29 Julai 2009

KeADILan vs KeZALIMan



Cuba kita perhatikan gambar di atas; lihatlah kebesaran Allah yang mencipta burung yang boleh terbang bebas ke mana sahaja ia kehendaki.Allah Maha Adil kerana Dia telah menetapkan segala ketetapan untuk hasil ciptaanNya dengan begitu sempurna.


Seperti contoh burung yang bersayap dapat terbang di udara ,ikan boleh hidup di dalam air, manusia tinggal di atas daratan. Keadilan menurut pandangan Islam bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya.


Yang sering kita dengar adil bermakna sama-rata dan zalim pula bermakna berat-sebelah. Kalau inilah yang dinamakan ‘adil’, sepatutnya semua makhluk perlu diletakkan dalam setempat sahaja samada di alam air,darat mahupun udara.Jikalau ini yang berlaku, akibatnya kehidupan makhluk dan sistem alam ini menjadi tidak teratur dan saling tidak melengkapi antara satu-sama lain.


Namun,dengan adanya sifat Maha Adil lagi Maha Bijaksana pada Allah telah meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya dan sesuai dengan ciri masing-masing. Contoh mudahnya ialah diri kita sendiri yang tidak mampu bernafas lama di dalam air maka Allah telah menetapkan bahawa sekalian manusia hidup di atas daratan muka bumi yang telah terbentang luas ini manakala makhluk yang mempunyai insang pula hidupnya di alam air. Bukankah ini yang dinamakan ‘adil’ dalam erti-kata sebenar...?


Sesungguhnya tidak ada yang mampu bersikap adil dengan benar-benar sempurna melainkan hanya Allah Rabbul Jalil..


Bersikap adil merupakan salah-satu ciri-ciri asas yang perlu ada dalam setiap diri yang bergelar ‘pemimpin’ tidak kiralah samada pemimpin dunia,negara,negeri,kampung hatta pemimpin diri-sendiri.


Islam merupakan agama yang komprehensif memberikan ‘guideline’ untuk mewujudkan sistem pemerintahan yang kukuh mestilah berlandaskan prinsip maqasid syariah(Islamic Law) yang melindungi;

Agama

Jiwa

Harta

Maruah

Kebebasan dan keadilan

Maslahah

Alam-sekitar

Allah telah pun memperingatkan kita untuk berlaku adil sepertmana firmannya:


8. Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) Karena Allah, menjadi saksi dengan adil. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. berlaku adillah, Karena adil itu lebih dekat kepada takwa. dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.

(Surah Al-Maidah;8)


Rasulullah S.A.W yang menjadi suri-tauladan kita semua telah menunjukkan role-model terbaik dalam mentadbir institusi keluarga,masyarakat dan negara.Sehingga ada kisah menceritakan bahawa pernah suatu ketika berlaku kecurian dan si pencuri dapat ditangkap. Bilamana si pencuri yang juga seorang wanita hendah dijatuhkan hukuman potong-tangan, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sekiranya Fatimah Binti Muhammad yang mencuri nescaya akan tetap aku memotong tangannya.”


Keadilan yang berlandaskan syara’ sebeginilah yang patut ditegakkan untuk menentang kezaliman yang menindas golongan yang teraniaya.Seperti contoh menahan orang tertentu tanpa dibicara sehingga bertahun lamanya.Bukankah zalim apabila kita menangkapnya namun tidak ada langsung memberi peluang untuk dia membela diri.

Segalanya iaitu pendakwaraya,peguambela,hakim,bahan bukti dan undang-undang terletak di tangannya. Si tertuduh terus meringkup di balik palang besi tanpa ada pembelaan sewajarnya. Seandainya si tertuduh benar-benar bersalah maka buktikanlah dengan membawa ke muka pengadilan untuk dijatuhkan hukuman yang setimpal namun jikalau tidak bersalah maka bebaskan segera tanpa 1001 dalih yang direka.

Tamatkanlah penderitaan isteri mereka yang kehilangan suami tercinta sebagai tempat bergantung untuk mencari nafkah buat seisi keluarga.Usah biarkan lagi si anak membesar tanpa belaian kasih- sayang daripada mereka yang bergelar ‘si ayah’.


Nabi juga mengingatkan buat mereka yang berlaku zalim; “Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab antara mereka dengan Allah.”


Nabi berpesan lagi dalam sebuah hadis yang lain; “Hendaklah kamu takut kepada kezaliman kerana kezaliman itu kegelapan pada hari Akhirat kelak.”


Sepertimana hati kita riang melihat burung berterbangan bebas di angkasa dan bukannya ‘mengurung’ mereka dalam ‘sangkar ciptaan kita’ maka begitu jualah pemimpin yang dianugerahkan akal untuk berfikir apa yang terbaik untuk rakyatnya.Allah telah berfirman:


79. Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang diangkasa bebas. tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.

(Surah An-Nahl;79)


Dalam sebuah ceramah baru-baru ini,saya mendengar kisah keadilan pemerintahan Khalifah Islam kedua iaitu Saidina Umar Al-Khattab.Pernah suatu ketika Saidina Umar berjalan di pasar awam dan terlihat seorang fakir yang beragama yahudi sedang meminta sedekah. Lalu, Saidina Umar membawa si fakir ini ke Baitul Mal yang merupakan sebuah institusi yang menyimpan harta umat Islam ketika itu.

Saidina Umar meminta pegawai Baitulmal untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada orang Yahudi. Lihatlah, begitu indahnya Islam kerana ia bukan sahaja melindungi orang Islam bahkan hak orang bukan Muslim turut terjaga.


Ada lagi kisah lain yang menceritakan tentang keadilan pemerintahan Saidina Umar , pernah suatu ketika anaknya pergi ke sekolah diketawakan oleh rakannya yang lain sambil membilang kesan tampalan baju sekolahnya yang compang-camping.Bila anaknya pulang ke rumah mengadu kepada Saidina Umar kejadian di sekolah dan berkata dia tidak akan pergi ke sekilah selagi tidak diganti dengan pakaian baru.


Lantaran itu, Saidina Umar pun memujuk anaknya dan berjanji untuk mengganti pakaian sekolah anaknya itu. Kemudian, Saidina Umar pun pergi ke Pejabat Perbendaharaan Negara(zaman sekarang bolehlah diibaratkan seperti Kementerian Kewangan) dan berjumpa dengan Ketua Pegawai di situ untuk meminjam sedikit wang untuk mengganti pakaian sekolah anaknya yang telah koyak- rabak.Cuba anda bayangkan keberanian orang Islam terdahulu dalam melaksanakan amanah dan kerendahan hati seorang khalifah.


Apabila Saidina Umar memaklumkan tujuan beliau datang ke situ adalah untuk meminjam sedikit wang,Ketua Pegawai bertanya bila hendak pulangkan kembali wang itu nanti.? Saidina Umar pun menjawab beliau akan menggantikan kembali wang itu apabila mendapat gaji hujung bulan itu. Lalu,Ketua Pegawai itu menjawab “Wahai Amirul Mukminin,bolehkah kamu memberi jaminan bahawa Amirul Mukminin akan dapat hidup lagi sehingga hujung bulan ini untuk pulangkan kembali wang tersebut.?(agaknya masih ada lagi ke di zaman sekarang seorang pegawai bawahan bawahan berani berkata sedemikian kepada ketua pemerintah sebuah Negara)


Saidina Umar pun akur dan membatalkan niatnya untuk meminjam wang tersebut. Saidina Umar pun pulang dan berkata kepada anaknya;”Kamu pergilah ke sekolah dengan pakaian lama dan jika ada rakan yang mengejek kamu, khabarkanlah kepada mereka bahawa ayahanda tak mampu untuk membeli pakaian baru.”


Begitulah secebis kisah tentang keadilan Islam dalam pemerintahan terdahulu.Sewajarnya, contoh yang baik inilah diikuti dan dijadikan panduan buat semua yang mengaku dirinya ‘aku seorang pemimpin’....Sekian.


Untuk renungan,bersama kita hayati lirik lagu kumpulan nasyid Hijjaz yang menceritakan serba-sedikit tentang ‘Siapa dia pemimpin yang adil’.


Pemimpin Yang Adil

Pemimpin yang adil ,

Sangat dikehendaki,

Memakmurkan ummat dunia dan akhirat,

Tiada keadilan,Negara huru-hara,

Pemimpin membela nasib rakyatnya,

Pemimpin yang adil,

Sifatnya amanah,

Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya,

Keadilannya tanpa ada pilih kasih pada siapa,

Kepentingan rakyat lebih utama,

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya,

Kasih-sayang terserlah di wajahnya,

Sombong dan takabur tidak ada pada dirinya,

Rakyat hormat bukan takut padanya,

Pemimpin yang adil,

Mengutamakan amanah,

Wang rakyat dan Negara tidak disalahguna,

Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya,

Rakyat diseru mentaati Allah,

Terdapat pemimpin di dunia kini,

Seringkali mencetus huru-hara,

Demi melindungi kepentingan dirinya,

Rela membiar rakyatnya derita,

Pemimpin yang adil,

Mengutamakan rakyatnya,

Melepaskan mereka dari sengsara,

Akhlak yang mulia pakaian dirinya,

Rakyat taat dan sayang padanya,

Tuhan kurniakanlah pemimpin yang sejati,

Tuhan kurniakanlah pemimpin yang begini,

Tuhan kurniakanlah pemimpin yang sejati,

Tuhan kurniakanlah ....

13 Julai 2009

Catatan Suka-Duka Cuti..







1. Alif laam miim raa[764]. Ini adalah ayat-ayat Al Kitab (Al Quran). dan Kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu adalah benar: akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya).

2. Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, Kemudian dia bersemayam di atas 'Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.

3. Dan Dia-lah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan[765], Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.

(Surah Ar-radu:1-3)

Allah Maha Agung lagi Maha Berkuasa kerana dengan kuasaNYA,Dia menetapkan segala yang berlaku di atas muka bumi ini dengan aturan yang tersendiri.Ianya merangkumi daripada sekecil perkara hatta sehinggalah sebesar perkara yang berlaku samada di alam yang zahir di mata kita mahupun alam ghaib.


Lihatlah dengan kuasa Allah,langit itu tetap teguh tanpa sebarang tiang yang menyokongnya,kesetiaan sang suria memancarkan cahaya tanpa ada rasa jemu ataupun terlupa.Dapatkah kita bayangkan setelah tidur di waktu malam, matahari tidak pula muncul untuk menandakan waktu siang.Planet-planet yang berputar dan bergerak mengikut orbit masing-masing tanpa berlaku sebarang sedikit pun perlanggaran.


Siapakah yang berkuasa menetapkan segala aturan yang cukup lengkap ini untuk semua hidupan termasuklah manusia,haiwan,tumbuhan dan seluruh alam semesta..? Bukanlah Si Firaun,Raja Namrud,Abu Jahal mahupun Setiausaha Agung PBB yang berkuasa. Hanya ALLAH Tuhan Yang Esa yang memiliki segala sifat kesempurnaan yang berhak menentukan segala ciptaanNYA.Sedarlah wahai diriku dan semua insan sekalian yang kita hanyalah hamba kepadaNYA yang seWAJIBnya patuh,tunduk,taat kepada Yang Mencipta kita.....


Alhamdulillah,saya sempat bercuti selama 2minggu setelah tamat semester pendek baru-baru ini.Izinkan saya mencoretkan sedikit ‘catatan suka-duka cuti ini’. Biasalah tidak semua yang kita alami dalam kehidupan ini sentiasa gembira dan manis adakala perlunya duka dan pahit untuk mengingatkan diri yang sering alpa.


> >>>>KEMARUK MUSIM BUAH<<<<<


Setiap tahun pasti akan tibanya musim buah-buahan yang amat dinantikan oleh para penggemarnya.Kalau nak disebut banyak sangat pula nama buahnya macam durian, rambutan,manggis,langsat dan lain-lain.Ketika pulang ke kampong baru ini,saya agak bertuah kerana musim buah baru sahaja bermula.


Baru kali pertama dalam hidup saya untuk merasai ‘nikmat menunggu’ durian gugur di dusun.Kalau kita fikir sejenak, buah durian inikan kulitnya penuh berduri pastilah kita tidak suka benda yang boleh menyebabkan kita terluka.Mengapa orang tetap bersusah-payah untuk membukanya..?



Pastilah kerana isinya yang sungguh enak untuk dinikmati. Kalaulah boleh saya umpamakan orang yang berjuang menegakkan agama Allah ibarat orang yang menyemai biji benih pokok durian.Setelah bertahun-tahun lamanya ia membesar dengan subur barulah membuahkan hasil.

Namun,hasilnya bukan boleh dimakan dengan mudah.Bukankah buah itu berduri,dan untuk menikmati isi durian tersebut kita perlu membukanya dengan berhati-hati.Kalau tidak kena cara dan teknik yang betul untuk membukanya,kita pula yang terluka dek durinya.


Begitulah juga lumrah yang dihadapi oleh ‘pembawa obor’ Islam.Dengan susah-payah mereka menanam asas yang kukuh iaitu akidah di dalam setiap jiwa muslim,disirami dengan pengabdian kepada Allah,dan dibajai pula dengan sinaran akhlak Islamiah.


Setelah sekian lama,barulah ia membuahkan hasil setelah menempuh 1001 mehnah-tribulasi.Onak duri tajam yang ditempuhi itulah membuatkan para pejuang ini tegar dan lebih hebat dalam kehidupan seharian mereka.Inilah yang telah ditempuhi oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat ketika misi menyebarkan dakwah Islam pada zaman dahulu.


> >>>>HILANGNYA SI ANAK MUDA<<<<<


Pada tanggal 3 Julai bersamaan 10 Rejab 1430H,saya mendapat berita sedih yang memaklumkan sahabat ketika di CFS dulu,saudara Nabil kembali ke rahmatullah pada malam Jumaat itu.Setelah allahyarham berjuang dengan penuh kesakitan melawan penyakitnya selama beberapa bulan di Hospital Teluk Intan,kasih Allah tetap mendahului segalanya.


Saya merasakan bahawa ujian kesakitan yang Allah berikan kepada allahyarham adalah untuk menyucikan segala dosanya sebelum dipanggil menghadap Maha Pencipta. Allahyarham Nabil yang juga merupakan seorang al-Hafiz lepasan program persijilan Darul Quran baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat asasi CFS UIA PJ pada bulan Mac dan sedang bercuti sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di kampus kuantan pada bulan Julai.


Jenazah allahyarham telah selamat dikebumikan pada pagi Jumaat di kampungnya di Sekinchan,Selangor. Allahyarham seorang yang bersifat periang,murah dengan senyuman dan mudah mesra dengan orang di sekelilingnya.

Masih segar dalam ingatan saya, allahyarham yang suka bergurau dengan memanggil saya dengan gelaran 'YB' kerana saya suka mengambiltahu hal ehwal semasa politik Malaysia.


”Ya Allah kau rahmatilah ruh sahabatku ini,semoga allahyarham ditempatkan bersama para syuhada’ dan orang yang soleh.”.Amiin....


> >>>>TAHAP BUMI BERTUAH<<<<<


Entah mengapa setiap kali kaki ini melangkah ke sekolah lama yang tercinta,SMKA TAHAP pasti hati saya berasa agak tersentuh kerana terimbau pelbagai kenangan pahit-manis selama 5 tahun di situ.

Sungguhpun sekolah ini bukanlah sebuah sekolah ternama di Malaysia seperti MCKK,KISAS,atau SBP yang lain tetapi saya tetap mengatakan saya berbangga kerana pernah bergelar pelajar TAHAP.

Di situlah tempat saya mula mengenal betapa pentingnya amanah bergelar hamba Allah dan khalifah di bumi ini.Dengan didikan para guru dan senior terdahululah mengigatkan diri bahawa muslim itu bukanlah sekadar pada nama tetapi sewajibnya muslim dalam seluruh kehidupan.


Alhamdulillah, Jumaat lepas saya berkesempatan turun ke sekolah sebentar untuk menjenguk persiapan warga TAHAP untuk menyambut Jubli Perak 25 tahun (1984-2009) penubuhan sekolah tersebut.Majlis gilang-gemilang itu akan disempurnakan oleh DYMM Sultan Pahang,Sultan Haji Ahmad Shah pada pagi selasa 14 Julai 2009 di Dewan SMKA TAHAP.Saya dimaklumkan oleh guru bahawa bukan sahaja Tuanku Sultan akan berangkat ke majlis tersebut malahan DYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Puan Pahang,Tengku Muda Pahang dan Cik Puan Muda Pahang akan turut hadir memeriahkan majlis tersebut.


Majlis bersejarah ini akan turut menghimpunkan bekas pengetua,guru-guru yang pernah berkhidmat dan bekas pelajar TAHAP.Saya turut berasa bangga walaupun hanya dapat hadir menyaksikan persiapan majlis tersebut dan bukannya pada acara sebenar.(apakan daya,sem baru sahaja dibuka tak dapatlah nak sertai)


Saya doakan moga semua aturcara yang telah diatur seperti Malam Kesenian Islam,Forum Perdana,Pameran,Gerai Jualan,Majlis Perasmian akan dapat berjalan dengan lancar dan diberkati oleh Allah.Moga-moga dengan usia TAHAP yang telah mencecah usia ‘anak muda’ 25 tahun ini akan membawa bumi bertuah TAHAP ke era yang lebih gemilang tanpa melenyapkan suasana Biah Solehah yang telah sekian lama tersemai di situ yang turut menjadi ‘aset’ kebanggaan kita semua warga TAHAP.


Bagi sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir usahlah bersedih,masih ada peluang di masa hadapan.Bak kata Ustaz Hadzri “Kamu kena tunggu 25 tahun lagilah,sambut Jubli Emas pulak.Itupun kalau kita panjang umur untuk menyambutnya.”


Tahun 2034 nantikan kami ye....