora perubahan ini. Memang diakui belum sampai tahap untuk kita berjuang sepertimana pemuda Mesir yang berjaya menghancurkan si Firaun kecil itu. Kita bermulalah dengan membuat ‘revolusi’ dalam diri.

Berubahlah ke arah yang lebih baik dalam cara berfikir dan bertindak agar ianya tidak sekadar emosi tetapi di atas landasan yang benar serta di bawah naungan wahyu.
Giatkan lagi usaha kita untuk menyedarkan rakan-rakan,sanak-saudara kita yang berada di mana sahaja samada yang di ceruk kampung sehingga ibu kota.

Manfaatkan sepenuhnya medium alam maya seperti Facebook,Twitter dan Blog itu untuk membangkitkan kesedaran melakukan perubahan. Anak muda tidak pernah kenal erti takut dan gentar dalam kamus hidup mereka.
Ayuh, bersama lakukan perubahan.
Cukuplah peluang yang telah diberikan kepada mereka selama ini.

CHANGE: NOW or NEVER..!