13 November 2010
Impian kita bersama
Muqaddimah
Apa impian anda?
Pasti pelbagai jawapan yang boleh ditutur oleh lidah kita bergantung kepada sejauh mana kita memandang persoalan impian itu. Samada ia cukup sekadar impian hidup di dunia ini atau pun ia menjangkau ke alam akhirat nan kekal abadi. Setiap insan pasti mengimpikan perkara yang indah dan seronok contohnya “aku impikan suatu hari nanti aku dapat pekerjaan yang gajinya lumayan, berjawatan tinggi, dan mempunyai keluarga yang bahagia”
Namun, bagi yang bergelar Muslim kita meyakini bahawa hidup di dunia ini tak kekal abadi. Ia ibarat sebuah stesen transit sebelum kita menyambung kembali perjalanan ke alam yang kekal abadi. Jikalau si petani yang hidupnya sentiasa mengerah kudrat, memerah keringat ketika bercucuk-tanam untuk menuai hasil untuk dinikmati maka begitulah jua kehidupan manusia. Dunia ini adalah ladang untuk kita usahakan sebaik mungkin ‘tanamannya’ agar hasil yang ingin kita kecapi di akhirat kelak ialah natijah yang baik iaitu syurga.
Impian kita bersama tidak cukup sekadar di dunia. Cita-cita tertinggi dan matlamat terakhir kita hanyalah mardhatillah dan syurga Allah.
Takwa & Tadhiah
Adakah cukup sekadar memasang impian?
Kita bukan seperti mat jenin yang mempunyai impian tinggi tapi sekadar berpeluk tubuh tanpa berusaha untuk menjadikannya realiti. Muslim yang mengimpikan syurga mestilah memilih jalan yang menuju ke situ. Jangan lidah pandai bermadah ingin ke syurga tapi kaki melangkah seolah ingin ke neraka. Allah telah pun memberi pilihan kepada sekalian hambaNya samada jalan yang haq/benar atau jalan bathil/sesat.
Sebenarnya, jalan yang benar dan lurus itu telah pun ditunjukkan oleh Al-Quran dan Rasulullah S.A.W. Amaran untuk berhati-hati daripada jalan yang sesat menuju neraka jahannam juga telah terkandung dalam keduanya. Setiap kali kita bersolat dalam surah al-Fatihah ada terkandung ayat yang bermaksud;
“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.”
Kita memohon agar impian bersama untuk ditunjukkan jalan yang menuju jannah. Begitu jua selepas solat, kita memohon lagi kepadaNya agar diberikan hasanah bukan sahaja dunia bahkan kebaikan di akhirat. Dalam ‘ceramah mingguan’ pada setiap Jumaat sentiasa disebut oleh tuan khatib peringatan tentang Takwa.
“Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan muslim”
Begitu penting persoalan takwa sehingga ia dijadikan salah satu rukun khutbah. Walaupun kita sering mendengar pelbagai definisi takwa, tetapi yang penting kita berusaha untuk menjadi insan muttaqin. Kita membenarkan di dalam hati akan keEsaan Allah, berikrar dengan lisan, dan beramal dengan perbuatan yang membuktikan kita bertakwa kepada Allah.
Nikmat kejayaan itu hanya akan dapat dirasai dengan wujudnya pengorbanan. Tadhiah merupakan salah satu kewajipan yang kita perlu lakukan dalam usaha merealisasikan impian menuju syurga. Menyingkap kembali ‘evergreen story’ tentang ketaatan Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar serta anak mereka Nabi Ibrahim. Saban tahun, setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidiladha kita sering mendengar kisah ini. Bukankah intipati utamanya menceritakan tentang pengorbanan?
Bahkan, ibadah haji dan Qurban yang dilakukan merupakan pengajaran yang diambil daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan ahli keluarganya. Mereka berkorban hanya kerana Allah sebagai tanda taat dan patuh hamba kepada Penciptanya.
Lihat pula sirah perjuangan baginda Rasulullah S.A.W yang terangkum di dalamnya hijrah dari Kota Mekah ke Madinah. Pengorbanan yang ditunjukkan oleh nabi dan para sahabat sehingga sanggup meninggalkan tanah air tercinta, berkorban harta, nyawa dan segalanya demi menegakkan syariat Islam dan menjunjung perintah Allah di muka bumi ini.
Jadi, bagi kita yang bergelar Muslim pada hari ini apakah pengorbanan yang telah kita lakukan dalam usaha untuk mendapat redha Allah?
Penutup kata
Sebagai penyimpul bicara, kita perlu sedar akan hakikat bahawa sesuatu impian itu hanya sia-sia jika kita tidak berusaha dan berdoa untuk mendapatkannya. Seboleh mungkin kita mendalami maksud takwa dan meningkatkan amalan kita sebagai persediaan melangkah ke alam akhirat yang kekal abadi. Samada tuaian hasil tanaman itu baik atau buruk ia berkait-rapat dengan apa yang kita usahakan selagi kita bernafas di muka-bumi Allah ini.
Berhati-hatilah dalam tindakan kita agar tidak terjerumus ke lembah kesesatan yang menuju neraka jahannam. Allah telah mempersiapkan balasan neraka kepada golongan mereka yang ingkar kepadaNya seperti orang yang syirik, kafir munafiq, dan ahli maksiat. Kita tidak sanggup untuk menghadapi seksaan berat neraka yang mana apinya itu telah disiapkan setelah ribuan tahun dan warnanya berubah daripada merah kepada putih dan akhirnya hitam.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud;
185. Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
Semoga impian kita bersama untuk mendapat redha Allah dan bergelar ahli syurga menjadi realiti.InsyaAllah.
NOTA: Salam Aidiladha buat semua. Pengorbanan mengajar erti kehidupan.
Langgan:
Catatan (Atom)