09 Mei 2011
Dua Jiwa-Satu Hati
Berkesempatan juga akhirnya untuk menamatkan bacaan buku “Ukhuwwah Islamiyyah” tulisan Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan ketika cuti akhir semester baru-baru ini.
Jom kita bedah sikit isinya;
1. Ukhuwwah fillah (persaudaraan kerana Allah) merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa.
“Tidak ada hubungan kasih sayang tanpa taqwa, tidak ada taqwa tanpa hubungan kasih sayang dalam persahabatan.”
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 bermaksud;
10. Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara. sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.
Sabda Nabi Muhmmad S.A.W;
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga kamu mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri sendiri.”
2. Hakikat ukhwwah fillah merupakan anugerah Rabbaniyyah yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati-hati yang beriman lagi ikhlas agar mereka saling berkasih-sayang, tolong-menolong, bertanggungjawab dan nasihat-menasihati dalam menjauhi kemungkaran.
3. Antara kelebihan ukhuwwah fillah ialah wajah mereka seperti nur, diampunkan dosa, berada di bawah lindungan arasy Allah pada hari Qiamat, dinaungi kasih Allah, serta merasai kemanisan iman.
4. Terdapat beberapa prinsip dan syarat untuk dikatakan ikatan yang terjalin itu ukhuwwah fillah. Antaranya ialah ukhuwwah mestilah;
• ikhlas kerana Allah (bukan atas kepentingan lain)
• mestilah disertakan dengan iman & taqwa,
• mestilah berlandaskan manhaj Islam
• mesti ditegakkan atas nasihat kerana Allah
• hendaklah saling bertolongan pada masa lapang & sempit
Perbandingan orang mukmin pada kemesraan mereka, pada saling kasih-mengasihi, pada saling tolong-menolong, sama seperti tubuh-badan; apabila salah satu anggotanya sakit mala seluruh badan turut sama menderita dan tidak lena.
“Ukhuwwah yang benar-benar tulen kerana Allah akan kekal laksana alam nyata, kukuh bak gunung, memancar bak sang suria, mendapat pembaharuan silih berganti bak siang dan malam.”
5. Penulis juga turut memberi panduan dan kaedah untuk mendalami ruh ukhuwwah fillah iaitu;
Apabila seseorang mengasihi saudaranya maka hendaklah dia memberitahu saudaranya itu bahawa dia mengasihinya.
Apabila hendak berpisah maka mintalah pada saudaranya agar berdoa untuknya pada masa berjauhan.
Hendaklah saling ziarah-menziarahi daripada masa ke semasa.
Hendaklah mengucap tahniah kepada saudaranya pada waktu yang munasabah.
Hendaklah memberi hadiah apabila keadaannya sesuai.
Hendaklah memberi keutamaan dalam menunaikan hajatnya.
Hendaklah memberi hak ukhuwwah yang lengkap kepadanya.
6. Terdapat dua jenis hak ukhuwwah iaitu hak am dan hak khas. Antara hak am merangkumi;
Memberi dan menjawab salam
Melawat ketika sakit
Menziarahi jenazah
Menerima jemputan
Menolong ketika kesusahan
Mengambil berat akan nasihat yang diberikan
Menjauhkan diri daripada sifat saling berdengki, benci, zalimi dan hina, mencari rahsia serta mendedahkan aibnya.
7. Hak-hak khas ini hanyalah untuk saudaranya yang terpilih dalam kalangan yang beriman yang mampu menjadi pembantu dalam hidupnya pada masa kesempitan dan kecemasan, menjadi tempat bersandar tatkala diuji dan tercabar, menjadi tempat menyimpan rahsia dan tempat rujukan rundingan, menjadi cermin bandingan nasihat, menjadi penenang menghilangkan kepahitan dan sama-sama menikmati kesukaan.
Antara hak khas ukhuwwah fillah ialah;
Semua hak am
Dibolehkan makan di rumah saudaranya tanpa izinnya.
Yang diharamkan pemulauan lebih daripada 3 hari atas sebab peribadi.
Sikap dan tingkahlaku mestilah bersifat ukhuwwah dalam setiap perkara dan keadaan.
Merahsiakan aib dan tidak mengumpat saudaranya.
Syair arab yang bermaksud;
“Saudaramu yang sebenar itu ialah yang selalu bersamamu,
yang sanggup membahayakan dirinya untuk kepentinganmu,
yang apabila terpisah denganmu oleh kebekuan zaman,
dia sanggup memecahkan kebekuan untuk menemuimu.”
8. Pada bab kedua akhir buku ini, penulis memberikan beberapa contoh daripada sirah berkenaan ukhuwwah khususnya persoalan tanggungjawab, mengutamakan saudara berbanding diri sendiri, bermaafan, dan kasih-sayang.
9. Dalam bab khatimah, penulis menceritakan akan buah dan hasil ukhuwwah fillah dalam membentuk keagungan untuk ukiran sejarah. Antaranya ialah membuktikan wahdatul Islamiyyah yang padu atas dasar akidah rabbaniyyah, mereka yang berukhuwwah ini akan menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk bumi, lahirnya peradaban dan kemajuan Islam serta teguhnya persamaan dalam masyarakat Muslim.
10. Penulis juga menukilkan harapannya kepada sekalian pemuda bahawa;
“Kamu semua adalah harapan kepada kebangkitan Islam melalui pejuang yang mendokong kebenaran, pembawa obor hidayah yang akan menegakkan kembali Khalifah Rasyidah di muka bumi ini. Lihatlah kembali sirah perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W yang mempersaudarakan kembali suku Aus & Khazraj, menautkan ikatan golongan Muhajirin dan Ansar atas prinsip ukhuwwah fillah. Itulah role model dan contoh tauladan yang diikuti oleh para sahabat Nabi, tabiin, dan mereka yang pernah mencipta kegemilangan Islam pada suatu ketika dahulu."
Apabila kesemua hak ini dilaksanakan oleh para pejuang Allah maka tunggulah saat pertolongan dan kemenangan daripada Allah.
Inilah serba ringkas perkongsian berkenaan “Ukhuwwah Islamiyyah” . Suatu perkataan yang mudah untuk kita lafazkan tapi agak sukar untuk kita praktikkan.
Adakah ikatan yang dibina antara 2 jiwa insan itu telah benar menjadi 1 hati yang tekad hanya kerana Allah..?
Terkenang pula memori indah ukhwah ketika di SMKA TAHAP dulu..
Buka album zaman 'muda' dulu;
SMKA TAHAP-
"Sumber Manusia Kekasih Allah
Tanpa Agama Hidup Akan Punah"
Barisan Kepimpinan Pelajar 2005
Putera 5 Ibnu Sina
Jamuan Malam Penghargaan KP 2005
Barisan Pelakon Muda "Namunku Punya Hati"
Musolla An-Nur-Pusat Utama Tarbiyyah TAHAP
Kini,usia TAHAP telah pun melebihi 25 tahun
Langgan:
Catatan (Atom)