20 November 2009

Usahlah tidur

Alhamdulillah,sudah seminggu bercuti akhir sem 1bermula 12 November lepas.Kebiasaannya ketika solat Jumaat di Masjid UIA,khutbah yang disampaikan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.(tak berapa nak fahamlah isi khutbah secara menyeluruh) Jadi,apabila peluang berada di kampung dapatlah mendengar khutbah dalam bahasa ibunda.Tajuk yang disampaikan oleh khatib pada Jumaat minggu lepas ialah “Pengisian cuti sekolah”.


Pada mulanya saya tersenyum sendiri apabila mendengar tajuk ini kerana merasakan seperti dalam 'kursus pelajar sekolah'.Saya berpandangan sepatutnya banyak lagi isu utama yang patut diutarakan seperti contoh masalah akidah ummah yang kian parah,keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja,sistem perundangan Islam dalam menangani jenayah dan pelbagai isu pokok yang berkait-rapat dengan Islam sebagai ‘the way of life’.


Sungguhpun tajuknya sedemikian,input utama dalam khutbah tersebut tidaklah mengecewakan dan sungguh bermanfaat khususnya buat sesiapa yang sahaja yang bercuti(termasuklah diri ni). Antaranya khatib menyentuh tentang peri pentingnya peranan ibu-bapa dalam memastikan masa cuti anak-anak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.Dalam dunia serba moden ini,cabaran yang menggoda setiap jiwa insan datang daripada segenap sudut bermula dari dalam rumah iaitu TV & internet sehinggalah ke luar rumah. Betapa beratnya amanah yang perlu dilaksanakan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak agar mereka senantiasa terpelihara daripada unsur maksiat dan negatif seperti dadah,arak,zina,judi,melepak dan banyak lagilah.


Mimbar turut mengingatkan para ibu-bapa agar mengambil peluang ketika cuti sekolah ini agar melatih anak-anak membantu mereka dalam kerja seharian.Seperti contoh jikalau si ayah seorang peladang atau petani maka dia perlu mengajak anaknya membantu menyiapkan kerja di ladang atau kebun.Ibu-bapa turut diminta menghantar anak-anak ke pusat pengajian agama agar kesempatan cuti yang ada dapat mengisi jiwa mereka dengan ilmu fardu ain serta pengisian jiwa setelah penat menimba ilmu akademik di sekolah.Anak-anak juga perlu ditarbiyyah dengan mendekatkan mereka dengan institusi masjid.


Saya tertarik apabila khatib menyeru para jemaah yang hadir merenung kata-kata ulama besar,Profesor Doktor Yusof Al-Qardhawi;


“Jikalau ingin melihat wajah negara pada masa hadapan maka lihatlah akhlak generasi muda sekarang.Jika mereka berakhlak mulia,nescaya negara akan aman damai.Namun,jika yang sebaliknya berlaku maka bersedialah menghadapi kecelakaan yang kelak bakal menimpa.”


Sudah jelas menunjukkan betapa pentingnya generasi muda dalam menentukan jatuh-bangunnya sesebuah negara.Teringat pula ketika mengulangkaji subjek UNGS 2040; Islam, Knowledge and Civilization sempena final exam sem 1 baru-baru ini, antara tajuk syllabus yang saya minat ialah “Muslim’s Contribution: Science, Learning & Social Institutions”. Rupa-rupanya terlalu besar sumbangan tokoh Muslim terdahulu dalam pelbagai bidang terutama sains dan teknologi.Mereka inilah contoh generasi muda yang benar-benar hebat dan sewajarnya dikagumi.


Cuma yang menjadi persoalan kini, agak-agaknya berapa ramai di kalangan anak muda muslim hari ini yang mempunyai keazaman di dalam hati untuk menjadikan tokoh ini sebagai role-model masing-masing.? Atau kita sendiri lebih kenal dan hafal nama-nama tokoh barat seperti Albert Einstein,Charles Darwin,Galileo Galilei,dan Isaac Newton.Atau kita lebih 'mencintai' artis yang rasanya kalau hendak ditulis di sini pun tidak perlu lagi kerana semua orang sudah kenal.


Sedarkah kita sudah lama terpedaya dengan pandangan yang mengatakan saintis Barat lah yang hebat dengan penciptaan pelbagai perkara sedangkan hakikatnya mereka hanya mengolah semula ilmu yang pada asalnya dimiliki saintis Islam.


Jikalau disebut nama Ibnu Firnas,Al Biruni, Ibnu Haitham dan Ibnu Sina apakah jasa besar yang telah mereka lakukan kepada dunia,? Entahlah kita mampu menjawabnya atau tidak sedangkan mereka ini hanyalah sebahagian kecil daripada 'wira sebenar yang tak didendang'.


Di sini saya senaraikan beberapa nama tokoh besar Islam pada era “The Golden Age of Islam”:

ü Jabir Ibn Hayyan- ahli kimia yang mempunyai kepakaran dalam proses penyulingan yang sempurna


ü Ar Razi- mencipta makmal moden lengkap dengan 20 peralatan eksperimen


ü Al Kindi- pengasas kunci


ü Al Jazari- jurutera mekanikal yang mencipta sistem pengairan


ü Al Khawarizmi- pengasas ilmu matematik Algebra


ü Ibnu Haitham- pencipta kamera


ü Ibnu Nafis- manusia pertama yang menjelaskan system peredaran darah dalam tubuh badan manusia


ü Ibnu Khaldun- ‘Bapa ekonomi’ yang memperkenalkan pelbagai teori berkaitan ekonomi dan sosiologi yang terkandung dalam kitabnya yang terkenal “Al-Muqaddimah”


ü Ibnu Battuta-pelayar yang mengelilingi dunia sejauh lebih 75 000 batu selama 29 tahun melalui 40 buah Negara


ü Al Zahrawi- pakar bedah yang telah memperkenalkan lebih daripada 200 peralatan pembedahan


ü Al Idrisi- manusia pertama yang membuat peta dunia


Mereka ini bergelar ahli sains,ahli matematik,ahli ekonomi,pakar bedah, ahli falsafah,jurutera dan bermacam lagi.Sungguhpun mereka hebat dalam pelbagai bidang tersebut ini bukanlah bermakna mereka tidak arif dalam hal ehwal Islam.


Pada zaman khilafah Islamiyyah dahulu sistem pendidikan di madrasah dan universiti mengikut acuan Islam yang mana tidak memisahkan ilmu duniawi dan ukhrawi.Hal ini bermakna mereka dahulu belajar ilmu sains tanpa mengkesampingkan ilmu Islam bahkan sains juga merupakan salah satu juzuk ilmu Islam yang patut dipelajari.Inilah rahsia sebenar Muslim terdahulu sehingga mereka telah berjaya membawa kegemilangan Islam di seantero dunia.


Resipi kejayaan yang berlandaskan Al quran & Sunnah sahajalah yang mampu menyuluh jalan ke arah kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Semenjak daripada zaman Rasulullah S.A.W disambung pula perjuangan baginda oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin(Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Umar Al Khattab, Saidina Uthman Ibni Affan dan Saidina Ali) diteruskan lagi mata rantai perjuangan Islam oleh Kerajaan Ummayyah,Kerajaan Abbasiyyah dan yang terakhir dalam lipatan sejarah Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah sehinggalah pemerintahan khilafah Islamiyyah ditumbangkan oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah bersama konconya pada tahun 1924.


Kesimpulannya,terlalu banyak lagi 'mutiara' ilmu yang dimiliki umat Islam yang kita belum terokai.Usahlah kita berpandangan semua yang datang daripada Barat adalah baik untuk kita ikut.Saya tidak pula bermaksud semua yang datang daripada barat kita patut tolak tetapi saya berpandangan umat Islam sepatutnya sedar akan potensi yang sediaada dianugerahkan oleh Allah kepada kita semua untuk mendirikan semula 'tembok kegemilangan' Islam seperti suatu ketika dahulu.Ingin saya tegaskan bahawa tidak ada 'resipi' lain untuk kita yang bergelar Muslim berjaya melainkan KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN & AS-SUNNAH.



Nota; Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan 'warisan ilmu Islam', sudi-sudilah melawat laman web http://muslimheritage.com/ . Rasanya ia jauh lebih bermanfaat berbanding Facebook yang digilai oleh ramai orang sekarang.